saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 16/05/2011

Mengenang legasi tiga tokoh

BUKU dalam bahasa Inggeris yang ditulis bekas Pengarah Eksekutif Sisters In Islam (SIS), Zainah Anwar bertajuk Legacy of Honour berkisar mengenai biografi tiga tokoh yang banyak berjasa kepada negara pada era penjajahan British, perjuangan mendapat kemerdekaan dan pembentukan Malaysia selepas pasca merdeka.

Tokoh-tokoh itu ialah Menteri Besar Johor yang pertama, Datuk Ja'afar Mohamed; anaknya yang juga pengasas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Datuk Onn Ja'afar dan cucu beliau yang merupakan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn.

Ja'afar (1838-1919) ialah daripada keturunan Bendahara Tepok Tun Hamzah iaitu bendahara kerajaan Melaka yang terakhir sebelum ia jatuh ke tangan Portugis pada 1511. Beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar oleh Sultan Abu Bakar pada 1882 sehingga akhir hayat.

Beliau yang diberikan kepercayaan memangku tugas Sultan Johor ketika baginda ke luar negara ialah individu yang terlibat menjayakan cita-cita Sultan Abu Bakar untuk memoden negeri itu dan mewujudkan pentadbiran awam yang cekap sehingga menyebabkan British tiada alasan untuk menjajah negeri berkenaan.

Ja'afar sebenarnya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Sultan Abu Bakar kerana anaknya dengan isteri ketiga iaitu Hasnah telah berkahwin dengan anakanda baginda, Sultan Ibrahim.

Beliau juga telah berkahwin dengan isteri keempat, Datin Rogayah Hanim Abdullah yang merupakan bekas isteri adinda Sultan Abu Bakar, Ungku Abdul Majid.

Rogayah Hanim ialah wanita keturunan Turki yang dihantar oleh Khalifah Empayar Uthmaniyah, Sultan Abdul Hamid sebagai tanda persahabatan dengan kesultanan Johor.

Perkahwinan Ja'afar dengan Rogayah Hanim mempunyai lapan anak termasuk Onn (1895-1962). Selain sebagai pengasas dan Presiden UMNO, beliau ialah Menteri Besar Johor yang ketujuh. Dalam pada itu, empat Menteri Besar sebelumnya juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Ja'afar.

Dalam buku berkenaan, turut dijelaskan bahawa idea menubuhkan UMNO telah dicetuskan dalam satu pertemuan antara Onn dengan rakan-rakannya di rumah Tan Sri Mohamed Noah Omar (ketika itu seorang majistret yang kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang pertama) di Batu Pahat, Johor pada 1946.

Dua anak Mohamed Noah iaitu Toh Puan Suhailah dan Tun Rahah masing-masing kemudiannya telah berkahwin dengan anak Onn, Hussein dan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Turut hadir ketika pertemuan itu ialah Setiausaha Sulit Onn yang juga sepupu kepada Mohamed Noah, Tan Sri Anwar Abdul Malek.

Anwar yang juga bapa penulis buku ini adalah individu yang mencadangkan nama parti baru itu sebagai Pertubuhan Melayu Bersatu (UMO) sempena nama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun atas nasihat nasionalis Melayu, Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad (Pendeta Za'aba), perkataan 'Kebangsaan' turut dimasukkan dalam nama itu dengan singkatan UMNO.

Dalam pada itu, dalam buku berkenaan, pembaca akan dapat mengetahui kisah sebenar mengapa Onn kemudiannya bertindak keluar UMNO pada 1951 bagi menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dan Parti Negara yang keanggotaan dibuka kepada pelbagai kaum.

Anak beliau, Hussein (1922-1990) turut keluar UMNO bersama-samanya dan kemudiannya menyertai kembali parti itu pada 1969. Sikap Hussein yang lantang memperjuangkan nasib orang Melayu yang ketinggalan dalam pendidikan menarik minat Abdul Razak yang kemudian melantiknya sebagai Menteri Pelajaran.

Ketika memegang jawatan itu Hussein telah memperkenalkan sekolah berasrama penuh aliran sains untuk memberi pendidikan kepada penduduk luar bandar. Selepas kematian Abdul Razak pada 1976, Hussein dilantik sebagai Perdana Menteri ketiga.

Hussein ialah individu yang dikenali kerana amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum. Sebagai seorang sentiasa memegang prinsip integriti dan amanah, beliau terus mengkritik kepimpinan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas bersara pada 1981.

Sebenarnya, ulasan ini tidak cukup untuk mencatatkan segala apa yang terkandung dalam buku 287 halaman ini. Adalah diharapkan buku ini dapat diterjemahkan ke bahasa Melayu bagi membolehkan lebih ramai pembaca mengetahui apakah hubungan tokoh besar negara sekarang dengan keluarga ini.

Antaranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut menulis kata-kata aluan dalam buku berkenaan.

Tokoh-tokoh lain daripada keluarga ini ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dan isterinya yang juga tokoh budayawan, Sharifah Azah Syed Mohammed (Azah Aziz).

Ia termasuk pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Prof. Datuk Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas; pengasas Gerakan, Profesor Syed Hussein Al-Attas dan bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas.

Sebenarnya banyak kisah sebalik tabir keluarga ini yang tidak diketahui umum. Antaranya berkenaan kesetiaan Ja'afar terhadap Sultan Abu Bakar (1833-1895) dan anakanda baginda, Sultan Ibrahim (1873-1959).

Sebelum meninggal dunia, Ja'afar telah menghimpun semua ahli keluarganya dan berpesan bahawa kesetiaannya sebelum ini adalah kerana mengikut adat Melayu yang melarang menderhaka kepada sultan.

Bagaimanapun, tegas Ja'afar, generasi keluarga selepasnya harus berani untuk menentang dan bercakap benar sekiranya sultan bersikap kejam dan tidak mengutamakan rakyat.

Pesanan ini kemudiannya dipatuhi oleh anaknya, Onn yang secara terbuka mengkritik kepimpinan Sultan Ibrahim sehingga menyebabkan beliau dibuang daerah dari 1927 hingga 1936 ke sebuah perkampungan nelayan di Singapura. Onn ketika itu menyara hidup dengan pendapatan sangat kecil sebagai penulis di beberapa akhbar.

Sementara itu, ramai tidak tahu, Hussein juga pernah menjadi pelakon dalam satu pementasan di Johor Bahru yang diadakan bagi mengutip wang untuk membiayai kegiatan UMNO.

Pada 1971, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menemu ramah beliau, bagaimanapun rakaman itu tidak disiarkan kerana beliau mengkritik Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan beberapa sultan yang telah meminggirkan Onn.

Buku ini yang akan dilancarkan oleh Hishammuddin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur esok boleh didapati di kedai buku MPH di seluruh negara.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.