saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 17/05/2011

Hikayat Merong Mahawangsa dikritik


PANEL yang menjayakan forum Hikayat Merong Mahawangsa, Daripada Sastera Klasik Kepada Filem (dari kiri) Prof. Datuk Siti Hawa Salleh, Kamil Ahmad, A. Wahab Hamzah (moderator forum) dan Dr. Mahadi J. Murad.


BIARPUN Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) yang diangkat dari naskah sastera klasik mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat filem Melayu tanah air namun di kalangan penggiat filem dan pencinta sastera pula, HMM mendapat maklum balas yang kurang menyenangkan.

Melalui forum anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini, beberapa insan seni tersohor industri perfileman negara mengatakan rasa kurang senang di minda mereka sebaik sahaja menonton filem garapan Yusry Abdul Halim itu.

Bagi mereka, nilai budaya yang sepatutnya dijulang melalui filem berkenaan tidak kesampaian apabila filem berkenaan dikatakan tidak mencerminkan budaya alam Melayu.

Forum bertajuk Hikayat Merong Mahawangsa Daripada Sastera Klasik Kepada Filem itu turut dihujani persoalan, di manakah letaknya Melayu dalam filem tersebut?

Pengarah, Ahmad Ibrahim atau nama penanya Mat London, bangkit melontarkan pandangannya kepada tiga ahli panel.

Mereka terdiri daripada Pengkaji Sastera Klasik, Prof. Datuk Dr. Siti Hawa Salleh, Pensyarah Universiti Teknologi Mara, Dr. Mahadi J. Murat dan Timbalan Presiden Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC), Kamil Ahmad Mohd. Othman.

Mat London secara khususnya menyatakan, sepanjang durasi filem HMM itu, dia tidak melihat di manakah letaknya unsur Melayu dalam filem tersebut.

"Mana Melayu dalam filem ini? Sudahlah pelakon utamanya bukan orang Melayu dan penggunaan bahasa Inggeris terus jauh membenamkan nilai dan budaya Melayu.

"Tiada apa yang digambarkan dalam filem itu menunjukkan budaya kita," kritik Mat London semasa mengemukakan pandangannya pada sesi soal jawab di forum berkenaan.

Kritikan pedas yang dilontarkan Mat London itu disokong seorang ahli panel forum itu, Siti Hawa Salleh.

Dia juga beranggapan, aktres yang mendokong watak Puteri China dalam filem berkenaan, kurang terserlah kecinaannya.

Sedangkan di Malaysia, kita juga punya aktres kaum Cina yang dirasakan mampu mendukung watak tersebut.

Selain itu, kajian teks klasik filem tersebut turut dipertikaikan kerana kupasan daripada kacamata mereka yang terlibat dalam forum itu jelas mengatakan bahawa unsur sejarah dalam HMM dilihat begitu longgar.

Walau bagaimanapun, Kamil Ahmad berpandangan, sekurang-kurangnya HMM menjadi pembuka jalan atau eye opener kepada penggiat seni yang lain dalam penggunaan teknik imej janaan komputer (CGI).

"HMM adalah pembuka ruang dalam memperkenalkan teknik CGI terhadap industri perfileman tanah air.

"Biarpun masih ada kelemahan dalam penggunaan teknik tersebut namun ia boleh ditambah baik.

"Mungkin selepas ini, akan ada produksi yang berminat untuk menerbitkan lebih banyak lagi filem-filem epik seperti kisah Tok Janggut, Hang Tuah atau pun Kota Melaka.

"Sudah tentu filem-filem berkenaan memerlukan teknik CGI terutamanya untuk mendapatkan set pengambaran yang sesuai," jelasnya yang memuji HMM.

Namun begitu, hujah yang disampaikan oleh Kamil Ahmad itu disangkal oleh pengarah filem Bukit Kepong, Tan Sri Jins Shamsudin yang merasakan kejayaan filem bukan bergantung kepada teknik CGI semata-mata.

"Bagi saya, teknik CGI akan membuatkan penonton kurang berkeyakinan dengan aksi yang ditunjukkan kerana sudah tentu ia bukan sesuatu kejadian sebenar.

"Contohnya, dalam Bukit Kepong, rumah pasung itu dibakar dengan betul dan saya lihat itu lebih baik daripada CGI," ujarnya berkongsi cerita.

Bagaimana pun, Jins menambah, dalam menjayakan sesebuah filem yang berkisah sejarah, kajian terperinci perlu dilakukan.

"Seperti mana Bukit Kepong, saya mengambil masa membuat kajian selama kira-kira dua tahun di England," ujar pelakon filem Panca Delima itu.

Tidak cukup dengan itu, para pelakon HMM juga turut terkena tempias kritikan petang itu.

Gagal menonjolkan karakter pada watak yang didukung adalah antara komen yang dilontarkan petang itu.

Bagi aktres terkenal tanah air, Sofea Jane, mutu lakonan yang ditonjolkan oleh pelakon HMM tidak setimpal dengan bajet filem berkenaan.

"Mengapa harus mengeluarkan bajet besar sekiranya pelakon gagal untuk memainkan karakter pada watak mereka.

"Saya bukan melihat dari perspektif seorang pelakon tetapi sebagai individu yang membayar untuk menonton. Watak Merong sendiri gagal memainkan karakternya," jelas pelakon filem Susuk itu.

Bagaimana pun, maklum balas berkenaan dengan segala pandangan dan kritikan yang dilontarkan dalam forum berkenaan tidak terjawab sepenuhnya memandangkan forum itu tidak menampilkan insan-insan yang berkenaan.

Pengarah filem berkenaan Yusry mahupun orang kuat dalam penerbitan HMM tidak dapat menghadiri forum berkenaan kerana dimaklumkan mempunyai urusan lain.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.