saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 18/05/2011

New York, pusat dagangan dunia ini pandang tinggi kita

NEW YORK: Saya berada di kota kosmopolitan ini yang cukup rancak bergerak. Ia merupakan bandar raya tidak tidur. Panggung teater Broadway dan budayanya tidak tidur. Pasar raya komputer Apple juga tidak tidur. Ia dibuka 24 jam. Manusia bertali arus memasuki ke pasar itu di bawah tanah melalui satu bangunan kaca bersegi empat - ala bangunan Kaabah!

Masing-masing yang memasuki ke bangunan itu mencuba pelbagai jenis produk Apple, terutamanya iPad 2, kemudian beratur panjang untuk membelinya. Urus niaga di bandar raya batu ini bertali-arus.

Memang benar New York tidak tidur. Para pedagang juga tidak tidur kerana berurusan dengan rakan-rakan niaga dari dunia sebelah kita, yang terbalik hari selama 12 jam. Kita tidur mereka bekerja, dan begitulah sebaliknya.

Namun, hari ini Rabu di Malaysia, Selasa di New York, Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dari lawatan ke Doha, dan London, berada di sini untuk satu tujuan yang amat penting iaitu menarik pelaburan.

Beliau ditemani oleh 10 tokoh korporat terkemuka Malaysia. Daripada jumlah itu lima merupakan juara serantau ASEAN iaitu Air Asia, CIMB, Maybank, Genting dan Axiata. Yang lain ialah Petronas Chemical, Sapura Crest, Sime Darby, Kencana Petroleum dan Bursa Malaysia.

New York ialah pusat dunia bagi pengurus-pengurus dana dan pasaran modal. Lawatan Najib ini sebenarnya amat ditunggu-tunggu oleh mereka semua.

Wakil Amerika Syarikat, berpangkalan di sini dan seluruh negara ini yang hadir bertemu Najib dan kapten perniagaan kita adalah terdiri daripada para broker (37 orang), tokoh perbankan (29), syarikat-syarikat multi-nasional Amerika (40) dan para pengurus dana Amerika (90 orang). Kesemua mereka mempunyai aset pengurusan berjumlah AS$6 trilion.

Oleh kerana percaya dan yakin dengan dasar transformasi ekonomi yang dibawa oleh Najib dan mahu mengetahui lebih mengenainya secara ''jelas dan kredibel'' -- mereka ini yang bukan senang diyakini, bersetuju hadir dan mengadakan pertemuan 1-dengan-1 dengan para tokoh korporat kita, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan.

Bersempena dengan itu, Najib merasmikan Invest Malaysia New York 2011 (Labur Malaysia New York 2011) yang dihoskan oleh pasaran saham terbesar dunia, Wall Street atau Pasaran Saham New York (NYSE). Sudah tentu kita amat bangga kerana NYSE bersetuju menggunakan rumahnya bagi melancarkan kempen kembara jalanan pelaburan Malaysia.

Seperti dinyatakan, New York ialah pusat perdagangan dan pelaburan terbesar dunia. Ramai yang cemburu dengannya. Musuh Amerika mahu melumpuhkannya. Usaha meletupkan Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001, umpamanya dilakukan kerana percaya dengan runtuhnya bangunan itu maka moral bandar raya yang menjadi denyut nadi Amerika juga akan hancur.

Namun, hakikatnya New York terus rancak. Penghuninya terus bekerja keras, bersemangat. Pekerja-pekerja di sini terdiri daripada warganegara seluruh dunia. Malah, pemandu yang membawa kami di sini seorang rakyat dan warganegara Jepun, sudah bermastautin di sini selama 20 tahun.

Di luar New York ke Connecticut - kira-kira 1 setengah jam perjalanan dari sini terdapat sebuah restoran Melayu - satu-satunya restoran milik orang Melayu di Amerika Syarikat ini.

Restoran Bentara itu kepunyaan Hasni "Jeff" Ghazali, 46, anak Kelantan dari Ketereh. Dia menyajikan makanan berasaskan negeri kelahirannya. Ikan salmon perciknya cukup sedap sekali. Saya yang menikmatinya memberi beliau 5 bintang. Daging kerutuk, yang sebelum ini merupakan makanan istana diraja Kelantan kini menjadi kegemaran orang putih.

Cukup hebat Hasni, dia adalah bekas pelajar MRSM Kota Bharu 1978-82, sebelum melanjutkan pelajaran dalam Sains Komputer di Nebraska, Amerika Syarikat. Kini merupakan penduduk tetap negara ini. Beliau sedang berusaha untuk mendapatkan pelaburan dari Malaysian Kitchen untuk mengembangkan beberapa lagi Restoran Bentara ke beberapa bandar raya negara ini termasuk di New York dan Washington D.C.

''Kita berharap permohonan kami akan beroleh kejayaan. Usaha yang saya lakukan ini juga untuk menaikkan nama Malaysia," katanya yang berkongsi dengan seorang usahawan tempatan, William Christian sejak 1995. Bermula dengan 30 kerusi, kini restoran itu mempunyai lebih 300 kerusi.

Inilah Amerika negara yang dikatakan penuh dengan peluang. Bukan sahaja Hasni, Kerajaan Malaysia juga mahu merebut peluang di sini. ''Kita mahu menjadikan Malaysia sebagai pusat dagangan serantau yang penting," kata Presiden dan CEO Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Pendapat itu dipersetujui oleh Timbalan CEO Korporat dan Pelaburan Perbankan CIMB, Datuk Charon Wardini Mokhzani. ''Betul pasaran ASEAN adalah amat besar. Ia melibatkan 600 juta manusia atau separuh daripada populasi India, tapi KDNKnya mengatasi negara India. Oleh itu peluang yang akan digunakan ialah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan serantau," katanya.

Dalam pada itu, selaras dengan wawasan Malaysia ke arah negara maju pada 2020, Najib turut mengambil langkah bijak mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di New York. Ia adalah sebahagian daripada pelan kerajaan untuk mengubah Malaysia dari negara berpendapatan sederhana kepada tinggi menjelang tahun 2020.

Majlis itu akan disetia usaha bersama oleh dua tokoh penting bidang sains iaitu Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid dan Presiden serta CEO, Akademi Sains New York, Ellis Rubinstein - yang di bawah akademi ini mengandungi seramai 25 pemenang Hadiah Nobel.

Apa yang dilakukan oleh Najib ini cukup meyakinkan. Selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan, usaha ke New York ini amat bertepatan. Matlamat akhirnya ialah untuk faedah rakyat dan negara. Walaupun Malaysia dilihat sudah maju sebagai negara yang pesat berkembang, potensinya masih terbuka luas.

Kesimpulannya, persiapan lawatan Najib ini berjaya disusun dengan sempurna. Orang di sebalik tabir kepada semua usaha ini menjadi kenyataan tidak lain tidak bukan, ialah Duta Besar Malaysia bertaraf Menteri ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis.

Tidak sia-sia ahli politik ini dihantar jauh dari Parlimennya di Rompin. Syabas semua dan selamat berjaya!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:59
Zohor 1:21
Asar 4:23
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.