saya nak baca ..

PELANCONGAN


ARKIB : 19/05/2011

Keliling Eropah dalam masa 11 hari


Piazza del Duomo (kanan) yang berdiri bersebelahan dengan pintu masuk ke Galleria Vittorio Emanuele di Milan, Itali.


SELEPAS menikmati keindahan di kaki Banjaran Alps, perjalanan keluar dari tapak perkhemahan di Alpencamping, Austria disambut dengan hamparan padang rumput yang dipenuhi bunga-bunga liar pelbagai warna.

Pemandangan ‘countryside’ yang cukup memukau itu mengingatkan penulis kepada babak di dalam filem The Sound of Music. Secara kebetulan lokasi persinggahan kami ketika itu tidak berapa jauh dengan kawasan pergunungan Salzburg, tempat penggambaran filem berkenaan.

Austria merupakan negara kedua yang dilalui kumpulan Eurovac 2011, trip jelajah Eropah menggunakan kenderaan rekreasi (motorhome) yang pertama ditawarkan di negara ini.

Dari Austria, pengembaraan 19 orang peserta termasuk lima dari pihak penganjur ketika itu masih berbaki enam buah negara iaitu Liechtenstein, Switzerland, Itali, Perancis, Belgium dan Belanda.

Pengembaraan bermula

Terdahulu sebelum itu, kepenatan penerbangan selama lebih 12 jam dari Kuala Lumpur ke Jerman direhatkan di sebuah hotel tepi sungai di Munich.

Hotel berusia 600 tahun itu menjadi satu-satunya penginapan hotel sepanjang perjalanan kerana pada hari seterusnya peserta akan bermalam di tapak perkhemahan.

Kesempatan berada di Munich tidak dilepaskan untuk melawat dataran Marienplatz, bekas tapak perniagaan dari zaman pertengahan Inggeris yang dipenuhi sejarah dan seni bina medieval.

Munich yang merupakan ibu negeri kepada negeri persekutuan Bavaria di Jerman memperlihatkan budaya dan teknologi yang cukup mengagumkan.

Keesokan harinya, penantian para peserta untuk memulakan jelajah berakhir apabila empat buah motorhome yang dipandu oleh pihak penganjur tiba di depan hotel.

Pengurus EuroVac Management, Muhammad Ikhmal Norizan kemudian menjemput para peserta mengambil tempat di motorhome masing-masing.

“Kenderaan yang memuatkan empat hingga lima penghuni ini bakal menjadi ‘hotel bergerak’ anda selama 11 hari jelajah kita di Eropah,” katanya.

Tidak lama selepas itu perjalanan dimulakan dengan bacaan doa selamat. Walaupun terpaksa menyesuaikan diri dengan pemanduan sebelah kanan, perjalanan dari Munich ke Austria lancar dengan pengguna-pengguna jalan raya yang cukup berhemah.

Perjalanan kami singgah di tapak perkhemahan Alpencamping, hentian motorhome yang popular berdekatan dengan pekan Nenzing, Austria.

Pusat rekreasi di lereng bukit yang dikelilingi hutan pokok pain itu menyajikan pemandangan Banjaran Alps yang memutih diselimuti salji.

Perkhemahan malam pertama memberi peluang kepada peserta untuk mengenal kemudahan yang tersedia di dalam motorhome seperti tempat tidur, dapur, peti sejuk dan bilik mandi.

Penyediaan bekalan elektrik dan air (dari tapak khemah) serta makanan mentah pula diuruskan oleh pemandu motorhome setiap kali tiba di lokasi.

Selepas menikmati makan malam di dalam suhu bawah 10 darjah Celsius, kami terlena di dalam keselesaan kenderaan masing-masing.

Keesokan harinya, keindahan di tapak perkhemahan karavan itu ditinggalkan demi meneruskan perjalanan yang masih jauh.

Selepas Austria kami tiba ke negara ketiga iaitu Liechtenstein. Ia antara negara terkecil di dunia yang hanya mempunyai 14 buah kampung.

Liechtenstein dengan populasi kira-kira 35,000 penduduk terletak sepenuhnya di jajaran Alps yang dilalui kami sebelum memasuki Switzerland.

Walaupun tiada peluang bermalam di Switzerland, perjalanan sejauh lebih 400 kilometer ke Milan, Itali langsung tidak menjemukan kerana keindahan alam yang menemani kami di kiri kanan jalan.

Jika tidak memandang ke puncak Alps, pandangan pasti terpukau pada istana-istana lama yang dibina tergantung di puncak bukit.

Ketibaan di Itali disedari apabila salah seorang pemandu memberi penerangan mengenai Campione d‘Italia iaitu sebuah penempatan di tepi Tasik Lugano.

Kawasan persempadanan yang berada di depan mata ketika itu menandakan kami sudah mula meninggalkan Switzerland dengan penuh ketakjuban pada alamnya.

Milan sebagai kota fesyen penuh elegan menawarkan peluang kepada peserta untuk membeli-belah dan melawat tempat-tempat bersejarah.

Salah satu daripada tarikan terbesar di kota itu adalah dataran Piazza del Duomo di mana terletaknya gereja gotik terbesar di dunia.

Seni bina setinggi 45 meter yang kini menjadi pusat kota Milan itu diceritakan mengambil masa selama enam abad untuk disiapkan sejak 1380.

Bersebelahan dengannya pula adalah Galleria Vittorio Emanuele. Bangunan yang dinamakan sempena raja Itali pertama. Ia menempatkan kedai-kedai dan restoran terawal yang tumbuh di Milan. Bangunan berkubah kaca itu kini menjadi ‘bilik pameran’ jenama-jenama berprestij seperti Prada, Gucci, Louis Vuitton dan Massimo Dutti.

Perhentian kami seterusnya adalah Paris, Perancis. Destinasi kemuncak bagi setiap keluarga yang mengikuti Eurovac 2011. Di tengah-tengah dataran hijau Champ de Mars, semua terpegun melihat Menara Eiffel yang diidam-idamkan selama ini.

Kesempatan berada di bawah struktur tertinggi di Paris itu tidak dilepaskan untuk membeli cenderahati dan merakam gambar sebagai tanda kenang-kenangan.

Selepas menatap sepuas-puasnya keajaiban dunia itu, kami menuju ke sebelah timur kota Perancis untuk menyelongkar dunia penuh fantasi di Disneyland Paris.

Keseronokan selama setengah hari di taman tema itu membuatkan segala kepenatan yang dirasai sepanjang hari lenyap sekelip mata.

Hari ketujuh menjadi hari paling mencabar bagi peserta Eurovac 2011. Dari Paris, perjalanan ke Calais sejauh lebih 800 kilometer menuju ke jeti feri SeaFrance untuk menyeberang ke Dover.

Namun, penat lelah memandu dari awal pagi musnah apabila kebenaran untuk memasuki England dinafikan Imigresen British atas sebab yang tidak dijelaskan meskipun kumpulan kami memiliki dokumen perjalanan yang lengkap.

Pengembaraan Eurovac 2011 akhirnya akur kepada peraturan ketat yang dikenakan. Perjalanan kemudian beralih ke Amsterdam, Belanda.

Tempoh memandu selama lebih 15 jam pada hari berkenaan turut menjadi kenangan yang tidak dilupakan penulis sebagai salah seorang pemandu motorhome.

Kekecewaan terubat sebaik kami tiba di Camping Het Rietveen, tapak perkhemahan yang terletak di pinggir bandar Amsterdam.

Kawasan pinggir tasik yang dikongsi bersama itik-itik liar yang berterbangan bebas di situ melenyapkan kegusaran di hati.

Kesempatan berada di kota Belanda tidak dilepaskan untuk menaiki bot pesiaran melalui terusan-terusan yang menjadi nadi kota yang terkenal dengan industri perkapalan sejak sekian lama.

Apa yang agak mengejutkan penulis adalah penggunaan Bahasa Indonesia sebagai bahasa terjemahan ketiga selepas Bahasa Inggeris dan Belanda, kesan hubungan kedua-dua negara yang begitu akrab.

Hadiah terakhir yang menjadi pelengkap Eurovac 2011 adalah kunjungan ke Keukenhof seluas 32 hektar iaitu taman bunga terbesar di dunia, di wilayah selatan Belanda.

Lebih bernasib baik kerana kunjungan kami ketika itu adalah pada musim bunga, waktu terbaik untuk melihat bunga tulip yang sedang berkembang mekar.

Selain susunan tulip pelbagai warna, ikon paling popular di Belanda iaitu kincir angin juga menjadi subjek yang diabadikan di dalam gambar.

Maklumat lanjut mengenai percutian motorhome boleh diperolehi daripada wakil EuroVac iaitu Ikhmal (012-319 9124) dan Fairus (012 327 2920) atau e-mel kepada [email protected]

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.