saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 23/05/2011

Bertimbang rasa kepada pemandu teksi jujur mencari rezeki

PADA April tahun lalu, Selak pernah menulis mengenai rintihan pemandu teksi. Dua pemandu diambil contoh yang dikenali sebagai Pak Lang dan Pak Long. Di bawah tajuk ‘Siapa peduli apabila Pak Lang dan Pak Long ditipu penumpang’.

Menyelak kembali tulisan itu, pembaca sentiasa dipaparkan dengan cerita mengenai teksi, iaitu pemandu enggan guna meter, pilih destinasi dan enggan ambil penumpang.

Nama saja teksi bermeter tetapi jenguklah di luar Kuala Lumpur seperti di Shah Alam, Kajang, Bangi dan Serdang. Berselerak teksi bermeter tidak guna meter.

Jika orang besar Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pun boleh ditipu inikan pula orang biasa. Itulah ragam pemandu teksi di Lembah Klang. Keadaan tidak banyak berubah.

Isu yang sama masih berlaku dan dipaparkan oleh media. Walaupun pelbagai langkah diambil untuk mendisiplinkan pemandu teksi tetapi semuanya tidak berkesan.

Mungkin kelahiran Suruhanjaya Pengangkutan Awam, Darat (SPAD) dapat membantu mengurangkan masalah ini. SPAD jangan hanya memberi tumpuan kepada usaha untuk memodenkan pengangkutan awam tetapi pelbagai masalah yang membelenggu pengusaha dan penumpang tidak diberi perhatian.

Usaha SPAD mengadakan operasi untuk mencari pemandu yang ingkar amat dialu-alukan. Usaha penyamaran oleh pegawai-pegawai SPAD sebagai orang awam sedikit sebanyak membantu mengatasi kes-kes penipuan khususnya tidak menggunakan meter. Tetapi sejauh mana usaha ini berkesan apabila mereka menaiki teksi yang pemandunya jujur serta mengikut peraturan yang ditetapkan.

Seperti yang pernah diceritakan sebelum ini, Pak Lang menceritakan bagaimana beliau disapa oleh dua lelaki di hadapan pusat membeli-belah di Jalan Imbi. Dua ‘mamat’ itu mahu ke KLCC. Maka, Pak Lang pun ambil dua orang ini, tetapi ketika meter baru menunjukkan sedikit peningkatan, si mamat ini minta Pak Lang menghentikan kenderaannya sambil mereka menyeluk saku masing-masing. Berderau darah Pak Lang kerana menyangkakan mamat-mamat itu hendak mengeluarkan senjata. Maklumlah Pak Lang pernah dirompak penumpang dan teksinya lesap selama seminggu.

Rupa-rupanya pegawai berkenaan adalah anggota penguat kuasa. Dua lelaki itu kemudian turun dari teksi menuju ke pusat membeli-belah itu semula tanpa membayar sesen pun. Kenapa ini harus berlaku? Tahukah pegawai penguat kuasa berkenaan bahawa pemandu itu sudah rugi kerana mengambil mereka berdua? Pemandu yang jujur tidak akan memilih penumpang. Tidak bertanya jauh atau dekat. Bila masuk, yang penting meter dipasang dan penumpang dibawa ke destinasi yang diminta.

Memang penguat kuasa tidak tahu mana satu pemandu yang jujur, tetapi sekurang-kurangnya sebagai ‘pengguna’ bayarlah walaupun tambang di meter sekadar menunjukkan RM2.50. Ambil resit kemudian buat tuntutan di pejabat kerana menjalankan tugas operasi penguatkuasaan.

Baru-baru ini, di kawasan yang sama Pak Lang terkena lagi. Jika dulu atas nama pegawai LPKP, tetapi kali ini atas nama pegawai SPAD.

Lebih menariknya, Pak Lang terkena di tempat yang sama pada tahun lalu. Jika dulu dua orang, tetapi kali ini, empat orang. Mereka dikatakan menjalankan operasi. Kesalahannya hanya kerana mengambil dan menurunkan penumpang di Jalan Imbi.

Adakah menurunkan penumpang itu satu kesalahan? Bila ditanya, pegawai berkenaan memberitahu di situ ada garisan kuning yang tidak boleh menurunkan penumpang. Pak Lang keliru kerana sepanjang jalan itu ada garisan kuning. Ditanya kenapa beliau menurunkan penumpang di situ, Pak Lang memberitahu, penumpang itu sudah sampai destinasinya yang berhampiran dan disebabkan jalan tengah sesak, bimbang meter akan terus melambung, maka penumpang meminta dia diturunkan segera.

Sebaik sahaja menurunkan penumpang, pegawai-pegawai yang terlibat menahannya dan memberitahu kesalahan yang dilakukan. Pak Lang cuba merayu, tetapi ditolak. Alasan yang diberi tidak diterima.

Pak Lang tidak pernah melakukan kesalahan seperti itu. Beliau sedar sebarang kesalahan menyebabkan wang hasil kutipan teksi akan melayang kerana membayar denda. Katanya, bukan senang mencari wang untuk ‘menyara’ teksi dan keluarga. Baginya, penumpang adalah ‘raja’ yang perlu dilayan walaupun tindakan itu menjebakkan mereka dalam kesalahan. Ibarat mentimun dan durian, bergolek pun cedera digolek pun cedera.

Begitulah nasib pemandu teksi yang umpama mentimun. Penumpang sentiasa betul dan aduan yang akan sampai kepada pihak berkuasa pasti menjerat pemandu. Bagaimana jika penumpang yang mahu turun, tetapi tidak diturunkan membuat aduan? Begitu juga jika tidak diambil penumpang kerana menunggu di tempat yang salah, pemandu teksi juga akan dipersalahkan.

Akhirnya, Pak Lang yang sudah tahu nasib malangnya akan kehilangan wang untuk membayar denda terpaksa mengambil penumpang yang menahan teksinya tidak jauh dari situ. Apa yang menimbulkan kemusykilan ialah di situ ada pula bas ekspres yang boleh mengambil dan menurunkan penumpang. Tahun lalu, pegawai LPKP pula tidak menyatakan kesalahannya. Kenapa ini terjadi.

Keesokannya, Pak Lang ditimpa musibah lagi. Hari itu berlaku kerosakan pada enjin teksinya yang masih baru. Sepanjang hari, Pak Lang tidak dapat memandu. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Di mana mahu mencari wang untuk membayar denda dan membaiki teksinya? Begitulah nasib malang Pak Lang.

Justeru, apa yang diharapkan, dalam usaha SPAD menguatkuasakan pelbagai peraturan, berilah sedikit ruang kepada pemandu yang jujur mencari rezeki untuk menyara kehidupan mereka. Jangan hanya perkara kecil, mereka marah dan benci kepada pihak berkuasa. Tempiasnya tentulah kerajaan. Maka bertimbang rasalah.

Pemandu teksi hanyalah sebahagian kecil golongan yang memerlukan perhatian tetapi mempunyai pengaruh yang besar. Jika tidak masakan mereka digelar sebagai ‘duta kecil’. Jagalah hati dan perasaan ‘golongan bawah’ ini tidak kira di mana mereka berada.

SELAMAT JALAN DAN AL-FATEHAH

SEMALAM (Ahad) bersemadilah buat selama-lamanya seorang wanita dalam keluarga penulis. Saleha Mohd. Noor, 55 kembali ke rahmatullah pada Sabtu sekitar 5 petang setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di pekan Penaga, Kepala Batas pada Sabtu 14 Mei 2011.

Bagi penulis, Allahyarham adalah seorang kakak yang baik. Sebagai anak sulung, tanggungjawabnya memang besar dalam keluarga. Allahyarham juga seorang anak, isteri dan ibu yang baik. Pemergiannya amat mengejutkan kami kerana akibat nahas itu, hanya tangan kirinya patah.

Selepas kemalangan, Allahyarham masih dapat berbual seperti biasa dengan mereka yang menziarahinya. Tiba-tiba Sabtu kelmarin, keadaannya kritikal sehari selepas menjalani pembedahan tangan.

Tengah hari Sabtu lalu, penulis dimaklumkan, Allahyarham perlu dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur. Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, Hospital Seberang Jaya mengubah rancangan sekadar ke Hospital Pulau Pinang (HPP). Ketika suasana ‘kelam kabut’ itu, Allahyarham sudah tidak sedar lagi dan belum sempat ke HPP, kakak, isteri dan ibu itu menghembuskan nafas terakhir di samping suami, anak-anak dan adiknya.

Amat mengejutkan kerana dilihat secara luaran, hanya tangannya yang patah. Namun, akhirnya baru dimaklumkan berlaku pendarahan pada paru-paru dan kepalanya. Begitulah kehidupan ini. Tidak ada siapa yang dapat menentukan detik kematiannya.

Kepada abang Din bersabarlah. Memang mudah mengucapkan kata-kata sabar, tetapi itulah yang mampu diucapkan. Tuhan sudah menentukannya. Kepada anak-anak saudaraku, Hasnah, Shimah (Ain), Suraya, Norsiah, Noriza, Nasriah, Khairul Anuar, Aminuddin dan Faiz redakan pemergian ibumu.

Buat Nasriah yang akan melanjutkan pelajaran ke UIAM, janganlah patah semangat. Balaslah kegembiraan ibumu yang sibuk membuat persiapan sebelum ini dengan mencipta kejayaan. Kita semua pasti merinduinya. Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraannya di alam sana. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Alfatehah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.