saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 11/06/2011

Penghargaan kepada Arshad Ayub

SALAH seorang hamba Allah yang telah banyak berbakti kepada orang Melayu dan bumiputera ialah Tan Sri Dr. Arshad Ayub.

Selaku Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) pada 1966, beliau telah mewujudkan suatu institusi pengajian tinggi yang ulung kerana pelajar-pelajarnya termasuk mereka yang institusi lain tidak mahu ambil yang lemah keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

ITM turut berhadapan dengan pelbagai masalah seperti tiada tempat tinggal untuk pelajar, bilik kuliah di Jalan Othman, Petaling Jaya yang terhad dan ketidakinginan Jabatan Perkhidmatan Awam mengiktiraf diploma-diploma keluaran ITM.

Arshad meletakkan anak-anak buahnya di merata tempat sekeliling Petaling Jaya dan Jalan Klang Lama, di Petaling Jaya di Seksyen 14, Seksyen 17, dan di Jalan Klang Lama.

Masa itu kami menerima elaun RM15 sebulan dan kebanyakan pelajar yang tinggal di Jalan Klang Lama selalu kehabisan wang kerana tempat tinggal mereka berdekatan dengan rumah urut.

Konsep pelajar tinggal di luar kawasan kampus inilah yang telah banyak ditiru oleh lain-lain institusi pengajian tinggi.

Arshad menganggap pelajar-pelajar institut tersebut macam anak dia sendiri. Dia rajin petang-petang dan malam hari meronda kawasan-kawasan kediaman pelajar untuk melihat sendiri apa yang dilakukan oleh pelajar.

Saya masih ingat lagi bagi mereka yang sedang seronok makan sate atau mi goreng di warung-warung berdekatan dengan tempat tinggal mereka akan menerima sumpah seranah daripada Arshad.

“Emak bapak awak susah payah di kampung, awak di sini boleh duduk makan mi dan sate.” Akan bertempiaran lari bila pelajar melihat kelibat kereta Mercedes Arshad dan meninggalkan mi dan sate yang terhidang. Saya rasa mamak di warung Seksyen 14 sampai hari ini ramai pelajar yang berhutang dengannya.

Arshad memperkenalkan kursus-kursus yang begitu berguna pada masa itu. Ada Kajian Perniagaan, Kajian Senibina, Kajian Senilukis, Perladangan, Sains Gunaan, Kejuruteraan.

Di sesetengah kajian pelajar dikehendaki belajar dua bahasa asing selain Inggeris seperti Perancis dan Jerman, Mandarin dan Tamil. Misalnya untuk Diploma Perladangan ramai yang mengambil bahasa Tamil.

Selain kursus-kursus diploma tempatan Arshad juga memperkenalkan kursus-kursus diploma daripada UK seperti Chartered Insurance Institute, Chartered Institute of Transport, Institute of Marketing dan dengan Universiti di Amerika, Bachelor of Business Administration dengan Universiti Ohio.

Kursus-kursus profesional seperti ACCA, ICWA (sekarang ICMA) juga ditawarkan dan saya ingat pelajar bernama Salam dan Darwis yang lulus dua bahagian dalam satu peperiksaan untuk ACCA.Ada orang kata ACCA itu anak cucu cicit Arshad!

Apabila berpindah ke kampus Shah Alam banyak lagi kursus diperkenalkan. Walaupun ITM banyak memperkenalkan kursus-kursus profesional, ia juga memberi peluang kepada pelajar yang ingin mengambil HSC atau Sijil Pengajian Tinggi (STP) untuk masuk ke Universiti selepas lulus.

Antara mereka yang mengikuti aliran ini pada masa itu ialah bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Ajib dan Datuk Shahrir Samad.

Kita boleh lihat hari ini betapa pelajar-pelajar ITM dulunya sudah mengisi kekosongan profesional Melayu dalam pelbagai bidang dan ramai telah mengukir nama misalnya dalam bidang senilukis sehingga ke peringkat antarabangsa. Ramai yang bukan saja menjadi ahli politik tetapi menduduki tempat teratas dalam sektor korporat.

Saya masih ingat memaksa beberapa orang pelajar mengambil kursus insurans semasa saya menjadi Dekan Kajian Perniagaan dan Pengurusan pada 1975.

Mereka telah menyumpah saya kerana memaksa mereka mengambil kursus yang pada mereka ialah menjual insurans. Selama 15 tahun selepas tamat ramai yang menjawat jawatan Ketua Eksekutif dalam syarikat insurans kita.

Kejayaan pelajar-pelajar ITM (sekarang UiTM) adalah kejayaan Arshad mendidik anak-anak Melayu dilentur sehingga menjadi manusia yang berguna dengan pelbagai halangan dan rintangan yang terpaksa harungi.

Demonstrasi pelajar yang diketuai Datuk Ibrahim Ali pada masa itu telah menjejaskan sedikit sebanyak nama Arshad. Beliau dipandang seolah-olah membiarkan pelajar untuk menunjuk perasaan.

Saya ingat lagi pada masa itu ada beberapa orang kakitangan dan pelajar yang dijadikan tahanan sehinggakan Unit Simpanan Khas (FRU) terpaksa masuk ke kampus.

Ekoran episod itu, Arshad telah dikeluarkan daripada ITM dan berkhidmat dengan Bank Negara selaku Timbalan Gabenor.

Arshad memang rapat dengan Allahyarham Tun Abdul Razak dan ini tentu sekali menjadi iri hati di kalangan ahli-ahli perkhidmatan awam yang lain.

Arshad dapat pasport besar daripada Allahyarham yang begitu meletakkan pendidikan anak-anak Melayu dan bumiputera sebagai agenda terpenting beliau. Daripada Kolej Rida kepada Maktab Mara dan kemudiannya Institut Teknologi Mara, Arshad memberikan tumpuan istimewa kepada ITM.

Reputasi Arshad yang garang dan mukanya yang bengis memang digeruni oleh pelajar-pelajar pada masa itu. Mereka memberikan nama panggilan Harimau kepada beliau.

Malangnya di Bank Negara, Arshad duduk di bawah Allahyarham Tun Ismail Ali, suatu institusi terkenal selaku Gabenor Bank Negara yang lama berkhidmat di Komanwel.

Bukan senang hendak bekerja dengan Tun kerana saya sendiri pernah berkhidmat di bawah beliau semasa di Amanah Saham Nasional dulu.

Orangnya mementingkan kesempurnaan dan mana yang tidak berkenan di hati beliau (banyak yang tidak berkenan) akan ditolaknya begitu saja. Ramai yang mengatakan khidmat Arshad di Bank Negara ibarat masuk peti sejuk.

Selepas Bank Negara, Arshad terus dilantik ke beberapa jawatan tinggi dalam kerajaan seperti Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan selepas bersara Arshad berkecimpung dalam perniagaan dan menjadi ahli lembaga pengarah beberapa syarikat awam dan badan-badan berkanun seperti Perbadanan Johor.

Pada saya jasa Arshad begitu besar dan wajar diiktiraf dengan menganugerahkan beliau darjah kebesaran tertinggi di tanah kita ini iaitu gelaran Tun kepada beliau.

Lihat sajalah berapa ramai anak didik beliau yang menjadi ahli profesional dan korporat dan ramai pun yang sudah bersara.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.