saya nak baca ..

PENDIDIKAN


ARKIB : 11/07/2011

Jangan abaikan anak kurang upaya

KEPRIHATINAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap anak-anak kurang upaya terserlah apabila beliau mengingatkan ibu bapa supaya memahami risiko yang menyebabkan berlakunya kecacatan itu.

Pemahaman awal punca tersebut membolehkan tindakan pencegahan dilakukan segera bagi mengelakkan sebarang risiko kecacatan kepada anak-anak, ujar beliau semasa merasmikan Kempen Intervensi Awal Mencegah Berlakunya Kecacatan Kepada Kanak-Kanak di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Sementara itu, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor menasihatkan ibu bapa supaya mengelak daripada sindrom penafian semata-mata dan tidak sanggup mendengar keganjilan yang ada pada anak mereka.

Beliau menyarankan ibu bapa membawa anak-anak untuk pemeriksaan awal kerana semakin lewat mereka dirawati semakin sukar masalahnya diatasi.

Dari aspek pendidikan, negara sentiasa memberi perhatian khusus kepada anak-anak kurang upaya. Hal ini terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 (Pendidikan Khas 1997) Peraturan-Peraturan Pendidikan, Bahagain II 3(2), Kementerian Pelajaran perlu menyediakan pendidikan khas serta kemudahan untuk kanak-kanak kurang upaya dan bermasalah pembelajaran.

Pendidikan khas ini bermula dari peringkat prasekolah, rendah hingga menengah yang meliputi aliran akademik, teknik dan vokasional.

Pada masa kini terdapat 2,912 murid dan 630 orang guru di 28 buah sekolah rendah (lima untuk kanak-kanak buta dan 23 buah bagi kanak-kanak pekak) dan 4 buah sekolah menengah.

Bilangan murid pendidikan khas integrasi pula adalah seramai 11,961 dan melibatkan 2,587 orang guru yang terletak di sekolah harian biasa.

Siapakah kanak-kanak yang tergolong dalam pendidikan khas ini?

Secara umum kanak-kanak ini terdiri daripada mereka yang mempunyai kecacatan fizikal, penglihatan dan pendengaran.

Golongan ini melibatkan juga mereka yang mengalami kecacatan akal, gangguan emosi, gangguan komunikasi dan bermasalah kesihatan.

Ini termasuk kanak-kanak yang dikatakan sebagai lembam, sindrom down, hipoaktif, hiperaktif, neurotic, szizofrenik dan autistik.

Apa yang menarik golongan ini juga terdiri daripada kanak-kanak yang pintar cerdas atau gifted kebanyakan mempunyai IQ lebih 120.

Apabila diperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran, satu daripada sub-bidang ialah mestikan murid-murid dapat menguasai kemahiran asas menulis, membaca dan mengira sebelum mereka memasuki Tahun 4 di sekolah rendah.

Oleh itu menjelang bulan April semasa murid berada di Tahun 1 mereka akan diuji keupayaan dalam kemahiran asas tersebut.

Sekiranya tidak melepasi tahap minimum murid akan diberikan bimbingan tambahan oleh guru. Pada masa yang sama pegawai kesihatan akan dirujuk jika didapati murid menunjukkan ada tanda-tanda kurang upaya.

Dari segi sejarah jelas menunjukkan pendidikan khas telah lama wujud di negara kita. Misalnya Sekolah St. Nicholas, Melaka untuk kanak-kanak bermasalah penglihatan telah ditubuhkan tahun 1926 dan Sekolah Jalan Northam, Pulau Pinang untuk mereka yang bermasalah pendengaran didirikan pada tahun 1954.

Sementara itu, latihan khusus untuk guru bagi kedua-dua bidang telah dimulakan tahun 1977 di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur.

Apakah matlamat diwujudkan sekolah pendidikan khas itu?

Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat pendidikan bermutu tidak kira sama ada mereka normal atau kurang upaya.

Malah jika didapati ada murid kurang upaya telah mencapai tahap pembelajaran minimum mereka sepatutnya boleh dimasukkan dalam aliran perdana supaya mereka tidak merasa tersisih atau terpinggir.

Menjadi tanggung jawab kita untuk menyuburkan perkembangan intelek, rohani, jasmani dan fizikal kanak-kanak kurang upaya ini supaya mereka tidak merasa rendah diri dan seterusnya dapat berdikari.

Sesungguhnya mereka juga dapat memberi sumbangan dan turut terlibat dalam pembangunan negara sekiranya diberi ruang dan peluang.

Terdapat dua perkara penting dalam usaha kita untuk menangani isu kanak-kanak kurang upaya ini. Isu pertama ialah keengganan ibu bapa untuk mendaftarkan anak mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurut sumber jabatan tersebut terdapat seramai kira-kira 600,000 orang kurang upaya di seluruh negara tetapi hanya 300,000 orang sahaja yang berdaftar dengannya.

Sekiranya mereka tidak berdaftar maka sukar untuk dikumpulkan maklumat dan data berkaitan pelbagai jenis dan kategori kurang upaya itu. Hal ini menyulitkan agensi-agensi berkenaan untuk mengambil tindakan susulan terhadapnya.

Manakala bantuan kewangan juga sukar untuk disalurkan bagi tujuan meringankan bebanan keluarga. Oleh itu ibu bapa mempunyai peranan dan tanggung jawab untuk tampil kehadapan bagi membuat pendaftaran itu.

Isu kedua ialah untuk mendapatkan tenaga guru yang benar-benar sesuai dan berkelayakan. Untuk menjadi guru di sekolah pendidikan khas tidaklah mudah seperti yang disangkakan. Mereka hendaklah mempunyai tahap sabar, rajin dan mesra yang tinggi.

Di samping itu, bagi memudahkan tugas, mereka juga perlu memiliki kombinasi pengetahuan dalam bidang psikologi, pediatrik, fisioterapi dan terapi pertuturan.

Kompetensi guru dalam bidang itu akan dapat membantu mereka sekiranya berhadapan dengan pelbagai ragam murid yang sememangnya telah dijangkakan.

Kesimpulannya apabila Perdana Menteri menyarankan supaya ibu bapa memberi perhatian terhadap isu kanak-kanak kurang upaya maka semua pihak perlu mengambil langkah yang sama.

Pihak berwajib terutama mereka yang terlibat secara langsung perlu mengambil langkah proaktif dan bersungguh-sungguh agar masalah dan penderitaan kanak-kanak itu akan terbela.

Pastikan hak mereka untuk mendapat pendidikan berkualiti dapat direalisasikan. Jangan kita abaikan anak kurang upaya.

Penulis ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.