saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 18/07/2011

Pengguna perlu pandai memilih peniaga berjiwa besar

DUA minggu lagi umat Islam dijangka memulakan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Sebulan lamanya umat Islam akan ‘menahan lapar dan dahaga’ pada siang hari di samping mengelakkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa atau membatalkan ibadah itu.

Ketika ini banyak program dirancang oleh pelbagai pihak termasuk masjid dan surau bagi menyambut bulan yang mulia ini.

Tidak ketinggalan kerajaan Pas Kedah yang begitu bersemangat untuk melarang pusat hiburan di negeri itu daripada beroperasi sepanjang bulan Ramadan. Bagaimanapun selepas diberi ‘kata dua’ oleh DAP, akhirnya hasrat itu tidak kesampaian, terbantut di tengah jalan. Ini bukanlah satu kejutan malahan sudah dijangka kerana Trio 3P (PKR-Pas-DAP) jarang sepakat mengenai isu-isu seperti ini.

Buktinya di Selangor mengenai isu penjualan arak. Maka tindakan kerajaan Pas Kedah melakukan ‘u-turn’ bukanlah ganjil lebih-lebih lagi selepas negara berkebajikan mengambil alih slogan negara Islam.

Apa pun pada bulan Ramadan akan datang, eloklah kita melakukan yang terbaik. Semoga ibadah puasa kita diberkati bukannya hanya mendapat lapar dan dahaga disebabkan ‘mulut yang tidak terurus’ dan perbuatan yang tidak terkawal..

Berbicara mengenai makan dan minum pada bulan puasa ini, elok juga kita mengamalkan sikap berjimat cermat bukannya boros berbelanja. Makan ala kadar dan pandai memilih makanan pada harga berpatutan. Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melancarkan program Menu Rakyat 1Malaysia. Program ini menyaksikan pengusaha restoran menawarkan harga RM2 bagi sarapan dan RM4 bagi makan tengah hari dalam membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat. Menurut Menteri berkenaan, Ismail Sabri Yaakob, program itu diperkenalkan ekoran trend makan di luar yang menjadi pilihan rakyat ketika ini.

Setakat ini sebanyak 728 buah kedai memberi komitmen untuk menjayakan program ini dengan sasaran 1,000 buah restoran, kedai kopitiam dan gerai makan sebelum akhir tahun ini. Diharapkan program ini akan mencapai kejayaan dan tidak hanya berjaya separuh jalan.

Tidak dinafikan masyarakat kita terutama pasangan suami isteri yang bekerja lebih gemar makan di luar. Tidak kira siang atau malam, ramai yang memilih bersarapan atau makan tengah hari di luar. Banyak alasan diberikan termasuk tidak mempunyai masa yang cukup untuk memasak. Malahan ada ketikanya, kos untuk memasak lebih mahal daripada makan di luar.

Jika dulu restoran makanan segera tidak menawarkan sarapan pagi tetapi kini sudah menjadi trend restoran berkenaan menyediakan sarapan pagi. Malahan boleh dihantar ke rumah. Begitulah mudahnya kehidupan ini, asal ada wang. Ini membuktikan sambutan hebat makan di luar.

Mungkin dengan pengenalan sarapan RM2 dan RM4 makan tengah hari akan dapat membantu mendidik masyarakat untuk makan sekadar perlu bukannya mengikut hawa nafsu. Secara tidak langsung ia akan membantu mereka menjaga kesihatan di samping tujuan utama bagi mengurangkan bebanan rakyat terutama dalam suasana kenaikan harga barang global. Dan menariknya, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Noorul Hassan Saul Hameed berkata, program tersebut merupakan tanggungjawab sosial yang boleh dijalankan pengusaha restoran.

“Ini adalah program amal jariah yang boleh dilakukan ahli-ahli Presma dan menolak sangkaan orang ramai bahawa kami hanya mengejar keuntungan,” ujarnya.

Sebelum ini pun kita mendengar bagaimana ada peniaga yang menawarkan harga lebih murah termasuklah jika memesan minuman tanpa gula.

Banyak boleh dilakukan oleh peniaga untuk membantu pengguna mengurangkan kos. Mahu atau tidak sahaja. Tetapi bagaimana pula penerimaan pengguna atau pelanggan?

Ada ketikanya pelanggan mengutamakan standard daripada harga makanan. Mereka mungkin malu memilih tempat yang menawarkan harga murah sebaliknya sanggup membayar lebih di restoran tertentu. Di Kuala Lumpur, ketika orang merungut makanan mahal, ada juga yang tidak kisah melangkah masuk ke restoran yang menetapkan harga tinggi.

Jika di situ ada restoran menawarkan sebungkus nasi lemak biasa dan teh tarik pada harga RM5 dan pada masa yang sama ada medan selera menawarkan makanan dan minuman yang sama pada harga kurang daripada itu, ada pelanggan lebih gemar memilih harga RM5.

Ini antara sikap orang kita yang merungut tidak kena tempat. Mereka ada pilihan tetapi tidak berani menjatuhkan standard atau status.

Akhirnya tak habis-habis mereka merungut pendapatan tidak cukup dan harga makanan naik mendadak. Sebagai pengguna, pandai-pandailah membuat keputusan dan pilihan ketika memilih makanan.

Kelmarin penulis sekali lagi berkunjung ke Johor kerana menghadiri Cabaran Futsal Utusan-JPMM DUN Puteri Wangsa. Sebut pasal makan, macam-macam makanan popular ada termasuklah mi rebus dan otak-otak.

Tetapi yang menarik perhatian penulis ialah mengenai makanan barat yang dijual pada harga murah.

Sebelum ini beberapa kali penulis cuba singgah di Hutan Bandar untuk menikmati chicken chop atau fish n chips tetapi tidak kesampaian kerana terpaksa menunggu meja kosong. Ramai pelanggan di situ.

Keadaan yang sama juga berlaku di cawangan kedai di Jalan Yahaya Awal yang tidak jauh dari situ. Kenapa ramai orang? Salah satu sebabnya ialah harga. Cuma RM5.Itulah yang membuatkan orang berpusu-pusu. Dan kelmarin, seorang rakan yang tidak mahu menghampakan penulis membawa ke sebuah restoran lain yang menawarkan harga yang sama.

Di Angah D&C, Bandar Baru Uda, boleh didapati makanan Western & Steam Burger pada harga yang berpatutan. Hanya RM5, anda boleh menikmati chicken chop atau fish n chips.

Ada lagi senarai harga makanan yang murah yang jarang didapati. Rasanya boleh tahan, tidak kalah dengan makanan yang sama tetapi pada harga yang mahal. Maknanya, peniaga ada cara untuk membantu pengguna menikmati makanan murah tetapi berkualiti.

Seperti kata Ismail Sabri, pengusaha restoran seperti ini adalah berjiwa besar yang sanggup mengurangkan beban perbelanjaan orang ramai. Walaupun margin keuntungan sedikit rendah tetapi mereka mendapat keuntungan dari segi jumlah jualan. Maka, kita memerlukan lebih ramai peniaga berjiwa besar.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.