saya nak baca ..

LAPORAN KHAS


ARKIB : 20/07/2011

Minum 8 gelas air sehari dipertahan


PAKAR-PAKAR tempatan sependapat lebih ramai individu yang mengalami masalah atau penyakit akibat kekurangan air dalam badan berbanding terlebih minum air. - Gambar hiasan


SELAMA ini doktor atau pakar diet menasihatkan orang ramai meminum sekurang-kurangnya 1.2 liter atau enam hingga lapan gelas air sehari bagi memastikan kesihatan badan terus berkekalan.

Namun baru-baru ini, seorang doktor dari Glasgow, Margaret McCartney menafikan perkara tersebut sebaliknya menganggap ia sebagai tidak masuk akal.

Beliau menjelaskan, wujud kajian yang menunjukkan meminum air ketika tidak dahaga, boleh mengganggu daya penumpuan seseorang.

Malah, bahan kimia yang digunakan untuk menyah jangkitan kuman dalam air botol juga tidak elok untuk kesihatan.

Setakat mana rasional pandangan McCartney dan bagaimanapun pakar-pakar lain memberi respons terhadap pandangannya itu.

Wartawan unit khas Utusan Malaysia, AZRAI MOHAMMAD cuba mencari jawapan kepada polemik yang tercetus bukan saja di kalangan pakar perubatan dan pemakanan malah orang ramai di seluruh dunia.

KUALA LUMPUR 19 Julai – Apabila seorang doktor dari Glasgow, Britain, Dr. Margaret McCartney menafikan amalan meminum lapan gelas air sehari baik untuk kesihatan baru-baru ini, ia mencetuskan polemik di kalangan pakar perubatan dan pemakanan serta orang ramai.

Bagi orang ramai yang sudah biasa minum jumlah air sedemikian, ia sudah tentu mengejutkan apabila pandangan tersebut datangnya daripada seorang doktor dan terkandung dalam Jurnal Perubatan Britain.

Namun apabila Utusan Malaysia mengemukakan isu ini kepada pakar-pakar tempatan, ternyata mereka bukan sahaja tidak bersetuju dengan pandangan seorang doktor dari Glasgow, Britain, Dr. Margaret McCartney itu.

Malah, mereka turut menempelak doktor dari Britain itu kerana saranan meminum antara enam hingga lapan gelas air sehari sudah begitu lama diberi kepada orang ramai dan terbukti berkesan.

Pakar-pakar tempatan juga sependapat bahawa lebih ramai individu yang mengalami masalah atau penyakit akibat kekurangan air dalam badan berbanding mendapat penyakit akibat terlebih meminum air.

Pada masa sama, mereka bersetuju bahawa kuantiti air yang diminum oleh seseorang berbeza, bergantung kepada aktiviti, persekitaran dan saiz badan.

Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Norhaizan Mohd. Esa berkata, air perlu diminum secukupnya bagi mengelakkan mereka menghadapi masalah seperti kelesuan sehingga menyebabkan pitam.

“Bagi individu yang aktif dan terdedah kepada cuaca panas seperti atlet, sudah pasti memerlukan lebih air berbanding mereka yang tidak aktif.

“Jika dilihat, masalah individu yang kekurangan air lebih banyak berbanding masalah mereka yang terlebih meminum air,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Norhaizan, saranan itu juga bagi mengingatkan individu yang ada kalanya tidak peka dengan keperluan air dalam badan mereka.

“Jika kita berada di dalam ruang berhawa dingin seperti di pejabat atau penerbangan berjam-jam, kita tidak rasa dahaga tapi sebaliknya badan kita kering dan memerlukan air.

“Begitu juga keadaannya bagi orang tua berusia 60 tahun ke atas, mereka sudah kurang sensitif dengan rasa dahaga,” katanya.

Tambah beliau, trend di negara ini, walaupun kebanyakan masyarakat minum dengan kuantiti air yang mencukupi, namun mereka lebih gemar meminum minuman berperisa berbanding air kosong.

“Meminum air berperisa yang manis mendedahkan mereka kepada penyakit seperti diabetis walaupun meminum air secukupnya setiap hari,” katanya.

Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ridzoni Sulaiman pula menjelaskan, tanpa air yang mencukupi, semua proses berkaitan dengan penghantaran zat-zat dan bahan kumuh dalam badan tidak akan berjalan dengan lancar.

“Sebaik-baiknya apabila bangun pagi dan sebelum ke tandas, kita perlu meminum segelas air kosong untuk memudahkan bowel motion (buang najis).

“Badan kita mengandungi 70 peratus air, maka tanpa air yang mencukupi, bahan kumuh di dalam badan tidak berjalan lancar,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai juga perlu memastikan air yang diminum adalah selamat bagi mengelakkan kandungan bahan asing yang tidak sesuai untuk keperluan tubuh.

Profesor Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Aminah Abdullah pula memberitahu, manusia sangat memerlukan air bagi melarutkan vitamin di dalam badan.

“Buah pinggang akan cepat rosak jika tiada bantuan air ketika proses penapisan dan penyingkiran berlaku,” katanya.

Pensyarah Kanan Program Dietetik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sakinah Harith pula berkata, saranan meminum banyak air bertujuan menggantikan air yang keluar daripada badan.

“Manusia lazimnya mengeluarkan air melalui kencing sebanyak 500 mililiter sehari, jadi untuk menggantikannya, kita perlu minum enam ke lapan gelas sehari,” katanya.

Doktor Kesihatan Pekerja Pusrawi, Dr. Rosli Rahim berkata, saranan tersebut telah diterima umum dan ia terbukti berkesan.

“Jika hendak dipersoalkan tentang pengambilan berlebihan, bukan saja air tetapi semua perkara jika diambil berlebihan boleh mendatangkan mudarat.

“Jadi jumlah enam hingga lapan gelas sehari itu memadai,” katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.