saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 27/07/2011

Peminat puas tonton Loudness


KONSERT Loudness diserikan lagi dengan kemunculan Amy Search (tiga dari kiri) yang diadakan di KL Live, Kuala Lumpur baru-baru ini.


PARA peminat mula mengenali Loudness sejak kumpulan rock Jepun itu ditubuhkan pada tahun 1981. Namun, nama kumpulan empat anggota itu paling meletup apabila mereka muncul dengan album Inggeris pertama berjudul Thunder In The East pada 1985 mengandungi 10 buah lagu.

Sejak 26 tahun lalu, ramai yang ternanti-nantikan kemunculan Loudness di negara ini. Justeru, apabila kumpulan yang dianggotai Minoru Niihara selaku vokalis, Akira Takasaki (gitaris), Masayoshi Yamashita (bassis) dan Masayuki Suzuki (dram) itu mengadakan konsert pertama di negara ini, ia sukar dilepaskan para peminat.

Hebatnya sambutan para peminat Loudness itu dapat dilihat menerusi Konsert 30 Years Anniversary yang diadakan di pusat hiburan KL Live, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada konsert yang mengenakan tiket berharga RM98 dan RM138 itu, para peminat mula membanjiri pusat hiburan tersebut sejak pukul 4 petang biarpun Loudness hanya muncul mengadakan persembahan mereka pada pukul 7.30 malam.

Hampir 2,500 peminat yang memenuhi ruang terhad di KL Live begitu teruja apabila Loudness muncul dengan lagu pertama mereka Fire of Spirit dan Hit The Rails. Pekikan para penonton semakin kuat apabila kumpulan rock dari Tokyo itu meneruskan persembahan mereka dengan lagu Crazy Night.

Lebih mengimbau nostalgia apabila Akira Takasaki memetik gitarnya dengan plucking secara solo bagi mengalunkan intro lagu paling popular Loudness berjudul Heavy Chains yang dipetik daripada album Thunder In The East.

Minoru yang banyak berceloteh pada konsert selama 90 minit itu seakan-akan tidak percaya dengan sambutan hangat pada konsert dan kunjungan pertamanya ke negara ini.

"Loudness telah ditubuhkan sejak 30 tahun lalu. Begitu cepat masa berlalu tetapi baru sekarang kami dapat datang ke Malaysia. Kami tahu Loudness memang mempunyai ramai peminat di sini. Tetapi baru hari ini kesempatan bertemu dengan anda kesampaian," ujarnya.

Para peminat yang kebanyakannya berusia 30-an tidak ketinggalan menyanyikan bersama-sama lagu-lagu yang disampaikan pada malam itu. Loudness pula boleh dianggap bijak dalam mencuri perhatian para peminat dalam konsert sulung mereka itu.

Ini kerana, Loudness banyak membawakan lagu-lagu popular mereka seperti Crazy Doctor, Black Star Oblivion, The King of Pain, Crazy Doctor, Get Away dan In The Mirror. Paling meruntun penghayatan para peminat apabila Loudness menyanyikan salah satu lagu slow rock popular mereka berjudul So Lonely. Situasi itu turut berjaya mengheret para peminat bagi menyanyikan lagu tersebut secara beramai-ramai.

Kebanyakan lagu yang dipersembahkan Loudness pada konsert itu dipetik daripada album mereka berjudul Thunder In The East, Hurricane Eyes dan Lightning Strikes.

Tambah menghangatkan para penonton apabila Minoru menjemput vokalis kumpulan Search, Amy berduet dengannya menerusi lagu Shadows of War dan Let's Go.

"Di sini saya dengan bangganya menjemput Mr. Amy Pheeweet bersama-sama saya berduet dalam lagu Shadows of War. Saya harap anda semua terhibur dengan persembahan duet kami ini," katanya yang mendapat tepukan gemuruh para penonton.

Sama seperti 'guitar hero' lain, Akira Takasaki yang juga salah seorang gitaris tersohor dunia tidak melepaskan peluang menunjukkan skilnya menerusi lagu instrumental, Explorer.

Para peminat yang tidak puas menyebabkan Loudness kembali semula ke pentas dengan encore tiga lagu lagi berjudul Let It Go, Like Hell dan lagu penutup, S.D.I. Konsert itu turut diserikan oleh tiga kumpulan rock tempatan iaitu Sofea, Satira dan She Wolves sebagai artis pembuka tirai.

Selain konsert, di luar pusat hiburan itu, para peminat juga mengerumuni gerai khas yang menjual kemeja-T Loudness dengan harga RM55 sehelai yang menampilkan dua warna iaitu hitam dan putih. Hampir 500 helai kemeja-T itu habis dijual sebelum konsert itu berlangsung.

Sebelum berkunjung ke Kuala Lumpur, Loudness yang kini dalam rangka konsert jelajah dunia telah singgah ke Jakarta, Indonesia pada 24 Julai lalu sebelum meneruskannya di Singapura pada 25 Julai dan di Bangkok, Thailand pula pada 27 Julai.

Search jemput Loudness Oktober ini

Amy yang menjadi penyanyi jemputan Loudness pada konsert malam itu amat teruja apabila diberi peluang berkongsi pentas dengan kumpulan rock terkenal dari Negara Matahari Terbit itu.

Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman gandingannya dan Minoru tidak terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya dia dan Search mempunyai perancangan lebih besar.

Penyanyi berusia 53 tahun itu berkata, dia telah menjemput Loudness untuk berkongsi pentas dengan Search pada Konsert Fenomena 30 Tahun Search pada Oktober ini.

"Pada konsert ulang tahun ke-30 Search yang akan diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Oktober ini Loudness akan mengadakan konsert bersama-sama kami.

"Saya jangkakan Loudness akan mengadakan persembahan sekitar 45 minit bagi memeriahkan lagi sambutan ulang tahun penubuhan Search sejak tiga dekad lalu," katanya kepada Hits.

Amy yang merupakan vokalis asal Search yang ditubuhkan di Johor Bahru pada tahun 1981 menambah, Loudness diundang pada konsert itu kerana hubungan mereka yang akrab.

Malah, kata Amy dia bukan setakat sudah lama mengikuti perkembangan Loudness tetapi turut menjalin hubungan yang baik dengan keempat-empat anggota kumpulan rock bertaraf legenda tersebut.

"Sebenarnya hubungan Search dan Loudness telah terjalin sejak lebih 30 tahun lalu di mana pada tahun 1980-an saya pernah menonton konsert Loudness di Pulau Sentosa, Singapura.

"Bagi saya Loudness dan Search adalah dua kumpulan yang berbeza budaya dan bangsa tetapi ada persamaan daripada segi genre serta perjuangan kami dalam muzik rock.

"Sewaktu kunjungan Loudness ke Kuala Lumpur sempena konsert ini, saya sempat menjamu mereka makan di Restoran Cheng Ho milik saya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur," ujarnya.

Menceritakan pengalamannya berduet dengan Minoru dalam dua lagu Loudness berjudul Shadows of War dan Let's Go, Amy bukan setakat teruja tetapi tidak menduga peluang itu turut sebagai hadiah buat para peminatnya.

Idea itu dicetuskan oleh Akira Takasaki yang mahukan saya berduet dengan Minoru bagi menghangatkan lagi konsert yang dinanti-nantikan para peminat tempatan itu.

"Pada mulanya saya dan Minoru hanya merancang untuk berduet dalam lagu Shadows of War sahaja tetapi sewaktu berada di belakang pentas Akira telah berbisik kepada sahaja.

"Dia (Akira) kata mahukan saya berduet sebuah lagu lagi bertajuk Let's Go tetapi saya tidak ingat lirik lagu itu. Tetapi Akira kata tidak mengapa, dia akan ajar dan suruh nyanyi lagu itu masa korus sahaja. Saya pun akur.

"Paling mengejutkan saya apabila Akira juga pada masa sama berjanji akan mencipta sebuah lagu khas untuk dirakamkan dalam album Search yang akan datang," jelasnya penuh bangga.

Di samping Amy, anggota-anggota Search seperti Kid dan Yazit serta vokalis MAY, Mus serta bassisnya, Yus hadir sama menonton konsert Loudness yang menjadi idola mereka selama ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.