saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 06/08/2011

Johan adaptasi al-Fatihah jadi lagu




JOHAN Nawawi dikenali ramai sebagai komposer lagu-lagu pop dalam industri muzik tanah air sejak penghujung tahun 1980-an hingga kini. Antara lagu ciptaannya berjudul Hanya Satu, Desa Tercinta, Naluri dan Samudera nyanyian Nora yang juga merupakan isterinya.

Bagaimanapun, penggubah lagu berusia 45 tahun ini turut mempunyai ilham yang kuat mencipta lagu-lagu bertemakan ketuhanan. Bukan baru sekarang, sebaliknya dia mula berjinak-jinak mencipta lagu sebegitu sejak lima tahun yang lalu.

Pedoman merupakan antara judul lagu berteraskan pop nasyid gubahannya pada ketika itu. Terbaru, anak kelahiran Ipoh, Perak ini tampil sekali lagi dengan karyanya berjudul Erti Al-Fatihah yang dinyanyikan sendiri oleh anak bongsunya, Putri yang kini hampir mencecah usia tujuh tahun.

Menurut Johan, dia tidak menafikan berasa begitu berat dan mencabar apabila mengadaptasi maksud daripada salah satu surah al-Quran iaitu al-Fatihah sebelum ia dijadikan lirik lagu Erti Al-Fatihah.

Kata anak bekas Ketua Pengarah Pusat Islam yang pertama, Allahyarham Mohd. Nawawi Mahmud ini, dia banyak berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah agar diberi kekuatan mencipta lirik lagu itu yang dipetik daripada sebuah surah yang cukup penting.

“Sewaktu mahu mencipta lagu itu, saya selalu berdoa kepada Allah selepas solat lima waktu. Saya berdoa agar diberi petunjuk kerana bukannya mudah atau sewenang-wenangnya mahu mengadaptasi surah al-Quran menjadi lirik lagu.

“Saya anggap itu satu tanggungjawab yang berat. Semasa mencipta lagu itu, saya banyak mendapat nasihat daripada Tan Sri Prof. Kamal Hassan iaitu bekas Rektor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia).

“Selain itu, dua lagi pakar rujuk saya ialah Ustaz Aminullah Saliman dan Ustaz Che Bakar Che Mat. Mereka banyak membantu menyemak dan memberi nasihat kepada saya sepanjang lirik lagu itu hendak dihasilkan,” katanya kepada S3 sewaktu ditemui di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Lagu Erti Al-Fatihah itu merupakan salah satu lagu latar yang dimuatkan dalam siri animasi baru berjudul Ummi - Ceritalah Pada Kami! terbitan Hud-Hud Media Sdn. Bhd., dan Erama Records Sdn. Bhd., yang akan disiarkan menerusi kaca televisyen tidak lama lagi.

Bapa kepada tiga anak ini berkata, minat dan ilham untuk mencipta lagu-lagu bertemakan ketuhanan itu mula tercetus pada penghujung tahun 1990-an sewaktu era kumpulan nasyid Raihan sedang mencipta populariti dalam persada muzik di negara ini.

“Ketika itu, saya teringin mencipta lagu-lagu bertemakan ketuhanan tetapi peluang itu agak lambat datang. Sehinggalah saya diminta mencipta sebuah lagu berjudul Pedoman untuk dinyanyikan oleh kumpulan Mirwana.

“Tetapi sayangnya, projek itu tidak menjadi dan akhirnya saya memberikan lagu itu kepada Nora untuk dinyanyikan. Lagu Pedoman itu turut diselitkan dalam album dan lagu latar Ummi - Ceritalah Pada Kami!

“Selain itu, kematian seorang wartawan Barat, Grame Nesbit daripada majalah Billboard yang memeluk Islam dan meninggal dunia pada 1999 juga memberi inspirasi kepada saya. Allahyarham atau nama Islamnya, Muhammad Ilham Nasir antaranya begitu meminati lagu-lagu Raihan seperti Puji-Pujian sebelum beliau memeluk agama Islam,” ujarnya.

Jelas pemegang diploma dalam bidang arkitek daripada Federal Institute of Teknologi (FIT) ini, dia berasa bertanggungjawab menghasilkan lagu-lagu bertemakan ketuhanan yang mengandungi mesej-mesej berguna untuk para pendengar terutamanya golongan muda.

Kata Johan, pengalamannya yang membesar dengan lagu-lagu penyanyi seperti Ebiet G. Ade dan M. Nasir yang turut menyelitkan mesej-mesej ketuhanan banyak memberi inspirasi serta motivasi kepadanya bagi menghasilkan lagu-lagu dan lirik-lirik seperti itu.

“Sejak kecil, saya banyak didedahkan oleh arwah ayah saya yang antaranya pernah bertugas di Pusat Islam. Arwah ayah saya banyak bergaul dengan mufti dan ustaz. Jadi, secara tidak langsung saya juga pernah terbabit dalam pergaulan bersama-sama mereka.

“Malah, saya juga kenal ramai aktivis nasyid seperti Farihin Abdul Fatah yang bekerja dengan Raihan pada penghujung tahun 1990-an. Sayangnya, ketika itu saya tidak berpeluang berkolaborasi dalam penerbitan lagu-lagu nasyid sehinggalah lima tahun kebelakangan ini,” jelasnya.

Johan yang boleh bermain alat-alat muzik seperti piano serta gitar dan mula aktif bermain muzik sejak tahun 1986 berharap selepas ini dia akan terus mencipta lagu-lagu yang bertemakan ketuhanan tetapi dalam genre pop nasyid.

Tambahnya lagi, niatnya yang mahu menyumbang kepada bahan-bahan hiburan positif diharap mendapat sambutan para peminat yang selama ini lebih mengenalinya sebagai komposer lagu-lagu pop komersial.

“Bagi saya, apa juga lagu-lagu yang bertemakan ketuhanan boleh dianggap nasyid kerana lirik-liriknya mendorong ke arah kebaikan. Tetapi untuk memudahkan sambutan para pendengar saya gubah nadanya dalam genre pop. Ia lebih mudah diterima kerana sifatnya yang lebih kontemporari itu,” katanya lagi pada pertemuan petang tersebut.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.