saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 09/08/2011

Sentuhan kreatif kayu terbuang


Raja Abdul Rahim membersihkan kayu hanyut yang baru dinaikkan dari sungai.


MENGHIAS rumah dengan memanfaatkan alam semula jadi seperti kayu hanyut memang ada keistimewaannya.

Ia umpama menghargai setiap pemberian Allah SWT dengan mengolahnya menjadi satu perhiasan indah untuk kediaman.

Bahan terbuang seperti kayu hanyut yang diambil dari laut, sungai dan hutan bakau sebenarnya boleh ditransformasi menjadi satu gubahan hiasan bunga yang sangat menarik.

Namun untuk menghasilkannya bukanlah satu proses yang mudah sebaliknya memerlukan kesabaran, ketelitian serta kreativiti.

Pengusaha perhiasan kayu hanyut dari Melaka, Raja Abdul Rahim Raja Hussin, 51, berkata, proses menghasilkan perhiasan ini memang memerlukan komitmen yang tinggi.

"Mencari kayu hanyut di sungai perlukan kesabaran, ketelitian dan minat yang mendalam kerana ia membabitkan kerja-kerja yang remeh

"Selain perlu meredah paya dan sungai, tunggul-tunggul kayu hanyut tersebut perlu di'rawat' melalui proses pembersihan, pengeringan dan kemudian di varnish untuk membabitkan seri serta meningkatkan ketahanannya," jelas Raja Abdul Rahim yang ditemui di premis perniagaannya yang terletak di Bandar Hilir, Melaka, baru-baru ini.

Bagaimanapun tidak semua kayu hanyut yang dijumpai boleh digubah menjadi perhiasan kerana hanya bahagian tertentu seperti akar, pangkal dan perdu pokok sahaja yang boleh diolah menjadi perhiasan atas faktor ketahanan dan nilai-nilai estetikanya.

Sejarah penglibatan

Menceritakan tentang penglibatan awal dalam perniagaan kayu hanyut ini, Raja Abdul Rahim berkata, ia bermula ketika dia dan isterinya bersiar-siar di tepi laut.

"Saya nampak banyak kayu hanyut, kebanyakannya kayu bakau, terdampar di pantai. Sekilas pandang ia nampak cantik dengan urat-urat kayu yang seolah-olah ada karakter tersendiri.

"Saya sempat kutip dan bawa balik ke rumah untuk dan terfikir untuk jadikan hiasan, tapi malangnya eksperimen pertama tidak menjadi.

"Tiga tahun saya bereksperimen sebelum mengambil keputusan mengkomersialkan gubahan bunga daripada kayu hanyut.

"Kebetulan saya memang minat gubahan bunga, jadi memang tiada masalah untuk saya menghasilkan gubahan-gubahan yang menarik.

"Cuma saya terpaksa mencari jalan untuk memastikan kayu tersebut tahan lama, tidak mudah dimakan anai-anai dan tidak lapuk," ujarnya.

Proses untuk menyiapkan satu gubahan ini mengambil masa lebih kurang empat hari.

Bagi Raja Abdul Rahim, sentuhan gubahan bunga kayu hanyut hanya dilakukan setahun sekali iaitu pada bulan Ramadan.

Ini kerana sambutan terhadap perhiasan menggunakan sisa kayu reput itu ada permintaannya terutama di kalangan suri rumah yang ingin menghias rumah sempena Hari Raya.

"Istimewanya gubahan kayu hanyut ini ialah ia tidak mempunyai sudut-sudut tertentu, mana-mana bahagian pun boleh menjadi fokus kerana setiap sudut mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri.

"Tambahan lagi ia amat unik, satu gubahan tidak akan menyerupai gubahan lain kerana struktur kayu hanyut yang diambil di laut atau sungai tidak akan ada dua yang sama," jelasnya yang memulakan perniagaan gubahan bunga kayu hanyut bermula Ramadan tahun lalu.

Menurut Raja Abdul Rahim, kebiasaannya bunga digubah dalam pasu dan bekas plastik. Namun dengan kreativiti yang ada padanya gubahan bunga di atas kayu hanyut ini tampak seperti landskap asal.

Malahan ia nampak seperti tunggul kayu yang mempunyai keunikannya yang tersendiri.

"Sebenarnya bahan terbuang yang orang lain tidak terfikir akan memberikan manfaat inilah boleh menjana pendapatan ketika Ramadan dan Aidilfitri.

"Banyak manfaatnya jika kita pandai mengolah hasil alam semula jadi termasuklah dari kayu hanyut seperti ini," jelasnya.

Tambahan pula, gubahan bunga dengan kayu hanyut ini boleh didapati dalam pelbagai saiz dan amat sesuai dihias di pelbagai sudut dalam kediaman.

Sebagai contoh di atas meja kopi, sudut tangga, di atas rak, peti sejuk dan boleh juga di satu sudut sebagai penyeri dapur.

Hiasan ini juga bukan saja sesuai untuk rumah, malah di lobi hotel dan pejabat.

Bagi mereka yang menghargai keindahan pastinya mengakui melihat kepada gubahan ini mampu memberi ketenangan.

Selain itu gubahan ini membuktikan bahawa pelbagai inspirasi mampu dizahirkan walau pun dengan hanya menggunakan kayu hanyut yang mungkin tiada nilainya pada pandangan mata sesetengah orang.

"Sebenarnya keindahan memberikan begitu banyak erti bagi seseorang, ia memberikan ketenangan, kelegaan dan umpama satu terapi yang melegakan minda dari pelbagai tekanan.

"Melihat gubahan bunga kain di atas kayu hanyut ini juga salah satu cara terapi terbaik untuk minda seseorang," ujar Raja Abdul Rahim menutup bicara.

Bagi yang berminat gubahan kayu hanyut ini dijual mengikut saiz dari harga RM70 hinggalah RM350 untuk satu gubahan.

Bagi yang berminat mendapatkan gubahan bunga dari kayu hanyut ini boleh menghubungi 013-6384098 atau 013-6384099.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:04
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.