saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 13/08/2011

Corrie berpuasa sebelum masuk Islam


ADAM Corrie Lee di hadapan kedainya, Just Muffin yang terletak di Wangsa Walk, Kuala Lumpur.


TANGGAL 13 Julai 2007 adalah tarikh keramat buat Adam Corrie Lee. Itu adalah tarikh dia memeluk agama Islam. Mulai saat itu, bermulalah kehidupan baharunya sebagai umat Islam.

Pelakon dan koreografer itu sama seperti umat Islam lain yang turut memikul tanggungjawab sebagai seorang Muslim termasuklah berpuasa setiap kali tibanya bulan Ramadan.

Sungguhpun baru empat tahun memeluk Islam tetapi bagi Corrie, 43, ibadat puasa bukan asing bagi anak kelahiran Pulau Pinang yang dibesarkan di Port Dickson, Negeri Sembilan ini.

Menurut Corrie atau nama asalnya Lee Choon Kooi, sejak kecil lagi dia belajar berpuasa kerana dibesarkan dalam kalangan kawan-kawan dan keluarga yang beragama Islam.

“Saya mula belajar berpuasa ketika umur saya belasan tahun sewaktu tinggal di Kem Sungala, Port Dickson. Saya tinggal di kem askar itu kerana mengikuti bapa saya seorang askar.

“Di kem itu kebanyakan askar yang tinggal bersama-sama keluarga mereka adalah orang Melayu. Apabila tibanya bulan puasa maka saya juga akan berpuasa dengan mereka.

“Apatah lagi, kawan baik saya semasa kecil, Rahim merupakan anak seorang ustaz. Saya tertarik dengannya kerana dia tidak pernah tinggal solat dan perangainya juga baik.

“Rahim juga banyak memberi pendedahan kepada saya tentang agama Islam,” katanya kepada S3 sewaktu ditemui di kedai miliknya, Just Muffin di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Corrie, dia bukan setakat pernah berpuasa sebelum memeluk Islam, malah takbir Hari Raya yang berkumandang sewaktu zaman remajanya juga banyak meninggalkan kesan kepadanya.

Kata anak keempat daripada 11 adik beradik ini, biarpun dia tidak memahami maksud takbir raya tetapi setiap kali mendengar hatinya menjadi sayu.

“Sewaktu tinggal di Kem Sungala, rumah keluarga saya tidak jauh dari masjid. Jadi, setiap kali takbir raya berkumandang di pagi hari, ia boleh didengari dan saya akan terjaga daripada tidur.

“Secara tidak langsung, itu antara pendedahan awal yang saya lalui sebelum saya mendalami dan memeluk Islam empat tahun lalu,” ujarnya yang juga merupakan seorang usahawan.

Pada pertemuan di kedai menjual kek muffin, Just Muffin yang diusahakannya sejak Februari lalu itu, Corrie berkata, dia bersyukur kerana hasratnya memeluk Islam mendapat restu keluarganya.

Malah, dia yang mendirikan rumah tangga dengan Fazima Fuad, 33, pada 21 November 2008, berkata, ibu bapanya turut mempunyai hubungan yang baik dengan orang Melayu.

Paling mengejutkan Corrie apabila ibu bapanya pernah memberitahu bahawa mereka pernah menyerahkan salah seorang adiknya untuk dipelihara oleh sebuah keluarga Melayu.

“Ibu bapa saya pernah menyerahkan seorang adik saya yang ketika itu masih kecil kepada sebuah keluarga Melayu kerana kesempitan hidup. Adik saya itu diberi nama Sharizan Husain.

“Selepas sekian lama terpisah, adik lelaki saya yang kini berusia 36 tahun telah dipertemukan semula dengan ibu bapa saya pada Tahun Baru Cina 2009.

“Sharizan bukan sahaja menjalani kehidupannya sebagai seorang Islam, malah dia juga tidak boleh berbahasa Cina kerana tinggal dengan ibu bapa angkatnya sejak dari kecil,” ceritanya.

Selain itu, pengalaman hidupnya merantau ke Kuala Lumpur pada tahun 1980 kerana mahu mencapai cita-citanya sebagai seorang chef banyak membantunya mengenal agama Islam.

Kata pelakon filem KL Gangster ini, dia banyak belajar daripada pengalaman pahit manisnya ketika itu.

“Sewaktu berhijrah dari Port Dickson ke Kuala Lumpur, saya hanya berbekalkan wang RM30. Ketika itu, saya melakukan pelbagai pekerjaan termasuklah bekerja di kelab malam.

“Saya juga menyertai pelbagai pertandingan tarian dan daripada situlah saya memulakan kehidupan sebelum terbabit dalam bidang tarian dan lakonan sehinggalah ke hari ini,” katanya lagi.

Selain pernah menjadi koreografer dalam Akademi Fantasia musim kedua (AF2) dan AF4 serta Mari Menari, Corrie juga pernah berlakon dalam filem Spinning Gasing dan Libas.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:04
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.