saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 19/08/2011

Azmi nafi keluar kenyataan krisis UM




KUALA LUMPUR 18 Ogos – Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM), Prof. Madya Dr. Azmi Sharom (gambar) menegaskan, beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu krisis kemerosotan ilmuwan dan pakar yang dihadapi universiti itu.

Sebaliknya, jelas beliau, kenyataan yang merujuk kepada tindakan 146 staf akademik UM meletak jawatan sejak 2009 sehingga menyebabkan berlakunya krisis tersebut adalah daripada segelintir ahli PKAUM.

Penafian beliau itu bagaimanapun bercanggah dengan apa yang dikatakannya semalam mengenai krisis yang melanda UM itu.

Azmi ketika dihubungi hari ini menjelaskan, beliau sebagai Presiden PKAUM, hadir pada sidang akhbar semalam semata-mata untuk memberi perlindungan kepada ahli-ahlinya.

“Semalam, saya langsung tak kata apa pun. Saya sebagai Presiden PKAUM berada di sana (sidang akhbar) sekitar lima ke 10 minit sahaja. Saya hadir hanya untuk memberi perlindungan kepada ahli.

“Mereka berhak untuk bersuara dan saya setuju. Ahli-ahli PKAUM datang untuk memberi penjelasan kepada wartawan. Oleh itu, kenyataan berhubung dakwaan UM berhadapan dengan krisis kemerosotan ilmuwan adalah kenyataan sekumpulan ahli PKAUM.

“Ia bukan kenyataan rasmi saya dan bukan kenyataan rasmi PKAUM. Saya pun tak pernah nampak (lihat) angka-angka yang diberikan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, sekumpulan ahli PKAUM ada menyatakan rungutan mereka yang tidak senang hati dengan beberapa polisi UM ketika ini dan itu adalah hak mereka untuk bersuara.

Menurut Azmi, beliau telah memberikan penjelasan secara bertulis kepada Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon untuk menerangkan perkara sebenar.

Berikut adalah kenyataan akhbar yang diberi kepada wartawan Utusan Malaysia pada sidang akhbar semalam.

KENYATAAN AKHBAR OLEH AHLI DAN PRESIDEN PKAUM MENGENAI PENGURUSAN UM DALAM KERANGKA KEPENTINGAN AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Kenyataan ini adalah kesan keprihatinan kami terhadap gaya, kaedah, dan tindakan kepimpinan Y.Bhg Tan Sri Datuk Dr. Ghauth Jasmon selaku Naib Canselor Universiti Malaya.

Berdasarkan bukti dan pengamatan kami ahli akademik di Universiti Malaya, kami berpendapat bahawa cara, gaya, kaedah, dan tindakan Naib Canselor akan menjejaskan kedudukan dan kepentingan bangsa, agama dan negara. Berikut ialah ringkasan eksekutif kenyataan akhbar mengenai perkara ini:

1. Dalam tempoh 2009-2010, seramai 122 profesor/ profesor madya dan pensyarah/ ahli akademik telah meletakkan jawatan. Seramai 52 orang staf akademik dari Fakulti Perubatan telah mengambil tindakan sedemikian, 12 orang dari Fakulti Perakaunan, 10 orang dari Fakulti Sains, 8 orang dari Fakulti Kejuruteraan, dan selebihnya seperti pada Lampiran 7 memorandum. Sebahagian besar daripada mereka yang meletakkan jawatan terdiri daripada pakar-pakar bidang dan profesor senior. Ini bermakna bahawa Universiti Malaya sedang menghadapi krisis kemerosoton ilmuan dan pakar yang mempengaruh besar dalam akademia dan masyarakat, sama ada peringkat nasional atau internasional.

2. Dalam tempoh yang sama, pihak pengurusan Naib Canselor telah melantik seramai 480 orang pensyarah baru di mana 80% daripada jumlah itu daripada negara asing seperti Bangladesh, Nigeria, Filipina, Sri Lanka, India, Jordan, dan lain-lain negara Dunia Ketiga. Ini telah menjejaskan kualiti pengilmuan dalam bahasa Melayu pada peringkat ijazah dasar di semua fakulti dan program pengajian, malahan juga di peringkat ijazah tinggi. Implikasi tindakan sedemikian ialah kemerosotan kualiti graduan, khasnya dalam bidang perubatan, sains, kejuruteraan, perakaunan, serta bidang-bidang ilmiah lain. Tindakan sedemikian telah juga menjejaskan proses pembangunan insan akademia, khasnya peringkat sarjana dan kedoktoran.

3. Dalam tempoh kepimpinan beliau, Naib Canselor telah memperketatkan proses dan prosedur kenaikan pangkat ke jawatan pensyarah kanan, profesor madya, dan profesor dengan lebih memberatkan penerbitan dalam jurnal ISI (berbahasa Inggeris antarabangsa), dan kurang memberi tumpuan kepada penerbitan dalam bahasa Melayu. Implikasi tindakan ini telah dan akan menjejaskan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu perlu wajib berkembang sebagai bahasa ilmu agar rujukan dalam negara dan antarabangsa, seperti yang berlaku di universiti-universiti Jepun, Korea, China, Russia, Jerman, dan Perancis. Tindakan sedemikian juga bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjadi tunjang pembinaan negara bangsa Malaysia. Implikasi lain ialah pelajar-pelajar pasca siswazah yang bercita-cita untuk masuk ke akademia akan merosot lantaran proses dan prosedur kenaikan pangkat yang ketat di Universiti Malaya.

4. Sehubungan dengan isu-isu yang dinyatakan sebelum ini, dalam tempoh terdekat Universiti Malaya akan dibanjiri oleh ahli akademik antarabangsa (bukan warga Malaysia); maka suara-suara yang mendokong kepentingan negara dan kebangsaan dari kalangan intelektual akan menjadi terpencil dan seterusnya Universiti Malaya bukan lagi menjadi warisan nasional yang dapat mempamerkan kewibawaan dan keintelektualan anak bangsanya sendiri.

5. Dalam tempoh kepimpinan Naib Canselor, kita tidak terdengar dan ternampak mercu tanda (landmarks) yang unggul yang diterajui oleh Universiti Malaya untuk memperkasakan kepentingan agama, bangsa, dan negara, dari segi penyelidikan dan teknologi yang mampu menjadi pemangkin untuk pembangunan ekonomi, masyarakat, dan negara. Daripada pengamatan kami, Naib Canselor hanya memberi tumpuan penerbitan artikel jurnal antarabangsa ISI, tanpa mengira kualiti penyelidikan; mutu jurnal dan bukan kepada kepentingan pembangunan negara. Sumbangan-sumbangan lain yang penting seperti inovasi alat, karya ilmiah, dan karya seni yang menyumbang kepada pembangunan tetapi tidak boleh diterbitkan sebagai bahan ISI tidak diambil kira dalam pengiktirafan akademik. Implikasinya Universiti Malaya hanya menjana kertas jurnal antarabangsa sahaja dan tidak mampu menterjemah hasil penyelidikan untuk kemajuan negara.

6. Juga ketaksuban kepada ISI ini telah menyebabkan calon SLAB /SLAI yang telah menyempurnakan PhD tidak diambil ke jawatan tetap; juga pensyarah muda yang tiada artikel ISI tidak dinaikkan pangkat ke pensyarah kanan dan profesor madya; dan profesor senior yang telah berkhidmat dengan cemerlang selama lebih 25 tahun tidak disambung kontrak lepas bersara disebabkan kurang artikel jurnal ISI. Implikasinya hal ini ialah berlakunya kelemahan di fakulti disebabkan penghijrahan keluar (brain drain) di kalangan staf akademik muda dan senior. Kekosongan ini boleh diisikan dengan pensyarah luar negara, namun komitmen mereka bukan berbentuk jangka panjang dan juga bukan kepada pembinaan negara bangsa.

7. Akhirnya apa? Keprihatan kita adalah kepada kegemilangan Universiti Malaya sebagai institusi yang instrumental dan progresif dalam proses pembangunan negara bangsa. Kepimpinan Naib Canselor telah gagal mewadahi kepentingan bangsa, agama, dan negara. Oleh itu, kami mohon pihak berkenaan menamatkan khidmat Tan Sri Datuk Ghauth Jasmon sebagai Naib Canselor pada November 2011 ini demi kepentingan Universiti Malaya dan negara. Sekian, terima kasih

Kenyataan ini dibuat oleh Presiden PKAUM (Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya) dan Ahli-ahli PKAUM dari beberapa fakulti terlibat pada Rabu 17 Ogos 2011.

Prof. Madya Dr. Azmi Sharom

Presiden PKAUM

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.