saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 27/08/2011

Hamid Gurkha 40 tahun jaga makanan


BERSAMA A. R. Badul (kiri) sewaktu berlakon dalam filem Salah Bapak.


Hamid Gurkha atau Abdul Hamid Abdul Rahman, bapa kepada lapan anak dan datuk kepada 30 cucu ini, berkata, dia mula menjaga makan dan minum sejak 40 tahun lalu dengan hanya mengambil makanan yang sesuai dengan usianya bagi mengelak dihidapi penyakit yang biasanya menyerang orang seusia dengannya.

"Sejak 40 tahun lalu, saya tidak minum minuman yang ada ais ataupun bergas. Makanan-makanan laut juga saya tidak makan.

"Saya jarang makan ayam. Kalau makan pun ketika menghadiri majlis kenduri atau di majlis-majlis tertentu yang tiada lauk pilihan kecuali ayam," katanya kepada S3 sewaktu ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Hamid, biarpun dia banyak menjauhi makanan seperti daging dan yang berminyak tetapi itu tidak bermakna diet sehariannya terganggu.

Sebaliknya, anak kelahiran Segambut, Kuala Lumpur ini lebih gemar menikmati makanan berasaskan ikan dan meminum air suam yang mana amalan itu telah menjadi salah satu dietnya sejak empat dekad yang lalu.

"Saya misalnya lebih suka makan sup ikan dengan nasi putih sahaja. Kalau minum pun, air suam sahaja. Isteri saya, Timah Abdul Hamid, 70, pun sudah biasa dengan diet saya. Malah, anak-anak saya juga faham dengan pilihan sajian saya seharian. Mereka tidak kisah.

"Walaupun saya tidak banyak makan pelbagai jenis makanan tetapi saya tidak menghalang ahli-ahli keluarga saya memasak atau makan makanan yang mereka suka. Terpulanglah kepada diri masing-masing.

"Tetapi saya senang dengan diet saya sekarang kerana setakat ini saya tidak menghidap sebarang penyakit kronik walaupun sudah berusia 80 tahun. Bagi menambahkan lagi stamina, saya suka buat aktiviti di luar termasuklah berlakon drama ataupun filem," ujarnya.

Hamid atau lebih mesra dengan panggilan Pak Hamid menjelaskan, berlakon bukan sahaja sebagai sumber pendapatannya tetapi aktiviti itu juga menjadikannya lebih aktif, selain menghilangkan rasa bosan.

Malah, disebabkan staminanya yang masih kuat itu, tidak hairanlah dia yang menetap di Klang, Selangor sejak berusia enam tahun terus mendapat kepercayaan penerbit serta pengarah yang menawarkannya berlakon drama atau filem sehinggalah ke hari ini.

"Walaupun sudah berusia 80 tahun tetapi penglihatan saya masih baik. Saya tidak menggunakan cermin mata seperti orang-orang tua yang lain.

"Saya juga boleh memandu kereta dengan baik. Baru-baru ini, saya memandu kereta sendirian dari Klang ke Alor Setar.

"Saya juga biasa menjalani penggambaran drama atau filem sehingga pukul 3 pagi. Setakat ini, alhamdulillah..., kesihatan saya masih baik dan masih boleh berlakon seperti biasa," katanya yang baharu tamat menjalani penggambaran filem Alamak arahan Ismail Hasim yang akan ditayangkan seluruh negara mulai 3 November ini.

Hamid yang pernah berlakon dengan Dharma Harun Al-Rashid menerusi filem Sikit Punya Gila pada tahun 1982 dan Ragam Pemandu (1989) bersama Aznah Hamid bersyukur kerana biarpun sudah lanjut usia tetapi tawaran berlakon yang diterimanya masih belum putus-putus.

Pada masa sama, dia terus digandingkan dengan pelawak generasi muda seperti kumpulan Sepah di mana secara tidak langsung, ia turut meletakkan namanya sebaris dengan artis-artis popular masa kini.

Sungguhpun begitu, dia yang pernah menyertai Angkatan Tentera Malaysia dari tahun 1952 hingga 1959 berkata, terdapat banyak perbezaan antara gaya persembahan para pelawak hari ini dengan zaman kegemilangannya pada akhir tahun 1970-an.

"Saya dapati mesej dalam lawak jenaka sekarang ini agak kurang berbanding dahulu. Lawak jenaka dahulu menyelitkan banyak mesej yang berguna untuk para peminat, misalnya soal kehidupan bermasyarakat berbilang bangsa dan agama.

"Dahulu golongan pelawak banyak membantu usaha kerajaan dalam kempen seperti perpaduan dan semangat cintakan negara. Sedangkan butiran lawak jenaka sekarang, adakalanya kosong tanpa mesej yang membina," ujarnya yang mendapat gelaran Gurkha kerana rupanya seperti kebanyakan askar Gurkha.

Sewaktu zaman kegemilangan Hamid pada tahun 1970-an, dia banyak menerbitkan album sketsa lawak jenaka bersama rakan duetnya, Jamali Shadat antaranya berjudul Manaku Tada Mengaku, Dodol dan Ujian Memandu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.