saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 05/09/2011

Guan Eng ulas Mat Sabu...Siapa si Luncai dan siapa pula labu-labu

SEMPAT juga penulis berhari raya di kampung walaupun terpaksa bertugas pada hari raya pertama. Seperti biasa, apabila kembali ke Permatang Pauh, banyak cerita menarik, tentunya mengenai politik.

Kebetulan pada hari raya ketiga, ada rumah terbuka wakil rakyat kawasan itu, Anwar Ibrahim (Parlimen Permatang Pauh) dan Mansor Othman (ADUN Penanti). Majlis berlangsung di bilik gerakan pakatan DAP-PKR-Pas berhadapan masjid Kubang Semang. Pada 11 September ini, kira-kira empat kilometer dari situ, akan berlangsung pula Rumah Terbuka Aidilfitri 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu, juga terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh dan DUN Penanti. Kepada penduduk kawasan itu dan sekitarnya dan mungkin juga di utara, hadirlah beramai-ramai untuk berhari raya bersama-sama Perdana Menteri, Najib Tun Razak.

Cerita yang menjadi bualan di Pulau Pinang tentulah mengenai kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng. Tidak ketinggalan juga kisah jiran kampung penulis, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu @ Mat Sabu. Ada sesetengah orang menggelarnya jurucakap kerajaan DAP Pulau Pinang. Lebih-lebih lagi kedudukan Mat Sabu dalam Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP).

Nama Mat Sabu memang menjadi sebutan ramai. Jika dulu ‘ayam sabung’ Pas ini tenggelam seketika selepas tewas bertanding jawatan dalam parti tetapi sejak kemenangannya sebagai orang No.2 dalam Pas, namanya melonjak kembali. Mat Sabu terus ‘mencipta nama’ dengan aksi jatuh motorsikal dalam perhimpunan haram Bersih di ibu negara Julai lalu. Namanya menjadi sebutan lagi dengan beratus laporan polis dibuat terhadapnya berikutan isu mengangkat komunis sebagai hero. Pada masa yang sama, timbul isu caj rawatan bagi merawat kecederaan Mat Sabu akibat menyertai perhimpunan Bersih yang melibatkan wang PBAPP. Begitulah insan popular bernama Mat Sabu yang masih dapat berhari raya dengan meriah walaupun diasak depan, belakang, kiri dan kanan.

Sehingga semalam, isu caj rawatan ini masih belum jelas. Guan Eng selaku Pengerusi Lembaga Pengarah PBAPP belum mampu menjawab persoalan yang ditimbulkan dengan baik sebaliknya menyifatkan beliau dan Mat Sabu sebagai mangsa fitnah. Malahan beliau sekadar berkata ‘biarkan si Luncai dengan labu-labunya’.

Mungkin hari ini, selepas kembali dari lawatan ke China dan memulakan tugas selepas hari raya, Guan Eng bersedia menjelaskan semuanya sesuai dengan slogan yang dilaung-laungkannya iaitu cekap, akauntabiliti dan telus atau CAT. Eloklah Setiausaha Agung DAP itu merungkai segala persoalan supaya ‘fitnah’ itu ditangkis secara CAT. Apatah lagi beliau sering bercakap mengenai amar makruf nahi mungkar. Guan Eng pun faham bahawa dosa fitnah itu lebih besar daripada membunuh. Maka sebagai pemimpin sebuah kerajaan negeri, beliau perlu memimpin rakyatnya supaya tidak terlibat dengan fitnah.

Penulis juga tidak tahu apakah menjelaskan secara terperinci mengenai wang PBAPP itu selari dengan CAT atau tidak.

Ramai yang ingin penjelasan yang telus supaya akaun PBAPP diurus dengan cekap dalam erti kata yang sebenarnya. Bukan cekap memutarkan fakta dan angka.

Ramai juga yang ingin tahu mengenai kelayakan Mat Sabu mendapat rawatan yang dibiayai PBAPP walaupun punca kecederaan itu akibat menyertai perhimpunan haram. Apakah keistimewaannya? Jika layak, adakah PBAPP secara tidak langsung akan didakwa mengiktiraf perhimpunan haram Bersih itu? Jika ya, adakah jika pada masa depan kakitangan PBAPP menyertai mana-mana perhimpunan haram layak membuat tuntutan caj rawatan jika mengalami kecederaan atau harta mereka musnah? Rasanya tidak ada penanggung insurans yang akan membayar pampasan jika pelanggan mereka terlibat dengan aktiviti yang memudaratkan seperti perhimpunan haram itu.

Justeru penjelasan Guan Eng amat dinanti supaya CAT benar-benar diamalkan. Kita tidak boleh membiarkan ‘Si Luncai dengan labu-labunya’ terjun ke dalam laut, lebih bahaya apabila labu-labu itu bocor. Bak kata orang untung sabut timbul untung batu tenggelam.

Tetapi siapakah si Luncai dan siapa pula labu-labu? Kita tidak mahu isu ini berakhir begitu sahaja atau membiarkan Guan Eng ‘terjun’ dengan Mat Sabu.

Kembali kepada CAT, seorang Melayu yang mendakwa dari negeri itu menghantar e-mel kepada penulis. Antara kandungannya ialah: ‘‘Saya sendiri yang tinggal di Pulau Pinang melihat, rakyat negeri ini kini lebih sejahtera hidup di bawah kepimpinan yang cekap, akauntabiliti dan telus,’’.

Dalam e-mel yang mengulas Selak bertajuk Menang dulu kerusi PRU, baru pakat cerita soal jawatan itu, beliau juga berkata: ‘‘Pada pengamatan saya, setelah lebih tiga tahun Lim Guan Eng cuba diburukkan oleh pihak-pihak tertentu, kepimpinan beliau semakin diterima kebanyakan orang Islam di Pulau Pinang’’.

Tidak pasti kenyataan itu merujuk kepada orang Islam mana kerana di Pulau Pinang walaupun Islam itu satu tetapi ada orang Islam sokong Pas, UMNO, Kimma, PKR, DAP atau tidak berparti politik.

Ketika di kampung baru-baru ini, seorang rakan memberitahu, dalam ceramah di pekarangan sebuah masjid, pemimpin pembangkang bukan Islam diberi tepukan apabila menghentam UMNO. Tentunya ada orang Islam UMNO tidak suka Guan Eng.

Bukan setakat orang Islam dari UMNO tetapi Kimma atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga tidak senang dengan tindak tanduk Guan Eng ini. Jadi kurang tepat kalau dikatakan kebanyakan orang Islam Pulau Pinang menerima kepimpinan Guan Eng.

Akhirnya dia menulis: ‘‘Saya berasa DAP akan terus menang dalam PRU akan datang di Pulau Pinang dan Lim Guan Englah paling layak untuk kekal menerajui Pulau Pinang,’’.

Penulis setuju dengan kenyataan terakhirnya itu. Memang betul. Dengan sokongan kuat PKR dan Pas, isu Gerakan yang belum ‘bangkit’, sokongan masyarakat Cina terhadap MCA tidak berubah, maka bukan mustahil DAP akan kekal memerintah Pulau Pinang. Lebih parah jika UMNO Pulau Pinang tidak bekerja kuat atau kalut dengan kepimpinan.

Semua sesak selepas hari raya

DALAM perjalanan pulang ke Kuala Lumpur kelmarin (Sabtu), seperti tahun lalu, penulis sekali lagi terperangkap dalam kesesakan di Lebuh Raya Utara-Selatan. Kenderaan bergerak perlahan setiap kali menghampiri kawasan rehat dan rawat serta susur keluar ke plaza tol. Di sesetengah hentian rehat, pengguna lebuh raya beratur panjang untuk ke tandas. Gerai makanan menjadi tumpuan.

Sebelum pulang, penulis sempat menjamu selera di restoran nasi kandar di Bukit Jambul. Di situ juga jammed kerana pelanggan terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan makanan. Malangnya ada juga yang cuba potong barisan dengan taktik menegur rakan yang ada di hadapan. Nasib baik tidak ada yang kena penendang. Tetapi keadaan ini tentunya lebih baik berbanding di negara lain yang terpaksa berebut untuk mendapatkan makanan. Bersyukurlah!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:00
Zohor 1:22
Asar 4:25
Maghrib 7:25
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.