saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 03/10/2011

Mudahnya memohon maaf selepas terlanjur kata, perbuatan

SABTU lalu, penulis bercadang ke Johor Bahru (JB) untuk menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Abdul Halim Suleiman.

Bagaimanapun hasrat itu dibatalkan. Bukan tidak yakin dengan keselamatan di Johor tetapi disebabkan jiran, Mohd Puzi Razali mengadakan majlis kesyukuran, bacaan yasin dan tahlil di rumahnya. Kata orang jiran didahulukan.

Apapun selamat pengantin baru kepada Nurshafena dan pasangannya Muhamad Hairul Rizal Jasi. Sahabat di JB pula bertanya kenapa tidak datang? Secara berseloroh penulis menjawab: ‘‘Bimbang orang Johor marah kerana orang Penang banyak sangat buat hal, mula-mula isu Bukit Kepong kemudian soal keselamatan di JB’’. Sahabat itu pula menjawab: ‘‘Yang Bukit Kepong tu memang orang kampung saudara tapi yang isu keselamatan tu bukannya berasal dari Penang,’’

Penulis pernah bertugas di Johor dan Pulau Pinang. Jika di Pulau Pinang pernah ‘berkhidmat’ di bawah dua ketua menteri - Dr. Lim Chong Eu dan Dr. Koh Tsu Koon, di Johor juga melibatkan dua menteri besar iaitu Muhyiddin Yassin dan Abdul Ghani Othman. Ketika itu di Johor yang menjadi `syurga’ membeli-belah warga Singapura, Sungai Segget yang terletak di tengah bandar raya JB kurang enak baunya.

Mungkin kurang sikit aromanya berbanding Sungai Pinang di Pulau Pinang. Tetapi ketika ini Sungai Segget sudah ‘hilang’ dan menjadi laluan pejalan kaki dan tempat peniaga mencari rezeki. Keadaan sudah berubah. Tidak pasti pula apa jadi dengan Sungai Pinang ketika ini. Adakah sudah berubah atau pi mai pi mai tang tu? Dan ketika sedang berehat selepas menghadiri majlis di rumah Puzi, penulis didatangi seorang remaja lelaki. Walaupun dia bukan Islam tetapi pendekatannya memang mesra. Sambil menunjukkan risalah bergambar memohon bantuan untuk sebuah persatuan kebajikan, penulis bertanya dari mana? Jawabnya Penang. Pada ketika itu terlintas di fikiran mengenai permohonan maaf Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap Sultan Johor berhubung kenyataannya yang dikatakan memburukkan Johor. Bagaimana agaknya jika remaja itu berdepan dengan orang Johor? Mujurlah penulis dari Penang. Maka tidak timbul soal itu. Penulis cuma bertanya kenapa terlalu jauh kutip derma? Sudah habiskah dia ‘pusing’ Penang? Jawabnya ringkas: ‘‘Dekat saja (Penang-KL), empat jam perjalanan!’’. Melihat gambar-gambar yang ditunjukkan, penulis tidak keberatan menderma. Dia juga meyakinkan penulis, jiran-jiran lain sudah menderma.

‘Ringan mulut’ penulis nak bertanya isu Johor dan Pulau Pinang tetapi membatalkannya. Mungkin dia tidak tahu apa-apa. Tetapi penulis percaya jika dia tahu isu itu dan ditanyakan padanya, tentunya dia juga akan kecewa. Bak kata orang seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit. Satu persatu cerita `kurang enak’ dibawa oleh orang Penang termasuklah Anwar Ibrahim dan Mat Sabu.

Sekarang orang Melaka yang melompat ke Penang pula buat hal. Memohon maaf memang mudah. ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan yang menimbulkan isu ‘tukar’ Jalur Gemilang juga minta maaf. Malahan dikenakan tindakan disiplin oleh DAP. Guan Eng juga minta maaf tetapi nasibnya tentu lebih baik berbanding Manoharan. Tetapi adakah selepas memohon maaf, cerita itu akan dilupakan bagai disimpan di dalam peti yang diselak (dikunci) rapat? Atau adakah ia akan terus diselak (dibongkar) secara berterusan? Sebenarnya memohon maaf memang mudah. Apa susahnya ‘tumbuk’ orang selepas itu dengan ‘muka tebal’ memohon maaf, tidak kiralah ikhlas atau tidak. Lebih-lebih lagi sifat orang Melayu yang pemaaf! Malahan di kalangan Melayu, ada yang sanggup seperti lembu dicucuk hidung, sanggup menang sorak kampung tergadai.

Hari ini ramai yang tidak dapat mengawal keceluparan dengan membangkitkan pelbagai isu atau kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum. Bercakap ikut sedap mulut dan kenyataan mereka tersiar di media cetak, elektronik, Internet dan sebagainya. Bagi mereka, mengeluarkan kenyataan menandakan matlamat sudah tercapai.

Apa yang terbuku di hati dan ingin diucapkan sudah ‘dilontar’. Biarlah seribu kecaman, kutukan atau ribuan laporan polis dibuat, tetapi yang penting,‘batu’ sudah dilontar, ‘tumbukan’ atau ‘tikaman’ sudah dilepaskan. Sama ada mengenai sasaran atau tidak, itu soal kedua. Mereka puas kerana melepaskan segala-galanya sama ada berbentuk kritikan, fitnah/tohmahan, maki hamun atau penghinaan.

Walaupun perkara remeh dibangkitkan tetapi apabila ia menyentuh perasaan orang lain maka ia menjadi isu besar. Cakap sejengkal dibawa sehasta. Selak balik pelbagai isu - agama, bahasa, budaya, kaum yang dilontarkan sebelum ini yang mengundang pelbagai kenyataan balas yang kadangkala mencemaskan. Bak kata orang luka di tangan dapat diubat, luka di hati siapa tahu. Luka di tangan kerana pisau, luka di hati kerana kata. Memang mudah menarik balik kenyataan dan memohon maaf tetapi luka sudah hilang, parutnya tinggal juga.

Seperti diselak sebelum ini, cakap jangan sebarang cakap. Kata orang Melayu, terlanjur kata, padah akibatnya. Tetapi resam manusia, ketika ghairah bercakap, mereka cepat lupa diri, tidak ingat apa yang diucap. Ada juga seperti lontar batu sembunyi tangan atau lidah bercabang. Tetapi orang yang mendengar tidak mudah lupa pada apa yang kita ucapkan. Maka untuk menjaga hati semua - Melayu, Cina, India dan sebagainya tidaklah semudah kita bercakap atau berceramah.

SEKADAR RINTIHAN

MINGGU lalu, Selak menerima e-mel seorang bapa yang mendakwa masih banyak sekolah kebangsaan ‘daif’ dan memerlukan perhatian. Selak tidak pasti sejauh mana kebenaran dakwaan itu. Kementerian Pelajaran tentulah lebih arif. Jika tidak betul, lupakan. Jika betul bantulah. Jika tidak pasti, turunlah ke sekolah mencari kepastian.

Sekolah di Lembah Klang itu mempunyai makmal komputer tersergam indah tetapi isinya 0. Pihaknya pernah meminta sumbangan melalui korporat atau kerajaan tetapi tidak dilayan. Jemput hadir ke majlis anjuran sekolah pun tidak ada yang sudi. Beliau mahu melengkapkan makmal komputer itu supaya murid-murid tidak ketinggalan dalam IT. Beliau sekadar ingin menumpang keprihatinan kerajaan BN!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.