saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 03/10/2011

Bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa

CADANGAN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri supaya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ada kewajarannya.

Dan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis perdebatan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa supaya bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa antarabangsa adalah suatu tekad politik yang betul.

Sejak UKM ditubuhkan pada 1970, bahasa Melayu menjadi bahasa utama sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengucapan. Secara empiris bahasa Melayu diajar tidak saja dalam bidang ilmu kemanusiaan tetapi diajar dalam bidang sains, perubatan, kejuruteraan dan sebagainya.

Hasilnya ribuan mahasiswa dikeluarkan di kalangan semua bangsa dan memiliki keupayaan menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan melakukan kajian ilmiah yang sifatnya menyumbang kepada khazanah ilmu dalam bahasa Melayu.

Ia adalah suatu kewajaran bagi sebuah bangsa yang merdeka supaya memartabatkan bahasa ibundanya dan bersikap terbuka untuk memperkasa bahasa antarabangsa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa tamadun iaitu bahasa Arab untuk keperluan ilmu dan binaan peradaban.

Mitos yang mengatakan bahasa Inggeris itu mempunyai kaitan dengan kemajuan dan kemodenan adalah meleset kerana banyak negara di Eropah dan Asia maju dengan memartabat bahasa ibunda mereka. Perancis, Jerman, Sweden maju kerana memartabatkan bahasa ibunda. Cina, Jepun dan Korea juga sedang maju menggunakan bahasa ibunda mereka.

Ilmuwan Islam terdahulu terkenal dengan penguasaan berbagai-bagai bahasa. Menguasai bahasa bermakna menguasai ilmu dari pelbagai sumber. Tetapi ilmuwan Islam menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa utama kerana bahasa Arab adalah bahasa al-Quran dan bahasa tafsir.

Darinya ilmu berkembang dan orang-orang Eropah mempelajari ilmu-ilmu Islam dengan menterjemahkan ke bahasa ibunda mereka sama ada Latin, Hebrew atau pun Ibrani. Dari situ mereka maju dan membangun dan akhirnya menjadi kuasa penakluk.

Suatu hal yang menarik bagi bangsa Jepun, Cina dan Korea ialah menghantar pelajar-pelajar mereka ke barat seperti Amerika, Perancis, Jerman, United Kingdom menguasai ilmu pengetahuan dengan menggunakan bahasa negara di mana mereka belajar. Apabila kembali ke negara masing-masing berlaku proses Penjepunan, Pencinaan dan Pengkoreaan dengan menjadikan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan masing-masing tanpa menolak kepentingan bahasa Inggeris atau bahasa asing untuk dipelajari.

Negara-negara ini mempunyai jatidiri yang tinggi di samping tidak menolak manfaat berbanding dari tamadun lain. Malaysia juga memerlukan perancangan dasar dan pelaksana dasar bahasa Melayu yang seharusnya mempunyai tekad ilmu yang tinggi dan azam politik yang hebat supaya rasa kebanggaan terhadap memartabatkan bahasa Melayu tetap menjadi tradisi unggul.

UKM juga harus teguh dengan tekad untuk memartabatkan bahasa Melayu dan jangan merasa rendah diri sehingga bahasa pengantar ingin ditukar ke bahasa Inggeris. Pusat Bahasa di universiti harus menyediakan program yang berkesan agar mahasiswa boleh menguasai bahasa lain supaya mereka boleh mempelajari dan menguasai berbagai bahasa. Dalam tradisi Islam tiada apa yang dikatakan linguistic chauvinism atau taksub bahasa walaupun bahasa Arab dijadikan keutamaan.

Apa yang dinyatakan oleh Muhyiddin itu ada kaitannya dengan dasar Kementerian Pelajaran menukar PPSMI dengan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa bahasa Inggeris (MBMMBI) sebagai suatu strategi bijaksana untuk membolehkan pelajar kita menguasai dua bahasa dengan baik.

Tangkas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda membolehkan para murid mempelajari ilmu dan jangka panjangnya memperkaya khazanah bahasa ini. Dalam masa sama pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana bahan rujukan di Internet dan perpustakaan banyak dalam bahasa tersebut.

Apabila pelajar-pelajar ini tamat di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau Matrikulasi atau Sijil Tinggi Persekolahan atau Agama, memudahkan mereka belajar di luar negara. Bagi pelajar yang belajar di dalam negara penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris yang baik membolehkan mereka melanjutkan pelajaran dengan keyakinan tinggi. Dan apabila mereka dihantar untuk menuntut ilmu-ilmu kepakaran dan tahap yang lebih tinggi, kesulitan menguasai bahasa tidak akan terjadi.

Pengalaman Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dalam menubuhkan Pusat Bahasa atau (CELPAD) menghasilkan pelajar-pelajar luar negara yang tidak mahir menggunakan bahasa Inggeris di peringkat awalnya tetapi kerana adanya guru berkualiti, kaedah pengajaran yang baik dan makmal bahasa terkini, sebahagian besar pelajar antarabangsa boleh menguasai bahasa Inggeris.

Bagi maksud menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa CELPAD juga harus memperkasa penggunaan bahasa Melayu di kalangan pelajar antarabangsa di samping bahasa-bahasa terkemuka dunia. Sekiranya bahasa Melayu dipelajari oleh pelajar antarabangsa tempoh yang lama mereka belajar di UIAM membolehkan mereka bercakap dalam bahasa Melayu dan menjadikan bahasa itu sebagai bahasa yang boleh dikembangkan di negara masing-masing apabila mereka kembali nanti.

Muhyiddin juga menyentuh tentang jurang pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Akibat tiada persiapan cukup dari segi kualiti guru, corak kurikulum yang ada, metodologi pengajaran-pembelajaran yang ada pertambahan waktu belajar bagi subjek ini menyebabkan jurang pencapaian bandar dan luar Bandar semakin ketara.

Oleh itu, mendatangkan guru-guru bahasa Inggeris dari England atau Amerika Syarikat untuk suatu tempoh waktu umpamanya dapat mengatasi kekosongan yang ada dan latihan keguruan yang lebih berkesan di kalangan guru-guru muda dalam bahasa Melayu dan Inggeris jangka panjangnya dapat mengisi kelompangan ini.

Dalam masa sama pelajar yang terbaik di Malaysia harus dihantar ke negara-negara yang mempunyai prasarana pendidikan bahasa Inggeris yang baik supaya kualiti keguruan yang dilalui boleh membantu memperkasa aplikasi bahasa Inggeris dalam pengucapan, tulisan dan komunikasi.

Oleh itu, saranan Timbalan Perdana Menteri terhadap pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kajian ilmiah tidak saja menjadi fokus UKM tetapi juga harus menjadi tekad dan azam Universiti Malaya, Universiti Putera Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan universiti-universiti lain. Kalau pada masa lalu Universiti Malaya umpamanya adalah universiti yang perkasa menggunakan bahasa Melayu tidak ada sebab kini dan masa depan Bahasa Melayu akan menempuh zaman keterpinggiran.

Isu ranking atau penarafan yang menjadi barometer universiti tidak harus menjadikan kita histeria. Peningkatan penarafan adalah sesuatu yang wajar di samping menginsafi bahawa rule of the game ditentukan oleh mereka dengan kriteria mereka.

Sebuah universiti yang baik pada hemat penulis menekankan tiga asas penting iaitu kualiti pengajaran dan pembelajaran yang baik, membentuk watak pelajar yang mengalami proses transformatif dan usaha kaji selidik yang bermutu. Akibat fokus yang tinggi terhadap kaji-selidik menyebabkan tumpuan membentuk watak pelajar holistik menjadi kurang diperhatikan.

Seperti juga al-Quran memberikan fokus kepada pembangunan rijal atau manusia sebagai asas yang paling utama menggerakkan perubahan. Kalau para pelajar tidak dibangunkan secara holistik bagi memenuhi keperluan pembangunan yang berimbang, keutamaan dalam pendidikan hanya bersifat mekanistik tetapi tidak diperkukuhkan dengan asas-asas nilai dan etika yang baik.

Oleh itu, seruan Muhyiddin mempunyai merit yang jelas iaitu tanpa universiti memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kaji selidik ia tidak akan selari dengan dasar MBMMBI yang menjadi dasar kementerian bermula 2012 ini.

Dasar ini harus dengan bijaksana memberi petanda kepada kepimpinan universiti kerana bahasa Melayu akan hanya mampu menjadi bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa kalau kepimpinan universiti yakin usaha memartabat bahasa Melayu dan memperkasa bahasa Inggeris harus berjalan serentak supaya yang dikejar dapat dan yang dikendung tidak berciciran.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:10
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.