saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 11/10/2011

Tanda aras baru Pierre Andre


SERIUS... Aksi Pierre Andre (kiri) sebagai pengarah sewaktu di lokasi filem Al-Hijab.


MEMULAKAN kerjayanya anak seni hampir tujuh tahun lalu sememangnya telah memberi banyak pengalaman untuk anak muda ini.

Daripada seorang pelakon, Pierre Andre perlahan-lahan membina namanya sehingga dia berjaya menjadi salah seorang aktor generasi baru yang cukup diminati ramai.

Bersandarkan bakat lakonannya yang semula jadi yang sudah tentu diwarisi daripada ibu tercinta, Khatijah Tan, memang tidak syak lagi, Pierre telah meletakkan statusnya sebagai aktor dalam liga tersendiri.

Memiliki aspirasi dan jiwa seni yang cukup besar, Pierre tidak mahu menghabiskan hidupnya hanya dengan menjadi seorang pelakon.

Sebaliknya, dia mencabar dirinya dengan mengorak langkah sebagai seorang pengarah filem apabila diberi peluang mengarahkan filem pertamanya, 9 September pada tahun 2007.

Biarpun dihambat dengan kritikan yang menyifatkan dirinya terlalu muda untuk menduduki kerusi pengarah ketika itu, namun ia langsung tidak menghalang Pierre untuk meneruskan minatnya dalam dunia pengarahan filem.

Dua buah filem selepas itu, I’m Not Single (2008) dan Jangan Tegur (2009) membuktikan bahawa Pierre memiliki sentuhan tersendiri dalam menzahirkan naskhah nukilannya ke layar perak.

Jika hendak dibandingkan dengan filem romantik yang sudah diarahkan Pierre, harus diakui, sentuhan anak muda berusia 26 tahun ini menerusi genre seram lebih memberikan impak luar biasa.

Lihatlah sahaja bagaimana kejayaannya menghasilkan lakon layar filem Jangan Pandang Belakang dan Jangan Tegur yang telah mencatatkan rekod luar biasa dalam sejarah sinema Melayu.

Terbaru, filem Al-Hijab yang sudah pun ditayangkan sejak 6 Oktober lalu juga sekali lagi membuktikan kehebatan dan keunggulan Pierre sebagai pembikin filem seram.

Tidak hanya menghasilkan skrip dan lakon layar untuk Al-Hijab, Pierre juga telah melunaskan tanggungjawab sebagai seorang pengarah dengan cukup baik sekali seperti mana yang diamanahkan oleh penerbit filem itu, Empat Semudra Plantation Sdn. Bhd.

Melihatkan kepada kejayaan terbarunya itu, memang tidak syak lagi gelaran Raja Filem Seram wajar dimahkotakan kepada pemilik nama penuh Mohd. Pierre Andre Nazarul Andre ini.

“Kalau ada yang mahu memberikan gelaran itu kepada saya, mengapa tidak? Saya tidak kisah seandainya ada yang menggelarkan saya sebagai Raja Filem Seram.

“Memang saya tidak menafikan semua ini adalah daripada badi filem Jangan Pandang Belakang yang telah membuka mata masyarakat terhadap bakat saya dalam genre seram.

“Malah, saya sendiri mendapat maklum balas yang sangat positif daripada peminat dan penonton filem Melayu yang merasakan sentuhan saya untuk genre seram lebih menjadi berbanding romantik komedi.

“Saya menyifatkannya sebagai satu penghargaan buat diri saya. Setidak-tidaknya, sebagai seorang pengarah, saya berjaya mencipta identiti saya sendiri,” ujar Pierre dalam nada optimis.

Pelakon filem Gol & Gincu dan Salon ini berkata demikian ketika ditemui usai majlis pratonton filem Al-Hijab di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Filem itu juga menyaksikan Pierre memegang watak utama sebagai Rafael selain dibantu aktres muda, Nur Fathia, Maimon Mutalib, Nor Albaniah, Aziz M. Osman, Nasrizal Ngasri, Pekin Ibrahim dan Khir Mohd. Noor.

Menyambung bicara, kata Pierre, sebagai seorang karyawan dia cukup sedar akan kemampuannya dalam membikin sesebuah filem.

Atas alasan itu, dia tidak kisah jika berterusan menghasilkan filem seram kerana kata Pierre, ketika ini, belum ada seorang karyawan filem tempatan yang dikenali dengan genre itu.

Dalam konteks ini jelas Pierre, dia cukup gemar untuk mengambil contoh terbaik idolanya iaitu pengarah filem kelahiran Jepun, Hideo Nakata yang cukup terkenal dengan filem-filem seram seperti Ring, Ring 2 dan Dark Water.

Begitu juga dengan sutradara legenda Hollywood, Wes Craven yang cukup dikenali dengan filem-filem bercorak serupa.

“Sebagai seorang pembikin filem, saya perlu mengikut gerak hati. Saya tidak boleh menjadi seperti orang lain kerana saya tahu hasilnya tidak akan menarik.

“Saya cukup bangga dengan teman seperjuangan saya yang lain seperti Syamsul Yusof yang berjaya dengan genre aksi. Kadang-kala cemburu juga melihat kejayaannya yang berjaya menghasilkan filem yang hebat.

“Tetapi di penghujungnya, kita harus percaya pada diri sendiri dan meneruskan apa yang kita mampu lakukan,” jelas Pierre yang pernah menerima pencalonan untuk Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-22 (2009) bagi filem Jangan Tegur.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.