saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 15/10/2011

PRU-13: Bersediakah Gerakan?

KUMPULAN veteran Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pasti masih mengingati bagaimana lagu kemenangan berkumandang pada pilihan raya umum 1969 menyaksikan parti politik berusia setahun itu tiba-tiba muncul sebagai sebuah parti berpengaruh.

Selain memenangi kerusi Parlimen yang agak signifikan di kawasan bandar, Gerakan turut mengejutkan ramai pihak ketika itu apabila merampas Pulau Pinang daripada Perikatan.

Masih segar di kalangan ramai veteran Gerakan bagaimana parti itu berjaya bertapak di Selangor dan Perak sehingga masing-masing pemimpin dari Perikatan dan DAP berusaha mengajak Gerakan untuk membentuk kerajaan campuran.

Generasi yang lebih muda pula masih mengingati bagaimana calon Gerakan menyingkirkan gergasi pembangkang, Lim Kit dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan Dewan Rakyat pada 1999.

Tatkala siri kejayaan Gerakan meninggalkan legasi yang signifikan, parti muda itu terus mendapat perhatian di dalam Barisan Nasional (BN).

Dalam pilihan raya umum 2008 yang lalu umpamanya, Gerakan diberi mandat untuk bertanding di lebih banyak kerusi Parlimen berbanding MIC, walaupun MIC secara tradisinya dilihat sebagai pemimpin ketiga paling berpengaruh dalam BN.

Namun begitu, kegemilangan Gerakan sejak 1969 termusnah semalaman pada 8 Mac 2008 apabila parti itu kehilangan satu persatu kerusi yang ditandinginya.

Selain kehilangan Pulau Pinang, Gerakan turut tewas teruk di dua kubu kuatnya di Kuala Lumpur iaitu Segambut dan Batu apabila ia tewas masing-masing kepada calon DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Akhirnya, Gerakan hanya mampu bertahan di dua kerusi Parlimen iaitu Simpang Renggam di Johor dan Gerik di Perak (kerusi yang dipinjamkan oleh UMNO kepada Gerakan).

Pendekatan kepelbagaian kaum yang diamalkan oleh Gerakan tidak pernah mencapai kejayaan di mana majoriti ahlinya adalah keturunan Cina diikuti India, malangnya ia tidak pernah mendapat jumlah penyertaan memberangsang dari kaum Melayu.

Walaupun kepelbagaian kaum tidak menjadi keunikan Gerakan, namun kepelbagaian latar belakang pemimpin parti itu telah mencorak perkembangan parti itu pada awal penubuhannya.

Penubuhan Gerakan banyak dipengaruhi oleh idea perjuangan kesamarataan antara masyarakat majmuk yang dikongsi oleh beberapa tokoh akademik termasuk dua pakar sains sosial, Syed Hussein Alatas (bekas Naib Canselor Universiti Malaya) dan Profesor Wang Gung Wu.

Namun barisan kepimpinan Gerakan tidak terhad kepada mereka yang berlatar belakang akademik semata-mata, malahan ia turut mendapat sambutan di kalangan ramai bekas penyokong Parti Buruh yang berfahaman kiri dan radikal.

Salah seorang pemimpin penting yang terlibat dalam pembentukan Gerakan ialah Dr. Tan Chee Khoon yang pernah memimpin Parti Buruh.

Tidak setakat itu, Gerakan turut menerima pengaruh ideologi MCA melalui bekas pemimpin MCA seperti Tun Dr. Lim Keng Yaik dan Tun Dr. Lim Chong Eu.

Tidak dilupakan, bekas Timbalan Presiden Gerakan Datuk Seri Kerk Choo Ting adalah berasal dari Dong Jiao Jong, beliau dikatakan menyertai Gerakan bagi meneruskan perjuangan kepentingan sekolah-sekolah vernakular Cina melalui kerajaan.

Pengadunan berjaya antara ideologi yang berbeza yang melambangkan suara dari kumpulan akademik, intelektual, politik sayap kiri dan kanan telah menjadikan Gerakan sebagai satu parti parti popular sejak 1970-an.

Tokoh akademik seperti Syed Hussein yang pernah menjadi Presiden Gerakan telah meninggalkan parti itu tidak lama selepas penubuhannya.

Namun demikian, penyertaan tokoh-tokoh akademik banyak menyumbang kepada populariti Gerakan terutama di kalangan kumpulan intelek.

Selepas hampir tiga dekad dipimpin oleh dua pemimpin yang berasal dari MCA, kepimpinan Gerakan sekali lagi dipegang oleh seorang pemimpin yang berlatarbelakang akademik.

Presiden sedia ada iaitu Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pernah berkhidmat sebagai pensyarah Sekolah Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Malangnya, Tsu Koon telah ditewaskan dalam kerusi Parlimen Batu Kawan oleh seorang lagi ahli akademik, Dr. P. Ramasamy yang kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Apa yang mendukacita Gerakan pada ketika ini adalah parti tersebut seakan-akan gagal menerima hakikat ketewasan yang menimpa parti itu dan presidennya pada 2008.

Pucuk pimpinan dan anggota Gerakan nampaknya masih tercari-cari formula untuk memulihkan kekuatan parti, terutamanya dalam usaha untuk berperang dengan DAP bagi menawan hati pengundi Cina di Pulau Pinang.

Berlainan dengan MCA yang sedikit sebanyak telah kembali bersatu daripada konflik dalaman, Gerakan sebaliknya terus dibelenggu masalah dalaman terutamanya oleh pihak yang tidak senang dengan gaya kepimpinan Tsu Koon.

MCA telah melalui perjalanan politik yang berliku sejak sebelum merdeka lagi dengan berdepan pelbagai isu rumit termasuk berkaitan kampung baru Cina, keadaan ini agak berlainan dengan Gerakan yang berjaya menjadi parti pemerintah selepas setahun penubuhan.

Dari segi khidmat masyarakat, MCA juga mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, Gerakan sebaliknya mempunyai pengalaman yang secara relatif lebih cetek.

Selepas tsunami politik 2008, Gerakan gagal menyelaraskan emosi untuk memainkan peranan baru sebagai parti pembangkang di Pulau Pinang.

Keadaan ini agak berbeza dengan UMNO yang menggunakan setiap peluang yang ada untuk mengkritik kerajaan DAP di Pulau Pinang.

Kegagalan Gerakan untuk memain peranan pembangkang secara berkesan turut didorong oleh konflik dalaman Gerakan sendiri yang seterusnya mendorong beberapa pemimpin penting bersikap lebih pasif daripada yang dijangkakan.

Persidangan Perwakilan Nasional yang diadakan pada 15 dan 16 Oktober ini justeru menjadi medan paling penting untuk Gerakan sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Persidangan tersebut menawarkan peluang terakhir untuk ahli Gerakan untuk bersatu demi keberlangsungan parti itu pada pilihan raya akan datang.

Sekiranya Gerakan berjaya mencipta kemenangan melalui pengadunan kumpulan intelek, akademik dan pelbagai idea politik termasuk ideologi sayap kiri pada 1960-an dan 1970-an, parti itu perlu mencipta satu lagi keajaiban pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sememangnya idea-idea akademik daripada Gerakan perlu diselarikan dengan khidmat masyarakat yang bersungguh-sungguh di peringkat akar umbi bagi menawan hati pengundi.

Dengan rentak pilihan raya yang semakin rancak, Gerakan tiada pilihan tetapi mesti keluar daripada trauma 2008 dan bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan bersemangat.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.