saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 23/10/2011

Kisah ahli politik bertudung di parlimen Denmark

Pada 3 Oktober lalu Denmark mendapat perdana menteri wanita pertama apabila Helle Thorning-Schmidt dari Parti Demokrat Sosial menubuhkan kerajaan setelah mengalahkan Parti Liberal.

Penubuhan kerajaannya itu menamatkan pentadbiran Parti Liberal yang membawa suara kurang senang terhadap pendatang orang Islam.

Keupayaan Thorning-Schmidt menubuhkan kerajaan walaupun dari segi kedudukan bilangan kerusi adalah kedua berbanding Parti Liberal terletak pada sokongan dari Parti Rakyat Sosialis, Parti Liberal Sosialis dan Perikatan Merah-Hijau.

Apa yang disebut dengan merah dan hijau itu adalah gabungan fahaman sosialisme dan perjuangan alam sekitar.

Seorang tokoh kontroversi Perikatan Merah-Hijau ialah wanita bertudung, Asmaa Abdol Hamid.

Asmaa ialah seorang pekerja sosial dan ahli politik yang tinggal di Odense, Denmark.

Asmaa lahir di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 22 November tahun 1981. Ibu bapanya adalah orang Palestin.

Bapanya membesar di kem pelarian Lebanon. Ketika mula Israel ditubuhkan pada tahun 1940-an di atas tanah orang Palestin, maka banyaklah menjadi pelarian dan mendapatkan perlindungan di Tebing Barat yang ketika itu milik Jordan.

Pada tahun 1970-an, Yasser Arafat menubuhkan Fatah di situ. Oleh kerana serangannya ke atas Israel dari wilayah Jordan, maka Amman mendapat tekanan daripada rejim Tel Aviv untuk menghalau Arafat, Fatah dan kumpulan gerila Palestin lain daripada Tebing Barat.

Arafat yang kemudian menggabungkan kumpulan-kumpulan gerila Palestin di bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) memindahkan pangkalannya dari Tebing Barat ke Beirut, Lebanon.

Turut sama dengan perpindahan ini ialah beribu-ribu pelarian Palestin yang terpaksa tinggal di kem pelarian.

Dari wilayah Lebanon ini, PLO meneruskan serangan ke atas Israel. Akhirnya Israel menyerang dan menduduki Lebanon Selatan pada tahun 1980-an.

Ketika itulah berlaku tragedi kem Shabra dan Shatilla yang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Kristian Maronit Lebanon ke atas pelarian Palestin di bawah restu tentera Israel.

Pada tahun-tahun inilah keluarga ibu Asmaa yang juga tinggal di Lebanon berpindah ke Arab Saudi untuk beberapa tahun.

Pada tahun-tahun 80-an, ibu bapanya berpindah ke UAE. Oleh kerana gangguan daripada polis tempatan, mereka menghubungi agensi bantuan Denmark, Dansk Flygtningehjaelp pada pertengahan tahun 1980-an untuk mendapatkan perlindungan.

Mereka mendapat perlindungan politik di Denmark dan tinggal di Genner, Jutland Selatan.

Asmaa mempunyai tujuh orang adik beradik dan keluarganya berpegang teguh pada agama Islam, maksudnya melakukan amal ibadat dan berusaha memenuhi tuntutan agama Islam.

Sebab itulah Asmaa memakai tudung dan enggan bersalaman dengan lelaki.

Ketika dia berusia 14 tahun, keluarganya berpindah ke Rodekro dan pada tahun 1998, mereka menetap di Vollsmore, Odense hanya kerana untuk mendapatkan peluang lebih besar dalam pendidikan tinggi.

Pada tahun 2004, dia memperoleh ijazah dalam bidang bimbingan sosial dari Kolej Universiti Odense di Lillebaelt dan bekerja sebagai penyelaras keluarga di Roskilde. Asmaa juga menubuhkan sebuah kelab untuk orang perempuan. Kini dia masih bekerja di Vollsmore.

Asmaa berninat dalam kegiatan politik dan sejak sekolah, dia menyertai Pemuda Demokratik Sosial Denmark, sebuah badan sosialis demokrat bagi anak-anak muda.

Pada tahun 2005, Asmaa dilantik sebagai ahli majlis bandar raya Odense bagi pihak Perikatan Merah-Hijau.

Parti ini ditubuhkan pada tahun 1989 ekoran penggabungan parti Sosialis Kiri, Parti Komunis Denmark dan Parti Pekerja Sosialis.

Justeru dia menjadi wanita pertama yang memakai tudung menghadiri Majlis Bandar Raya Denmark.

"Memakai tudung tidak bererti saya ditindas atau ditekan. Nilai-nilai yang saya hayati ialah Islam, bukannya Arab. Adalah penting untuk membuat perbezaan antara agama dan budaya.

"Dalam banyak hal, cara pemikiran Arab mendiskriminasi wanita. Walaupun saya seorang Arab, saya tidak membuat pilihan menurut asas budaya, tetapi mengikut agama saya," kata Asmaa.

Ketika menjadi ahli majlis bandar raya itu juga, Asmaa menarik perhatian media apabila beliau enggan bersalaman dengan seorang rakan lelaki daripada partinya. Sebaliknya Asmaa meletakkan tangan pada dadanya ketika mengucap salam pada lelaki.

Asmaa juga menjadi jurucakap bagi sebelas pertubuhan Islam Denmark yang mengajukan aduan terhadap akhbar Jyllands-Posten kerana menyiarkan kartun menghina Nabi Muhammad.

Pada tahun 2006, Asmaa menjadi pengacara undangan di televisyen Denmark dalam rancangan Adam og Asmaa. Acara itu menimbulkan perdebatan di kalangan pertubuhan-pertubuhan wanita di negara itu kerana buat pertama kalinya seorang pengacara di televisyen negara itu memakai tudung.

Pada tahun 2007, Asmaa mengumumkan rancangannya untuk bertanding bagi kerusi parlimen Denmark, Folkerting untuk sebuah kerusi bagi Copenhagen bagi mewakili parti Perikatan Merah-Hijau dengan menyifatkan dirinya sebagai seorang Islam dan sosialis.

Pencalonannya menimbulkan perdebatan di Denmark kerana Asmaa menyatakan bahawa dia akan tetap bertudung. untuk menghadiri sidang Parlimen.

Beberapa imam di negara itu menyokongnya sementara ada pihak di kalangan kumpulan Islam seperti Hizb-ut-Tahrir menentangnya.

Pencalonannya menggegarkan parti Perikatan Merah-Hijau. Akibat daripada itu, tokoh-tokoh kiri terkemuka menarik diri daripada menyokong parti itu.

Suatu rangkaian anti-agama ditubuhkan dalam parti itu untuk memperjuangkan supaya Perikatan Merah-Hijau menjadi parti atheis dengan berasaskan materialis-Marxis.

Akibat pencalonan Asmaa, maka dikatakan undi bagi partinya merosot.

Walaupun Asmaa gagal dipilih tetapi dia muncul di Parlimen sebagai ahli politik pengganti kepada rakan separtinya, Johanne Schmidt-Nielsen.

Mengenai kehadirannya di Parlimen, pemimpin Parti Rakyat Denmark, Pia Kjaersgaard memberi amaran akan menghalaunya keluar jika Asmaa menyebut Bismillah ketika mula menyampaikan ucapannya.

Parti ini mempertahankan sistem beraja dan keunggulan gereja Denmark.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:58
Zohor 1:21
Asar 4:20
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.