saya nak baca ..

RENCANA SUKAN


ARKIB : 29/10/2011

Perginya ‘Gergasi Bersuara Lembut’


GENDA Singh sewaktu berkhidmat untuk Tentera India British.


Tidak ramai mengenali mendiang Genda Singh sehinggalah berita kematian bekas jaguh lempar tukul besi itu disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan pada 11 Oktober lalu.

Begitu juga dengan penulis sendiri yang mengakui tidak pernah pun mendengar nama mendiang sehingga terbaca berita berkenaan.

Nama mendiang Genda mungkin tidak semegah jaguh Sukan Asia seperti Tan Sri M.Jegathesan mahupun Datuk M.Rajamani, tetapi jika diteliti perjalanan kariernya, beliau sebenarnya merupakan antara atlet yang cukup dihormati pada sekitar tahun 60-an dan 70-an.

Cuma sayangnya, mendiang semakin dilupakan kerana namanya jarang diungkit.

“Bapa saya ialah juara Persekutuan selama 12 tahun dalam acara lontar peluru, lempar cakera dan lempar tukul besi sebelum beliau mula mewakili Malaya pada Sukan SEAP 1965,” kata anak sulung mendiang, Semret yang merupakan pemegang pingat emas lempar tukul besi Sukan SEA 1985 dan 1989.

“Meskipun cemerlang dalam tiga acara padang itu, bapa hanya memilih lempar tukul besi yang merupakan acara kegemarannya ketika mewakili negara di Sukan SEAP.

“Pada penampilan sulung di Kuala Lumpur 1965, bapa sudah pun berusia 43 tahun dan bergelar veteran pada masa itu, namun tenaganya masih lagi menakjubkan - setanding dengan pesaing-pesaingnya yang jauh lebih muda,” katanya.

Akhirnya, Genda terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila tewas kepada Eknath Mane dari Singapura. Pada edisi berikutnya di Bangkok, Genda sekali lagi kempunan pingat emas, juga kecundang kepada lawan yang sama.

Acara tersebut tidak dipertandingkan pada 1969 di Rangoon (Myanmar). Tiada siapa pun menjangkakan Genda yang usianya hampir menjangkaui 50 tahun muncul semula di Kuala Lumpur pada 1971.

Skripnya tetap sama, Genda meraih perak untuk kali ketiga. Tetapi, tiada apa untuk dikecewakan kerana pingat emas akhirnya jatuh ke tangan Malaysia dengan junior Genda iaitu M.Dattaya mengungguli acara itu.

Dua tahun selepas itu, mereka berdua mengulangi pencapaian 1-2 di Singapura dan Genda tidak menunjukkan sebarang tanda beliau ingin bersara meskipun dimamah usia lanjut.


JASA dan keringat yang dicurahkan Genda buat negara akan tetap menjadi ingatan seluruh rakyat Malaysia terutamanya peminat sukan olahraga tanah air.


Malah, apabila pingat emas bertukar tangan kepada atlet Myanmar di Bangkok pada 1975, Genda masih lagi mampu mempertahankan kedudukan sebagai naib juara – posisi sama yang diraihnya sebanyak lima kali berturut-turut sejak 1965.

“Pada usia 55 tahun, bapa mengambil keputusan untuk beraksi buat kali terakhir pada Sukan SEAP 1977 ketika itu diadakan di ibu negara. Bapa mahu cuba mendapatkan pingat emas yang dicari-cari sejak lima edisi lalu.

“ Malangnya, beliau dihantui kecederaan otot pektoral dan dinasihati doktor supaya melupakan hasrat bertanding. Bapa bagaimanapun tidak berganjak, menahan kesakitan dengan bantuan ubat tahan sakit dan meneruskan misinya itu.

“Hasilnya hanya pingat gangsa yang terdaya. Namun, saya yakin kehebatan bapa yang menjadi atlet tertua meraih pingat dapat membuka mata ramai pihak.

“Saya tidak percaya ada sesiapa lagi di negara ini yang mampu mengatasi pencapaiannya.

“Beliau terlalu cintakan apa yang dilakukannya selama ini. Malah beliau tidak pernah berputus asa dan berfikir ingin berhenti. Bapa bersara dengan rasa berat hati,” ujar Samret.

Genda, 89, meninggal dunia pada 9 Oktober lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Beliau meninggalkan balu, Mohinder Kaur dan enam anak - Semret, Kulwant, Kaldip, Manohor, Mahinderjit dan Persin Kaur.

Genda dilahirkan di India pada 2 Februari 1922, tiba di Malaya pada 1942 ketika berkhidmat untuk Tentera India British. Selepas negara mencapai kemerdekaan, beliau diberi kerakyatan dan memilih Ipoh, Perak sebagai tempat untuk didiami.

Beliau menyertai pasukan polis berpangkat konstabel pada 1945 dan bersara pada 1977 iaitu tahun sama Genda meninggalkan arena olahraga.

“Bapa berkhidmat sepanjang hidupnya, dia selalu memberi dan tidak meminta,” kata Kulwant.

Meskipun berbadan besar, Genda disifatkan sebagai seorang yang berperwatakan lemah-lembut dan mendapat jolokan ‘The Soft Spoken Giant’ (Gergasi Bersuara Lembut).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.