saya nak baca ..

POLIS & TENTERA


ARKIB : 02/11/2011

Malcon Isaf bukan sekadar pasukan perubatan


ANGGOTA Malcon Isaf 3 mengambil gambar kenangan bersama Zulkifeli Mohd. Zain dan Panglima Markas Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Badaruddin sebelum berlepas ke Afghanistan untuk bantuan kemanusiaan.


RISIKO keselamatan termasuk serang hendap pemberontak sama ada menggunakan bom buatan sendiri (IED), pengebom berani mati atau periuk api sentiasa menjadi cabaran bagi Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Ke Afghanistan (Malcon Isaf) di Bamiyan, Afghanistan.

Meskipun lokasi penugasan mereka diisytihar wilayah selamat berbanding Kabul dan Kandahar, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan keselamatan setiap pegawai dan anggotanya dilindungi.

Ia termasuk melengkapkan pasukan tersebut dengan senjata jenis Raifal M4 Carbine 5.56mm dan MGR Minimi 5.56mm, memakai topi dan jaket kalis peluru selain menggunakan kenderaan khas dilengkapi teknologi keselamatan serta sistem komunikasi terkini.

Walaupun bumi Bamiyan menjadi tarikan pelancong kerana pemandangan alam di kawasan lembah subur yang meliputi Danau Band-i-Amir di barat wilayah tersebut, ia pernah bermandi darah sebelum ini dengan beberapa kejadian serangan terhadap anggota pengaman Amerika Syarikat (AS) yang diserang menggunakan IED tidak jauh dari pangkalan mereka.

Namun, cabaran sebenar menanti pegawai dan anggota Malcon Isaf ialah faktor cuaca, termasuk musim sejuk ekstrem sepanjang Oktober hingga Februari, dengan suhu boleh mencecah 40 darjah Celsius di bawah paras beku pada waktu puncak.

Apabila tiba musim salji, pasukan tersebut turut terdedah dengan ancaman salji runtuh kerana kebanyakan operasinya bertumpu di lokasi berisiko iaitu perkampungan di kawasan bukit dan pergunungan.

Beberapa cabaran lain yang menanti termasuk jurang bahasa dan budaya, selain kesukaran rakyat tempatan menerima kehadiran warga asing di bumi mereka, termasuk faktor muhrim.

Dari segi perbezaan budaya, sebahagian besar penduduk di negara berkenaan cukup sensitif dalam soal muhrim.

Ia ditambah pula dengan pandangan skeptikal penduduk tempatan yang menganggap Malaysia seolah-olah bersekongkol dengan AS melalui penghantaran Malcon Isaf.

Bagaimanapun, penglibatan pasukan tersebut secara hakikinya membantu meningkatkan imej negara di mata dunia lebih-lebih lagi ATM yang diiktiraf banyak badan antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di atas komitmen tingginya dalam pelbagai misi pengaman sebelum ini, selain dilihat mampu memperkukuhkan kerjasama dua hala antara Malaysia-Afghanistan.

Berikutan itu, Ogos lalu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa Jemaah Menteri telah memberikan persetujuan supaya misi kontinjen Malcon Isaf dilanjutkan bagi tempoh tiga tahun lagi.

Menurut beliau, pasukan pengaman Malaysia itu akan membantu membekalkan peralatan dan perubatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada penduduk di negara berkenaan.

Dalam pada itu, tegas Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain pula, meskipun tugasan Malcon Isaf hanya tertumpu pada aspek bantuan kemanusiaan dan tidak terlibat secara langsung dengan operasi ketenteraan, namun aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan.

"Setiap anggota dan pegawai hendaklah meletakkan aspek keselamatan sebagai yang paling utama sepanjang masa.

"Saya yakin setiap anggota Malcon Isaf mampu menempuh segala cabaran yang mendatang demi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa," ujarnya.

Katanya, penerimaan baik masyarakat tempatan terhadap misi kemanusiaan tersebut mendorong minat ATM menghantar lebih ramai pegawai dan anggotanya untuk menabur bakti di wilayah mundur dan miskin itu.

Jelasnya, pertambahan jumlah keanggotaan itu juga penting bagi membantu mempercepatkan proses pembangunan semula negara perang itu, terutama dari segi kemudahan dan infrastruktur kesihatan setempat.

Baru-baru ini, Seramai 35 pegawai dan anggota Malcon Isaf 3 diketuai Timbalan Komander, Mejar Mohd. Zubir Sulaiman akan mengambil alih tugas daripada Malcon Isaf 2 yang telah hampir enam bulan melaksanakan misi di Afghanistan mulai 6 April lalu.

Kumpulan terdiri daripada lapan pegawai dan 27 anggota lain-lain pangkat itu akan terlibat dengan bantuan kemanusiaan yang lebih memfokuskan pada bantuan dari segi perubatan meliputi khidmat kesihatan, pergigian dan bantuan kemasyarakatan.

Zulkifeli pada majlis penghantaran pasukan Malcon Isaf 3 di Pangkalan Udara Subang, Subang baru-baru ini menegaskan, Malcon Isaf bukan sahaja sekadar misi kemanusiaan tetapi turut memikul tanggungjawab serta peranan sebagai medium ke arah mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan Afghanistan.

Justeru beliau menyeru anggota terlibat melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka dengan jujur, dedikasi dan juga profesional.

"Setiap anggota perlu mempunyai sifat bekerja secara berpasukan demi memastikan Malcon Isaf dapat berfungsi dengan penuh efektif dan efisien pada setiap masa.

"Saya juga berharap segala persiapan rapi serta latihan integrasi yang telah dijalani oleh kesemua 30 anggota ini akan dapat membantu mereka menyesuaikan diri dengan tugas selain keadaan persekitaran seperti faktor cuaca di sana nanti," ujarnya.

Beliau turut memberi penekanan agar kumpulan induk Malcon Isaf tersebut menjaga disiplin serta budi bahasa, keramahan dan kemesraan agar kontinjen negara akan dipandang tinggi serta disenangi oleh semua pihak apabila berada di Afghanistan nanti.

Tambahnya, beliau berharap dalam keghairahan anggota skuad Malcon Isaf menjalankan tugas, keselamatan diri jangan diabaikan dan perlu memastikan semua prosedur keselamatan sewaktu berada di sana dipatuhi termasuk Rules Of Engagement bagi mengelak keadaan tidak diingini berlaku.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.