saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 02/11/2011

Perubahan MBMMBI atau kekal PPSMI?

PENEGASAN Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan ditukar kepada Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun hadapan nampaknya masih dipersoalkan oleh beberapa pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu.

Hampir setiap hari perkara tersebut diperkatakan terutama melalui ruangan surat dari pembaca dalam akhbar-akhbar berbahasa Inggeris. Mereka bukan sahaja mempersoalkan keputusan yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri malah berusaha keras untuk mengembalikan dasar tersebut atau setidak-tidaknya meminta Kementerian Pelajaran memberi kebenaran kepada ibu bapa untuk membuat pilihan bagi anak-anak mereka sama ada untuk meneruskan PPSMI atau memilih dasar MBMMBI.

Alasan utama yang diberikan mengapa mereka tetap memilih PPSMI ialah atas nama 'demokrasi dan kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan' di mana ibu bapa berhak untuk memilih apakah dasar atau aliran pendidikan untuk anak-anak mereka di sekolah.

Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran telah beberapa kali menyatakan bahawa perubahan dasar tersebut bukanlah bermakna kita meminggirkan penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris. Beliau menegaskan bahawa perkara penting yang membawa perubahan dasar tersebut ialah kerana penguasaan pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut semakin merosot jika dibandingkan semasa penggunaannya dalam bahasa Malaysia.

Melalui kajian yang telah dilakukan secara berterusan oleh Kementerian Pelajaran ternyata sebahagian besar pelajar menghadapi masalah pembelajaran untuk memahami dan mengikuti sepenuhnya pengajaran guru dalam mata pelajaran berkenaan.

Kesan daripada perubahan dasar itu bilangan pelajar dalam aliran sains di peringkat sekolah menengah tidak meningkat seperti unjuran kerana ramai pelajar yang merasa kurang berkeyakinan untuk mengikuti pembelajaran dan mengambil peperiksaan terutama di peringkat SPM dan STPM.

Menurut beliau lagi jika tujuan kita untuk mengukuhkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris maka langkah yang perlu diambil ialah dengan memperkukuhkan mata pelajaran bahasa itu sendiri terutama dari segi kurikulum agar menjadi lebih menarik dan menyeronokkan, membekalkan bahan pengajaran yang mencukupi dan menyediakan guru terlatih termasuk guru penutur jati yang berpengalaman daripada luar negara.

Sebenarnya pengenalan dasar MBMMBI bagi menggantikan PPSMI bukanlah dilakukan secara terburu-buru. Perbincangan awal dan kajian mendalam di sekolah-sekolah seluruh negara telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran secara berkala untuk melihat keberkesanan dasar tersebut sejak PPSMI dilancarkan dalam tahun 2003.

Perbincangan yang lebih serius telah dimulai dalam tahun 2008 apabila sebanyak empat mesyuarat meja bulat diadakan untuk mendapat maklumat balas, gambaran dan kata sepakat daripada pelbagai pihak yang berkepentingan.

Mesyuarat meja bulat pertama diadakan yang disertai oleh pelajar-pelajar dan guru-guru daripada pelbagai peringkat sekolah di seluruh negara untuk mendengar pandangan dan cadangan mereka yang terlibat secara langsung terhadap pelaksanaan dasar tersebut. Ini diikuti dengan mesyuarat meja bulat kedua bersama-sama pengetua, guru besar daripada pelbagai lokaliti sekolah dan pemimpin persatuan serta kesatuan guru.

Mesyuarat meja bulat ketiga dihadiri oleh pemimpin persatuan ibu bapa dan guru, persatuan mahasiswa, pensyarah universiti, wakil sekolah swasta, pemimpin pertubuhan belia, penggiat seni dan aktivis masyarakat. Sementara itu mesyuarat meja bulat keempat dihadiri oleh tokoh masyarakat, tokoh korporat, wakil media massa, pemimpin parti politik dan wakil pelbagai aliran NGO.

Rumusan hasil daripada keempat-empat mesyuarat meja bulat tersebut secara umumnya majoriti bersetuju bahawa perlu dilakukan perubahan dasar supaya pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran tersebut diajar dengan menggunakan Bahasa Malaysia agar dapat dimanfaatkan oleh semua pelajar.

Apabila Timbalan Perdana Menteri mengumumkan perubahan dasar PPSMI kepada MBMMBI pada tahun 2009 maka ramai pihak memberikan penghargaan dan sokongan serta menganggapnya sebagai suatu langkah yang berani dan bijak.

Pada pandangan mereka perubahan dasar itu turut memberi nafas baru kepada perkembangan bahasa Malaysia yang kelihatan telah menjadi lesu dan terpinggir. Bagi mereka bahasa Malaysia perlu segera dimartabatkan kerana bahasa ini adalah bahasa kebangsaan bagi semua lapisan rakyat Malaysia.

Sekiranya kita mengungkap kembali sejarah perkembangan bahasa Malaysia didapati kemuncaknya sebagai bahasa akademik dan bahasa ilmu bermula setelah Universiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan dalam tahun l970. Ribuan kajian ilmiah di peringkat ijazah pertama, sarjana dan doktor falsafah telah dihasilkan dari dahulu hingga sekarang.

Di samping itu di semua institusi pengajian tinggi awam banyak kajian dan penyelidikan dalam pelbagai bidang telah dihasilkan menggunakan bahasa Malaysia termasuk dalam bidang matematik, sains dan teknologi.

Usaha mengangkat martabat bahasa kebangsaan itu diteruskan baru-baru ini apabila Menteri Pengajian Tinggi telah menyarankan supaya syarat dan kreteria kenaikkan pangkat bagi pensyarah universiti ialah dengan menghasilkan penulisan ilmiah dan penyelidikan dalam bahasa Malaysia.

Demikian juga Dewan Bahasa dan Pustaka terus menyemarakkan perkembangan bahasa melalui pelbagai aktiviti dalam Bulan Bahasa Kebangsaan. Semua ini adalah usaha yang tidak pernah kenal jemu oleh pelbagai pihak untuk memartabatkan bahasa Malaysia dan jika boleh ia akan diangkat untuk menjadi bahasa di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun usaha untuk memartabatkan bahasa itu di peringkat global mestilah bermula di peringkat asas iaitu di sekolah terlebih dahulu dan kemudiannya barulah diikuti di peringkat yang lebih tinggi.

Banyak pendapat menyatakan bahawa kepentingan bahasa Malaysia tidak hanya dilihat sebagai bahasa pengantar di peringkat sekolah tetapi ia perlulah dilihat lebih jauh iaitu sebagai alat perpaduan bagi mengikat rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

Di sinilah peranan bahasa sebagai faktor penting dalam pembangunan negara bangsa. Sekiranya semua rakyat boleh berkomunikasi dengan baik melalui bahasa kebangsaan dan dapat memahami pertuturan di antara satu dengan lain maka perpaduan rakyat akan menjadi lebih kukuh.

Perpaduan yang kental di kalangan rakyat inilah yang menjadi formula utama mengapa negara kita tergolong di antara negara yang maju di dunia sekarang ini.

Berbalik kepada dasar MBMMBI yang akan menggantikan PPSMI perlulah dihormati dan direstui oleh semua pihak. Berilah kepercayaan kepada Kementerian Pelajaran untuk melaksana dan memperkasakan sistem pendidikan di negara ini.

Sekiranya masih ada pihak yang ingin meneruskan dasar PPSMI atau meminta diberi pilihan kepada pihak ibu bapa dan sekolah maka ternyata sekiranya diteruskan dasar itu ia hanya akan memberi keuntungan kepada sekumpulan kecil masyarakat elit dan tidak kepada golongan majoriti pelajar. Dengan meminjam kata-kata Timbalan Perdana Menteri "sistem pendidikan kita akan menjadi kucar kacir."

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:10
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.