saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 11/11/2011

Siasah syariah dalam religio-politik

Akhir-akhir ini, banyak wacana berkaitan dengan siasah syariah dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan juga parti politik. Ini adalah perkembangan keilmuan yang baik.

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), sebuah NGO dakwah Islam juga ingin memberi sumbangan ke arah memahamkan masyarakat mengenai siasah syariah dari perspektif ajaran Ahli Sunnah wa al-Jamaah dengan merujuk kepada realiti Malaysia dewasa ini, yang mana kedudukan agama Islam dicabar serta kuasa politik ummah berpecah dan terhakis.

Kecenderungan mewacanakan siasah syariah ini secara aktif sekarang dapat dilihat dari dua faktor. Pertama, faktor terdesak, yang dicetuskan oleh sekumpulan orang yang mahu menguasai kekuasaan politik semata-mata kerana politik kekuasaan.

Kumpulan kedua pula, berteraskan faktor fundamental, yang mahu memelihara keutuhan dan penerusan ajaran Islam yang murni dan mahu memelihara maruah umat Islam melalui instrumen kekuatan dan kuasa politik umat. Kedua-dua kelompok melihat betapa pentingnya kuasa politik.

Wacana mengenai siasah syariah, tidak dapat dipisah dari memahami Maqosid Syariah. Maqosid Syariah mempunyai enam dasar atau usul yang dinamakan Usul al-Sittah iaitu memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara harta, memelihara keturunan dan memelihara maruah. (Sesetengah 'ulama' membahagikan kepada lima sahaja).

Kebetulan pula, dalam syariat Islam, ada konsep siasah syariah yang luas, maka golongan Salibiah dari kalangan musuh Islam terutamanya Yahudi dan Kristian menjumpai medan baru untuk melanyak umat Islam atas nama perbincangan 'ilmiah' pada hal berniat untuk permurtadan.

Maka wacana siasah syariah ini melalui pasangannya Maqosid Syariah digunakan semahu-mahunya oleh mereka dengan menjadikan orang atau pemimpin beragama Islam yang ghairah untuk kekuasaan, sebagai alat.

Maka kelompok ini dengan fahaman sapere aude, menghuraikan siasah syariah dan Maqosid Syariah dalam rangka pemikiran tersebut untuk tujuan mencelaru dan memesongkan pemikiran umat Islam dengan slogan-slogan dan retorik diabolik.

Melalui huraian diabolik ini, yang lari daripada prinsip atau qawaid Fiqah dan sistem pemahamannya, mereka sebenarnya merosakkan epistemologi Islam. Inilah tujuan dan kehendak golongan Salibiah kerana akan memudahkan kerja memesongkan hala tuju umat Islam dan syariah dari ajaran dan kehendak Islam sebenar.

Mereka bukan bertujuan untuk memelihara agama Islam, tetapi mempunyai niat, agenda dan tujuan peribadi dan kelompok yang amat diabolik.

Seperti termaklum, salah satu usul atau dasar Maqosid Syariah ialah memelihara agama. Dalam konteks memelihara agama ini ialah memelihara agama Islam, agar tidak diseleweng, dihakis dan dimasuki anasir perosak.

Bagi kelompok Liberalis-Pluralis, mereka lebih menekankan betapa penting memelihara agama bukan Islam, yang sesetengah dari kelompok ini mewujudkan biro khas untuk memelihara agama bukan Islam.

Kelompok Liberalis-Pluralis ini amat prihatin dan sibuk menjadi penjaga agama bukan Islam dan membiarkan 'akidah umat Islam tercemar dan terhakis seperti ternyata dalam sikap mereka kepada 'Perhimpunan Sejuta Umat' baru-baru ini.

Sebab itu kita dapati, keluar dari mulut dan tulisan mereka dengan nada sinikal kepada program tersebut yang antaranya mereka berkata gejala pemurtadan ini tidak serius. Ini bermakna mereka rela permurtadan tetapi jangan ramai sangat! Na'uzubillah.

Seperti semua umat Islam yang beriman ketahui, motif perhimpunan tersebut bertujuan untuk mengingatkan umat Islam betapa gerakan Salibiah ini beroperasi secara agresif menyerang umat Islam.

Keberanian mereka itu adalah kerana semacam mendapat pengiktirafan daripada orang yang mengaku membela Islam, yang mengaku membangun bersama Islam, yang mengaku sebagai jurubicara umat Islam, tokoh pencerahan Islam dan macam-macam dakwa diabolik lagi.

Mereka inilah yang berpusu-pusu menjunjung perhimpunan Bersih yang tiada justifikasi 'Akidah dan Siasah serta Maqosid Syariah dan mereka berbangga pula berada di bawah naungan orang bukan Islam yang amat jelas menentang Islam dan dengan tegas membela orang Islam yang murtad dan mempertahankan aktiviti seksualiti bebas.

Dalam lingkungan memelihara agama, termasuklah mengurus dan menjaga segala kepentingan dan kebaikan syariah dengan optimum yang menyangkut kedudukan ajaran dan umat Islam. Kedudukan agama Islam di Malaysia, sudah ada orang dan kumpulan yang berani mencabarnya.

Ia bukan sahaja datang dari orang bukan Islam tetapi juga dari orang yang mengaku sebagai Islam, walaupun jelas kedudukannya dalam Perlembagaan Malaysia. Maka untuk menyekat badai ini, maka mekanismenya ialah memperkukuhkan kuasa politik umat Islam kerana ia merupakan salah satu instrumen terpenting dewasa ini di Malaysia.

Untuk tujuan tersebut, yakni untuk mengekal kekuasaan politik umat Islam, tidak lain, melainkan menurut perintah al-Quran seperti yang disebut terdahulu ialah Perpaduan umat dan hindari perpecahan.

Adalah sesuatu yang amat tragik dalam konteks politik semasa Malaysia, terdapat parti-parti politik berlumba-lumba memberi tawaran-jualan murah kepada pengundi, sehingga terhakis maruah politik dan menjadi ejekan bukan Islam.

Bahkan ada sesetengah pemimpin politik yang beragama Islam menjual agama kepada bukan Islam dengan menyamakan Allah, setaraf dengan Tuhan sembahan orang bukan Islam.

Perkara ini tidak pernah terjadi dalam sejarah Malaysia selama ini. Barang diingat, mempertahankan 'izzah dan kemuliaan institusi politik ummah dan menguasainya secara utuh merupakan salah satu saluran rahmat Allah SWT .

Maka mekanisme siasah syariah dalam skema ajaran Islam Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah yang sebenar sahaja yang dapat menyelesaikan kemelut dan dilema religio-politik Malaysia dewasa ini. Ia dapat menjadi sarana penting, kerana ia merupakan suatu konsep dengan segala instrumen paling berwibawa untuk memperbaiki segala kualiti yang enam itu, seperti yang telah disebut di awal.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zuhur
Asar
Maghrib
Isyak



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.