saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 13/11/2011

Cuepacs pertahan penjawat awam

ENTAH di mana silapnya Ketua Publisiti DAP, Tony Pua seolah-olah cuba menidakkan keupayaan penjawat awam yang selama ini sudah begitu banyak berjasa apabila mengeluarkan kenyataan akan mengurangkan jumlah mereka jika parti itu berkuasa kelak.

Tidak cukup dengan pelbagai drama yang sengaja ditimbulkan dari isu murtad ke penganjuran program Seksualiti Merdeka, pihak pembangkang seolah-olah semakin berani mencabar tanpa mempedulikan sensiviti termasuklah dalam soal penjawat awam.

Apakan tidak, memandangkan orang Melayu adalah majoriti pekerja di sektor berkenaan dengan berkurangnya jumlah mereka sudah pasti yang paling terjejas teruk nanti adalah nasib ahli keluarga mereka berikutan hilang punca mata pencarian.

Oleh itu wartawan Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain dan Hafizahril Hamid telah mewawancara Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman untuk mendapatkan gambaran lebih jelas tentang isu ini.

MINGGUAN: Apa pandangan Datuk apabila DAP mahu mengurangkan jumlah penjawat awam?

OMAR: Pihak CUEPACS akan mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi minggu depan dan kami akan menyentuh tentang isu ini. Pelbagai perkara mungkin dibincangkan antaranya mungkin kami meminta pihak berkenaan membuat satu surat kesal kenapa mempertikaikan kedudukan penjawat awam. Sepatutnya DAP memberi penghargaan kepada kita kerana penjawat awam berjaya menjalankan dasar kerajaan dalam membangunkan negara. Bagi kami, pihak ini sengaja menimbulkan kekeliruan dengan mendakwa penjawat awam adalah beban.

Apakah mereka bercakap ini berasaskan fakta. Mereka cuba bandingkan dengan negara maju bahawa negara itu penjawat awamnya lebih sedikit berbanding negara ini. Tetapi mereka tidak tahu bahawa jumlah yang dinyatakan itu tidak meliputi anggota keselamatan seperti polis dan tentera serta anggota perisikan yang tidak diketahui jumlah mereka. Namun jumlah 1.3 juta penjawat awam di negara ini termasuk anggota keselamatan dengan jumlah penduduk hampir 30 juta maka rationya adalah jelas dan saksama. Ini yang pihak seperti Tony Pua tidak faham dan kini mereka terdiam setelah mengetahui kedudukan sebenar.

Maka tidak timbul soal penjawat awam di negara ini berlebihan?

OMAR: Bagi CUEPACS, tidak timbul soal berlebih malah pihak yang mempertikaikan ini tidak mempunyai fakta sebenar. Bagi CUEPACS tidak langsung timbul masalah berlebihan malah beberapa sektor sebenarnya tidak mencukupi. Saya bagi contoh di mana terdapat empat agensi atau kementerian penting yang tidak cukup kakitangan dan tidak boleh ditutup kerana ia melibatkan jumlah penjawat yang besar. Pertama adalah Kementerian Kesihatan yang melibatkan hampir 250,000 penjawat awam termasuklah doktor, jururawat dan sebagainya. Apatah lagi keperluan seperti klinik dan hospital perlu ditambah dari masa ke masa. Keduanya adalah Kementerian Pendidikan yang melibatkan para guru dan pendidik.

Jumlah guru sahaja di negara ini hampir mencecah 500,000 orang dan ia masih lagi tidak mencukupi. Seterusnya bagaimana pula dengan anggota keselamatan seperti polis dan tentera yang jumlahnya lebih 200,000 orang. Jadi dengan jumlah hampir mencecah satu juta orang ini bagaimana mereka ini cuba bertindak dangkal mahu mengurangkan penjawat awam. Di negara asing jumlah keseluruhan penjawat awam misalnya tidak dicampurkan sekali dengan anggota tentera dan polis. Ambil contoh di China dan Amerika Syarikat, berapa ramai jumlah anggota tentera mereka. Oleh itu di sudut manakah pihak yang berkenaan mengatakan jumlah penjawat kita berlebihan malah hakikatnya jumlah ini perlu dipertingkatkan berdasarkan kehendak semasa seperti doktor, pensyarah universiti dengan kelulusan PhD dan ramai golongan profesional lain.

Adakah isu ini sengaja ditimbulkan kerana majoriti mereka adalah Melayu?

OMAR: Kita tidak tahu apa sebenarnya yang tersirat dan tersurat. Setelah 54 tahun merdeka dan asalnya hanya berapa ratus ribu penjawat awam hinggalah sekarang 1.3 juta tidak pernah dibangkitkan perkara ini, tidak semena-mena persoalan mengenai penjawat awam dibangkit supaya dikurangkan. Apakah kerana kerajaan prihatin dengan kehendak penjawat awam dalam bajet baru-baru ini tiba-tiba pihak ini mahu mempertikaikan. Secara terus terang satu ketika dahulu penjawat awam tidak dipandang oleh mana-mana pihak. Ini kerana gajinya yang kecil, kebajikan yang tidak seimbang malah ramai yang lebih rela bekerja di sektor swasta kerana gajinya yang dikatakan tidak cukup makan. Namun ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, gaji semakin baik dan ramai yang mahu bekerja dengan kerajaan.

Kini Datuk Seri Najib Razak menambah baik lagi kebajikan penjawat awam melalui peruntukan dalam bajet baru-baru ini, barulah ada pihak yang cuba menyentuh soal penjawat awam supaya bilangan kami dikurangkan. Bagi saya tujuan kenapa mereka mahu mengurangkan bilangan penjawat awam apabila memerintah nanti adalah tidak jelas. Bagi saya adalah jelas isu ini sengaja dipolitikkan dan sudah tentu yang paling terjejas apabila penjawat awam dikurangkan adalah orang Melayu kerana jumlah mereka yang ramai. Mereka yang membangkitkan isu ini sudah ketandusan idea dalam politik. Mereka sanggup melakukan apa saja untuk meraih sokongan sehingga menutup periuk nasi penjawat awam yang telah banyak berjasa kepada negara.

Jadi benarlah jika mereka berjaya memerintah nanti akhirnya yang teraniaya adalah penjawat awam?

OMAR: Memang begitulah yang akan berlaku apabila sejumlah penjawat awam diberhentikan. Bukankah tindakan mereka ini seolah-olah menidakkan peranan dan pengorbanan penjawat awam selama ini. Kalau mereka benar-benar ikhlas dalam membawa perubahan maka tegurlah jika ada kesilapan dan beri cadangan apa yang patut dilakukan. Masalahnya mereka ini bukannya menegur malah hanya mahu membuang terus penjawat awam atas alasan mereka mahu mengurangkan beban. Tapi apakah mereka tidak fikir tindakan membuang penjawat awam menimbulkan beban kepada rakyat kerana hilang pekerjaan.

Siapa pula yang hendak menanggung kehidupan dan perbelanjaan hidup setelah tiada pekerjaan. Apakah penjawat awam ini tidak membayar balik cukai kepada kerajaan dan membantu mengembangkan ekonomi. Kenapa kami yang menjadi mangsa hanya kerana kedangkalan pihak ini merancang sehingga akhirnya mampu memporakperandakan kehidupan dan institusi masyarakat. Bagaimana mereka mahu memerintah jika tidak sanggup menanggung beban penjawat awam yang hakikatnya umpama anak-anak kepada kerajaan yang memerintah.

Apakah ini adalah kali pertama isu ini disentuh?

OMAR: Memang benar ia pertama kali. Sebelum ini banyak hal yang ditegur mengenai penjawat awam dan kami terbuka dan bersedia menerima teguran. Jika ada asasnya kami akan berunding kerana yang penting adalah kebajikan bersama. Namun dalam hal ini mereka langsung tidak menegur atau memberi pandangan malah bersifat bongkak hanya mahu terus membuang penjawat awam. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh oleh CUEPACS dan mereka tidaklah perlu bertindak keterlaluan terhadap kami seolah-olah kami ini hanya pengemis dan tidak dihargai jasa dan sumbangan. Apabila tidak diperlukan hanya kerana atas alasan dangkal seolah-olah kami ini beban maka kami dibuang kerja.

Tidakkah mereka terfikir pula tentang nasib mereka yang dibuang nanti, masa depan anak-anak dan keluarga. Alasan kami diberhentikan kerana mahu mengurangkan beban memang tidak boleh diterima. Kami dikatakan seolah-olah membazir duit rakyat, habis itu kami ini bukan rakyat?. Adakah kami ini bukan pekerja atau pengguna yang turut sama menyumbang kepada pembangunan produktiviti dan ekonomi negara. Saya lihat cara mereka mempertikaikan soal penjawat awam ini tidak masuk akal langsung. CUEPACS memang terkejut dengan apa yang berlaku namun kami juga mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan termasuklah pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi sokongan tidak berbelah bagi dalam isu ini.

Apa pesanan CUEPACS kepada penjawat awam mengenai isu ini?

OMAR: Saya sekarang ini sedang menjelajah ke seluruh negara untuk mengadakan ceramah tentang isu ini. Kami anggap ini adalah sebahagian cabaran yang berlaku dan saya harap kita dapat rapatkan hubungan dan terus bersatu dalam perjuangan supaya tidak ada pihak yang boleh memperkotak-katikkan penjawat awam sesuka hati. Kami juga meminta semua penjawat awam melihat dan memikirkan sendiri apa agenda mereka jika sudah sampai ke tahap mahu mengurangkan jumlah penjawat awam hanya atas sebab yang tidak jelas dan mengarut.

Kita boleh lihat sendiri kerajaan yang ada sudah banyak berubah dan mampu menjamin kesejahteraan kita melalui pelbagai inisiatif dan kebajikan yang lebih baik. Saya ingin jelaskan CUEPACS bukanlah jurucakap kerajaan dan kami bertindak sebagai payung yang membela 1.3 juta penjawat awam. Dalam soal ini nyata ada pihak yang sengaja mahu menimbulkan caca merba dengan mengusik penjawat awam mengenai isu yang tidak sepatutnya. Kami tidak akan berpeluk tubuh dan berdiam diri. Namun pada masa yang sama kita juga perlu menunjukkan bahawa kita benar-benar menjalankan khidmat untuk negara dan bukan satu beban kepada kerajaan seperti yang didakwa.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:10
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.