saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 14/11/2011

‘Tanam apa yang dimakan, makan apa yang ditanam’


Menanam padi bukan sekadar untuk dimakan tetapi sebagai sumber ekonomi.


BANJIR di Thailand tetapi orang kita juga tumpang susah. Di negeri-negeri utara, misalnya di Alor Setar, pengguna amat terasa dengan kenaikan harga sayur-sayuran. Begitu juga dengan harga ikan dan ayam.

Semuanya ini disebabkan kita masih bergantung kepada sumber makanan dari luar khususnya dari negara jiran. Bayangkan jika negara-negara yang menjadi tempat kita bergantung import makanan selama ini menghadapi bencana serentak - banjir, ribut, gempa bumi, kemarau panjang atau terlibat dalam kancah peperangan. Pastinya keadaan lebih buruk dan rakyat pula tidak dapat menerima kenaikan harga itu malahan mungkin menyalahkan kerajaan walaupun mereka sedar punca sebenar yang menyebabkan kenaikan tersebut. Begitulah jadinya jika bekalan yang kita hasilkan di dalam negara untuk disuapkan ke dalam setiap mulut rakyat kita sebanyak 28.6 juta dan 2.3 juta pendatang asing tidak mencukupi. Suasana ini tentu lebih terasa di kawasan bandar.

Di kampung, keadaan ini boleh dikurangkan jika tanah yang ada dimanfaatkan dengan tanaman dan ternakan. Namun berapa banyak tanah yang terbiar serta tidak diusahakan? Berapa banyak pula tanah pertanian bertukar menjadi tapak rumah, kilang atau bangunan? Maknanya tanah pertanian semakin berkurangan. Maka sesuatu harus dilakukan untuk memanfaatkan tanah yang ada dengan menghasilkan makanan. Sekurang-kurangnya tanam untuk makan.

Justeru, cadangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melancarkan program “Laman Agro” bulan depan amat dialu-alukan. Program ini bagi menggalakkan masyarakat terutama di bandar supaya terlibat dalam kegiatan pertanian walaupun dengan kawasan tanah yang terhad untuk bercucuk tanam.

Menurut menterinya, Noh Omar, kementerian mahu orang ramai terlibat sama dalam aktiviti pertanian dengan menggalakkan mereka ‘tanam apa yang dimakan, makan apa yang ditanam’ bagi mengurangkan pergantungan kepada bekalan import.

Mereka boleh menggunakan kaedah pertanian seperti hidroponik yang pernah popular satu ketika dulu bagi mengatasi masalah bekalan sayuran. Langkah ini kena pada masanya. Masyarakat kita perlu digalakkan semula untuk bercucuk tanam kerana dunia dijangka mengalami krisis makanan pada tahun 2050.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Pusat Alam Sekitar Serantau Yayasan Asia-Eropah, Marta Szigeti Bonifert meramalkan satu letusan demografi akan berlaku menjelang 2050 yang mengakibatkan berlakunya kekurangan bekalan makanan dan air serta terjadinya ekosistem dan memberi kesan buruk terhadap cuaca.

Katanya, menjelang tahun berkenaan, penduduk bumi akan mengalami masalah besar apabila jumlah mereka bertambah dengan pesat (ketika ini 7 bilion) manakala sumber alam pula sudah kehabisan.

‘‘Jika kita terus mengamalkan cara penggunaan yang ada sekarang, maka menjelang 2050, kita memerlukan sebuah lagi bumi’’, katanya.

Malangnya, kita tidak ada bumi lain. Bumi bukan seperti kereta lama yang apabila tidak dapat digunakan lagi boleh dijual sebagai besi buruk dan membeli kereta baru. Bumi hanya satu. Maka bagaimana kita mahu menyelamatkan bumi?

Bagi mengurangkan penggantungan kepada makanan import khususnya beras, adakah kita perlu kurangkan makan?

Menyelak kembali isu ini, suatu masa dulu, Menteri Pertanian, Sanusi Junid pernah menganjurkan kempen kurang makan nasi bagi mengurangkan import beras yang meningkat setiap tahun. Buat seketika langkah itu menimbulkan polemik kerana ada pihak yang memutarbelitkan niat itu.

Kata Sanusi: ‘‘Bukan kurangkan makan nasi untuk lapar, tetapi kurang makan nasi untuk diganti dengan makanan lain. Banyak makanan lain yang boleh dimakan seperti telur, daging ayam, daging lembu, sayur dan buah-buahan’’.

Sanusi juga pernah menimbulkan idea mengenai pertanian bertingkat yang jika tidak silap konsepnya melibatkan tanaman padi, ternakan ayam dan ikan air tawar di satu kawasan bertingkat. Ramai yang memandang sinis cadangan itu kerana masih banyak tanah terbiar di muka bumi ini. Tetapi mungkin pada suatu masa nanti, idea Sanusi itu akan menjadi kenyataan apabila sudah tidak ada lagi tanah untuk pertanian dan ternakan. Bagi menambah pengeluaran padi pula, beliau menyarankan program tanaman berkelompok tanpa perlu menambah keluasan tanah. Dalam erti kata lain mewujudkan estet padi. Kaedah ini akan membantu menjimatkan kos dan menambah hasil padi.

Bagi aktiviti pertanian lain yang melibatkan sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan seperti lembu, kambing dan ikan, kita juga perlu mengurangkan import. Kita harus bersedia menghadapi kekurangan bekalan makanan ini. Harus diingat, hampir semua jenis makanan seharian kita masih diimport.

Menurut Sanusi: ‘‘Kita bercucuk tanam secara tanam main-main; tanam untuk makan sendiri; tanam untuk makan sesama sendiri,’’ Malangnya bagi kebanyakan orang, ketiga-tiga kaedah itu tidak mampu dilaksanakan.

Konsep Kebun Masyarakat pula menurut Sanusi menghendaki orang kampung berpakat, rumah ini tanam cili, rumah itu tanam bawang, rumah ini tanam sengkuang, rumah itu tanam keledek, rumah ini tanam bendi, rumah itu tanam petola, rumah ini tanam bayam, rumah itu tanam kacang, di sana tanam timun, kita bahagi-bahagikan tugas, macam kita bahagi-bahagikan kuih antara rumah jiran pada bulan puasa.

Sanusi telah melakukan pelbagai usaha untuk menaikkan imej bidang pertanian. Beliau sudah pun menyebut mengeni agriculture dollar (ringgit pertanian). Beliau juga pernah mengingatkan kakitangannya: “Kementerian kita mestilah dipandang sebagai sebuah syarikat, sudah tiba masanya, kita menjadikan bidang pertanian sebagai sesuatu yang boleh mengubah kehidupan petani. Kita tidak mahu apabila disebut bidang pertanian, orang memandang lekeh, pandang miskin, pandang susah, kotor,’’

Kini pertanian sudah berubah. Pertanian adalah perniagaan. Dan mungkin suatu masa nanti, di samping bisnes, setiap orang terpaksa ‘tanam apa yang dimakan dan makan apa yang ditanam’.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:00
Zohor 1:22
Asar 4:25
Maghrib 7:25
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.