saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 15/11/2011

Teruja menoreh getah di Putrajaya


Pengunjung Taman Warisan Putrajaya pasti teruja berpeluang menyaksikan sendiri pelbagai jenis komoditi warisan negara termasuk menyaksikan sendiri cara menoreh getah dan menyediakan getah keping secara tradisional. - BERNAMA


TAMAN Warisan Pertanian yang terletak di bandar terancang pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, Putrajaya, sebenarnya amat unik dan cukup menarik sebagai destinasi pelancongan agro dan pendidikan.

Para pegawai taman ini rata-rata berpengetahuan luas dalam bidang pertanian termasuk pelbagai tip menanam, sejarah dan kisah menarik berkaitan tumbuhan tertentu.

Di sini, terdapat juga pelbagai jenis pokok jambu yang rendang dengan dahan yang terjuntai dan rimbun ekoran amalan cantasan atas (top-pruning) secara berkala.

Taman yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu buah-buahan, tumbuhan herba dan tumbuhan komoditi, menempatkan kebun kecil tumbuhan yang tidak asing lagi dengan kehidupan masyarakat Malaysia tradisional sejak berkurun lamanya.

Bagaimanapun, daripada lebih 180 spesies tumbuhan tempatan yang boleh didapati di sini, penulis paling teruja dengan demonstrasi menoreh getah yang telah mencetus kembali kenangan ke kebun getah semasa kecil.

Bermain di kebun getah

Sesekali pulang ke kampung di Kuala Kangsar, penulis dan sepupu lelaki sering berkejar-kejaran ke kebun datuk dan mengutip biji getah untuk bermain congkak yang dikorek pada tanah atau, laga getah bagi menguji biji getah siapa paling kuat.

Sementara itu, bapa saudara, walaupun memegang jawatan pegawai pertanian di Pulau Pinang, masih turun menoreh getah apabila sekali sekala balik kampung.

Sebaik sahaja mengerjakan solat subuh sejurus tabuh berbunyi dan muazzim melaungkan azan, kami mengekori pakcik ke kebun sambil mengendong baju basahan, mangkuk tingkat berisi nasi dan lauk, lampu suluh dan lingkaran ubat nyamuk.

Cara yang betul menoreh getah ialah menghiris kulit pokok menggunakan pisau tarik atau pisau sodok yang betul-betul tajam kerana hirisan pada kulit pokok mestilah senipis yang mungkin.

Hirisan juga mestilah dengan cermat kerana ia tidak boleh melukai bahagian dalam batang pokok atau tisu kambium kerana luka itu akan menyebabkan bonjolan pada batang pokok yang pasti menyukarkan proses penorehan akan datang.

Torehan biasanya dibuat pada sudut 30 darjah supaya susu getah atau lateks boleh mengalir lancar ke cawan getah.

Habis menoreh dan sementara menunggu masa untuk mengutip getah, kami bersarapan di tepi sungai sambil mandi-manda. Sekali-sekala kami akan mengutip siput sedut sungai atau belitung yang biasanya mudah ditemui pada hari Jumaat.

Susu getah yang terkumpul akan membeku apabila cuaca menjadi semakin panas, jadi ia perlu dikutip dan dibawa ke bangsal memproses getah keping dengan segera.

Ia dituang ke dalam bongkah takungan segi empat dan dicampur dengan cuka getah supaya lebih cepat beku sebelum dikeluarkan dari acuan dan dipijak-pijak sehingga leper.

Cuka getah memang menjadi bahan penting memproses getah yang mudah dibeli dan ditemui di kawasan ladang, dan biasanya dijual dalam botol yang kelihatan sama seperti botol minuman bergas yang cukup popular suatu masa dahulu.

Tetapi ia juga sejenis asid menghakis yang merbahaya, justeru tidak hairanlah ia sering dikaitkan dengan kes bunuh diri, keracunan, kemalangan, penganiayaan dan keganasan rumah tangga di kawasan perladangan getah.

Meleper dan menyalai getah

Di pondok memproses getah yang dikongsi dengan beberapa jiran lain, terdapat dua jenis mesin memproses iaitu mesin cetak licin dan mesin cetak bunga.

Getah yang telah dilenyek akan digelek menggunakan mesin licin beberapa kali sehingga cukup nipis sebelum digelek menggunakan mesin bunga.

Selepas itu kepingan getah akan disusun dan dikeringkan dalam pondok asap yang biasanya terletak hampir dengan rumah atas faktor keselamatan.

Menariknya, proses menyalai kepingan getah itu sebenarnya tidak menggunakan api yang marak sebaliknya pembakaran batang getah yang hanya menghasilkan bara dan asap yang sesuai untuk menyalai dan secara tidak langsung membantu menghalau nyamuk pada waktu malam. — BERNAMA

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:09
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.