saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 18/11/2011

ABN muncul untuk jadi saingan Astro

PELANCARAN Asian Broadcasting Network (ABN), televisyen kabel digital pada 15 November lalu mencatatkan satu sejarah lagi dalam industri penyiaran di negara ini. Ia secara langsung menambah satu lagi pilihan perkhidmatan televisyen berbayar kepada rakyat negara ini.

Secara kebetulan kemunculan ABN, milik Nilamas Corporation Sdn Bhd, ketika hati rakyat masih lagi 'panas' dengan tindakan All-Asian Satellite Television and Radio Operator (Astro) menaikkan kadar bayaran lebih tinggi kepada perkhidmatan tertentu.

Walaupun, kerajaan menegur tindakan itu tetapi Astro tetap mengambil keputusan melaksanakannya kerana bagi mereka ia tidak membabitkan rakyat keseluruhannya tetapi hanya sebahagian perkhidmatan saja.

Tindakan Astro itu walaupun tidak disenangi oleh pelanggannya tetapi sehingga kini tiada maklumat mengenai jumlah yang menamatkan perkhidmatan. Hanya syarikat itu saja yang mempunyai maklumat berkenaan.

Kemarahan pelanggan itu boleh dirasai kerana dalam keadaan mereka menghadapi pelbagai cabaran akibat putaran ekonomi dunia seperti kenaikan harga barang, mereka pula terpaksa mengempiskan kocek semata-mata untuk menambah bayaran bagi perkhidmatan Astro.

Bagi ibu bapa, mereka tiada pilihan memandangkan perkhidmatan televisyen satelit itu digemari oleh anak-anak terutama siaran kartun dan filem selain bapa yang meminati bidang sukan terutama bola sepak Liga Inggeris.

Oleh itu, mereka tetap terus melanggan perkhidmatan walaupun hati penuh dengan rasa kecewa ditambah pula dengan 'kekurangan' sistem siaran itu yang tidak boleh ditonton ketika waktu hujan.

Inilah kesempatan yang digunakan oleh ABN, pemain baru industri penyiaran untuk menyatakan mereka menawarkan kadar bayaran yang lebih rendah dari Astro di samping tiada gangguan ketika musim hujan.

Kelebihan ini mungkin menarik pelanggan untuk mengambil perkhidmatan mereka tetapi yang lebih penting ialah isi kandungan yang akan dihidangkan kepada pelanggan.

Isi kandungan yang baik sudah pasti menarik hati pelanggan untuk melanggani perkhidmatan terutama yang membabitkan program serupa yang ditawarkan oleh Astro seperti penayangan filem-filem tempatan dan luar yang bermutu selain program sukan dan hiburan yang menghiburkan.

Dalam pada itu, kemunculan ABN amat dialu-alukan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim. Beliau menyifatkan ia satu lagi pilihan kepada rakyat negara ini dan secara langsung mengelakkan rakyat tertumpu pada syarikat tertentu saja.

Kerajaan, katanya, menggalakkan persaingan dalam industri penyediaan siaran televisyen berbayar untuk mengelakkan monopoli oleh sesetengah pihak dalam industri itu.

Dr. Rais berkata berdasarkan peruntukan dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998, amalan monopoli termasuk kandungan hiburan televisyen tidak akan berlaku. Sebaliknya, kata beliau industri itu akan berkembang dengan kemunculan ABN yang bakal memulakan siarannya pada suku kedua tahun depan dengan menggunakan sistem kabel optik.

"Kita akan menggalakkan percambahan kandungan ini dengan pelancaran ABN. Saya yakin iaitu khidmat televisyen kabel digital akan menjadi popular sebab mereka menekankan mengenai harga yang berpatutan, khidmat yang cemerlang dan kualitinya baik dan mereka mematuhi piawaian undang-undang negara," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran korporat ABN di Kuala Lumpur.

Antara perkara yang ditimbulkan oleh pemerhati industri ialah bagaimana ABN akan mendapat membeli program-program yang baik ini sedangkan ramai yang tahu bahawa banyak program kini dimonopoli oleh Astro?

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif ABN, Sreedar Subramaniam, isu mengenai kandungan bukanlah satu perkara yang kronik kerana menurutnya ia masih banyak lagi di pasaran. Apa yang perlu ialah mencari dan menandatangani kontrak dengan pembekal yang terus menerus mengeluarkan penerbitan yang bermutu dan digemari ramai.

ABN juga, katanya, turut menerbitkan program-programnya sendiri bagi memenuhi selera penonton sekarang di samping mewujudkan sumber tenaga profesional yang akan dibimbing menerusi Akademi ABN.

Semua itu akan berlaku dalam masa sesingkat ini selepas Pusat Penyiaran ABN yang ditempatkan di Puchong siap sepenuhnya.

ABN yakin memperoleh kira-kira 500,000 pelanggan bagi tahun pertama operasinya dan mengunjurkan kepada tiga juta pelanggan dalam tempoh lima tahun selepas operasi.

Satu sasaran yang amat optimistik sebagai pemain baru dalam industri penyiaran ini. Keyakinan itu, menurut Subramaniam berdasarkan perkembangan terkini di rantau ini di mana perkhidmatan kabel digital amat digemari oleh pelanggan di Singapura dan beberapa negara lain.

Ia juga menyasarkan untuk menguasai 15 peratus pasaran dalam tahun pertama dan mencapai 40 peratus menjelang tahun kelima. ABN pasti tidak bimbang dengan beberapa program atau siaran yang dimonopoli Astro.

Mengulas isu monopoli itu, Dr. Rais berkata siaran istimewa seperti bola sepak Piala Dunia dan peristiwa penting tidak seharusnya dikuasai satu pihak kerana ia adalah milik bersama dan sepatutnya ia dikongsi bersama untuk penyiaran.

"Dalam konteks penyiaran di negara ini, kita perlu melihat kandungan itu sebagai hak orang ramai seperti pertandingan bola sepak dunia ataupun badminton dan program-program besar yang tidak boleh dikuasai atau dipegang oleh satu pihak sahaja," katanya.

Ditanya sama ada ABN boleh menyaingi Astro dalam menyediakan siaran televisyen berbayar, beliau berkata mereka tidak seharusnya bertanding atau berkonflik tetapi berjaya mengikut keistimewaan mereka sendiri.

"Astro dengan kelebihan siaran melalui satelitnya dan ABN dengan keistimewaan yang boleh diberikan melalui sistem kabel fiber optiknya dan mungkin ada kerjasama yang boleh dihasilkan antara kedua-dua pihak", katanya.

Kemunculan ABN akan menyediakan pilihan kepada rakyat negara ini untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik dalam industri penyiaran. Yang penting, ABN perlu mempunyai kekuatan kewangannya bagi membolehkan ia terus hidup dan berkembang.

Mereka perlu belajar daripada sebarang kesilapan dan kekurangan yang dilakukan oleh pemain terdahulu seperti Mega TV atau MiTV, rangkaian televisyen berbayar di negara ini.

Mega TV adalah stesen televisyen Malaysia yang menawarkan khidmat langgan pelbagai saluran yang tersedia 24 jam di Malaysia. Mega TV diperbadankan pada 18 Oktober 1994 dan dikendalikan oleh TV3. Pemancaran penyiaran bermula 1 November 1995 menggunakan Sistem Penyiaran berdasarkan gelombang mikro.

Setelah menemui pesaingnya iaitu saluran televisyen satelit berbayar Astro, Mega TV telah menamatkan penyiarannya bermula 2001.

Hayat MiTV, stesen televisyen berbayar menggunakan Internet Protocol Television (IPTV) juga tidak panjang dan pada 31 Oktober 2006 mengumumkan satu penstrukturan semula termasuk menggantung semua kegiatan pemasaran dan pelanggan baru.

Dalam pada itu, rakyat negara sudah pasti menunggu dengan minat dengan program pendigitalan televisyen yang akan dilaksanakan oleh kerajaan seawal 2012 bagi membolehkan mereka mendapat siaran bebas di udara (FTA) yang lebih banyak dan bermutu. Ketika ini, urusan mengadakan program pendigitalan itu dikatakan berada di peringkat akhir sebelum sebarang pengumuman dibuat.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:12
Asar 4:35
Maghrib 7:09
Isyak 8:23



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.