saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 22/11/2011

Membawa mesej rakyat ke Dewan Merdeka

DATUK Badruddin Amiruldin batuk beberapa kali ketika diajukan satu pertanyaan daripada penulis, bersediakah beliau sekali lagi memikul tanggungjawab besar mengendalikan Perhimpunan Agung UMNO 2011 hujung bulan ini.

Celoteh Badruddin sepanjang mempengerusikan perhimpunan lepas banyak menghidupkan suasana perbahasan. Bukan sahaja menarik perhatian para perwakilan malah barisan pucuk pimpinan parti turut tertawa dan terhibur dengan pelbagai cerita jenakanya. Tetapi cerita dan lawak jenaka Badruddin bukan kosong sebaliknya penuh sinis. Dan memiliki maksud tersirat yang kebanyakannya menyentuh UMNO dan orang Melayu.

Baru kembali ke tanah air dari mengerjakan ibadah haji Rabu lepas, Badruddin yang kini menginjak umur 62 tahun yang sama seusia 62 tahun Perhimpunan Agung UMNO nanti menyatakan: "Insya-Allah, kalau diizinkan Tuhan, saya memang sudah bersedia."

Dengan setiausaha bahagian daripada seluruh 191 bahagian UMNO buat julung kalinya kini akan ke perhimpunan agung parti sebagai perwakilan secara automatik, perhimpunan terbesar dan terpenting untuk seluruh umat Melayu Malaysia bermula 29 November hingga 4 Disember itu akan dihadiri perwakilan yang teramai iaitu 3,476 orang.

Masih tidak hilang dengan seloka dan gurau sendanya di sebalik demam 'cuaca' biasa dialami mereka yang baru tiba dari tanah suci, Badruddin dalam nada tegas memberitahu:

"Perhimpunan UMNO kali ini adalah pertemuan untuk memperbaharui tekad. Yang penting seluruh ahli UMNO mesti berpegang kepada permuafakatan dan berjuang kerana Allah."

Yang paling utama, kata beliau, seseorang jurucakap semasa perbahasan mesti faham apa mesej yang disampaikan dalam ucapan dasar Presiden UMNO. Mungkin ramai orang beri idea banyak sedangkan masa diberikan hanya 15 minit, justeru fokus jurucakap seharusnya pada ucapan dasar termasuk amanat Presiden yang disampaikan sebelumnya dengan mengambil kira agenda tersirat.

Badruddin memberitahu, perhimpunan agung kali ini cukup penting bukan sahaja kepada parti dan Barisan Nasional tetapi kepada negara keseluruhannya. Kerana itu, perwakilan yang membawa diri ke perhimpunan nanti mestilah membawa mesej rakyat kepada kepimpinan.

"Juga, harus ada timbal balas antara kepimpinan kepada rakyat. Contohnya, wang RM100 pemberian kerajaan untuk murid sekolah membeli barangan keperluan memasuki sesi persekolahan 2012, saya kira ia suatu bentuk bantuan yang tidak ada mana-mana negara di dunia mengamalkannya.

"Tetapi bila tiba soal pendidikan, tidak kira dia kaya atau miskin, kerajaan tetap memberi komitmen tinggi untuk membantu ibu bapa meringankan beban mereka.

"Hakikatnya, dengan keputusan cemerlang pelajar dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan baru- baru ini jelas menunjukkan tidak kira anak petani, pekebun, pegawai tinggi hatta mereka yang tinggal di bandar-bandar besar, pedalaman dan hujung kampung sekali pun, masih boleh memperoleh pencapaian terbaik.

Maka inilah yang seharusnya dikupas oleh para perwakilan nanti untuk memaklumkan kepada dunia bahawa Barisan Nasional yang ditunjangi UMNOlah yang benar-benar mendekati rakyat dan bukannya pihak lain," kata beliau.

Meneruskan komennya mengenai perkara ini, Badruddin tiba-tiba diam sejenak sambil meminta izin penulis untuk mengingati sesuatu.

"Ya, sebenarnya perkara pokok yang saya ingin sentuh dan saya kira juga amat penting selain ucapan dasar Presiden ialah soal permuafakatan orang Melayu.

"Di Mekah, sama ada saya dan semua kita maklum bahawa konsep penyatuan umat Islam yang sebenar boleh disaksikan, dihayati serta diteladani di situ.

"Apabila berjuta-juta umat Islam berhimpun di Arafah, Mina, Madinah dan Mekah, maka alangkah indahnya kalau kita dapat bawanya balik dan praktikkan di negara ini tanpa timbul sebarang syak wasangka sesama kita. Kadang kala sebab umat Islam terutama orang Melayu ini dicaci kerana dilihat tidak bermuafakat," katanya.

Kata Badruddin lagi: "Kita perlu bersepakat, jangan bergaduh. Memutuskan silaturrahim dan memaki-hamun adalah salah dan tidak diajar dalam Islam. Tetapi atas kepentingan politik, 'mereka' ini naik pentas dan mulalah melakukan perilaku yang bertentangan dengan ajaran Islam."

Sebelum mengakhiri perbualan dengan Badruddin, tidak lengkap pula jika tidak ditanyakan mengenai panduan yang boleh dikongsinya bersama supaya pembahas atau pembawa usul tidak gementar apabila berdepan dengan pucuk pimpinan di perhimpunan nanti.

"Cuba kupas maksud tersurat dan tersirat yang dibangkitkan dalam ucapan dasar dan amanat Presiden.

"Jangan beri perwakilan bosan sebaliknya selitkan sedikit cerita yang bersandarkan fakta bahas supaya pendengar ingat. Saya akan cuba bersikap adil. Jika seseorang jurucakap mengambil masa sekejap tidak sampai 15 minit, lebihan masa itu saya berikan kepada mereka yang mahu bercakap lebih dan jika mood perwakilan mahu mendengar lagi, saya benarkan.

"Tetapi ada juga jurucakap yang baru diketengahkan berasa gementar, saya juga dulu gementar dan di sini saya cuba memainkan peranan menghentikan ucapan mereka dengan cara paling lembut. Kalau saya lihat mereka seolah-olah hilang fakta, saya akan cuba bantu mereka," katanya.

Ditanya mengenai respons dan reaksi yang diterimanya selepas mempengerusikan dua sesi perhimpunan agung parti lepas, Badruddin berkata: "Kebanyakan perwakilan saya lihat senang dengan cara saya. Walaupun saya ada berlawak sebenarnya untuk menghilangkan kebosanan dan ketegangan.

"Saya berdoa kepada Allah meminta kekuatan supaya dapat mengendalikan perhimpunan dengan baik dan tidak menghampakan para perwakilan yang telah memberi amanat kepada saya. Saya juga berharap seluruh ahli UMNO dapat menghindari pergolakan dalaman dan sentiasa percaya kepada qada dan qadar-Nya."

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.