saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 26/11/2011

Mengimbau zaman kegemilangan jawi


KALAM menguji keupayaan untuk meneroka gaya pemikiran bahasa visual dari segi penggunaan tulisan jawi dan khat ke dalam kerja seni, selain membentuk perpaduan di kalangan seniman.


SEPERTI yang diketahui, tulisan merupakan harta yang bernilai bagi ketamadunan sesebuah bangsa contohnya, bangsa Rusia memiliki tulisan cyrillic dan Jepun memiliki tulisan kanji yang dibanggakan.

Walaupun tulisan jawi cukup sinonim dengan orang Melayu di negara ini, tidak dinafikan masyarakat lain turut berkebolehan membaca dan menggunakan tulisan yang berkait rapat dengan huruf Arab dalam ejaan jawi itu.

Bagaimanapun, pada hari ini tulisan jawi seolah-olah agak asing di kalangan golongan muda malah jarang sekali digunakan.

Martabatkan kembali tulisan jawi

Walaupun penulis dilahirkan ketika zaman pengakhiran tulisan jawi dijadikan sebagai bahasa persuratan, dimensi pena dan berus cat yang mencatatkan tulisan bersejarah itu masih utuh sebagai tulisan yang relevan sehingga kini.

Melihatkan kepentingan untuk memulihara tulisan tersebut, seramai 27 seniman seni visual menghasilkan pelbagai bentuk karya yang dipamerkan dalam pameran Kalam kali ketiga di Galeri Seni Puncak.

Terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor, kesemua karya tersebut seolah-olah membuktikan yang tulisan itu bukan sahaja menyatupadukan penduduk Nusantara, malah turut menyatukan generasi seniman dari pelbagai latar belakang dan zaman.

Meskipun, di antara mereka lebih dikenali melalui penghasilan karya lukisan potret, abstrak, alam semula jadi dan sebagainya, tetapi kali ini mereka kembali dengan karya kaligrafi khat kontemporari yang biasanya hanya ditemui di dinding rumah orang beragama Islam atau dekorasi ruang masjid.

Menariknya, keindahan karya kaligrafi yang dipamerkan itu bukan sekadar tulisan tradisional semata-mata.

Sebaliknya, ia dihasilkan dengan unsur tambahan yang bersifat dua dan tiga dimensi pada setiap subjek atau objek bagi menyampaikan mesej-mesej bernilai estetik dan kreatif dalam setiap helaian kanvas.

Fitrah jiwa kesenian yang tentu ada dalam diri setiap manusia pastinya terleka seketika tatkala menatap keindahan potongan ayat al-Quran, puisi dan pantun lama.

Malah karya yang sekadar menggunakan lengkungan huruf Arab dalam komposisi karya-karya tersebut tidak kurang menarik untuk dijadikan tatapan sanubari.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Datuk Mohd. Yusof Ahmad, pasangan Datuk Meor Azman Datuk Mohamed Taib dan isteri, Sofia Jane Hisham, kolektor seni dan penggiat seni visual tempatan.

Pelukis tersohor, Yusof Ghani yang cukup dikenali ramai dengan karya-karya bergaya ekspresif berkata, keistimewaan pameran kali ini berjaya menghimpunkan lebih ramai pelukis berbanding sebelum ini.

"Tulisan jawi dan kaligrafi khat merupakan ikon masyarakat Melayu. Bagi Kalam, bilangan seniman yang semakin bertambah membuktikan yang seniman bukan sahaja berminat menghasilkan karya-karya moden malah karya bersifat kerohanian turut menjadi pilihan mereka.

"Penggunaan tulisan jawi dan kaligrafi khat merupakan pendekatan yang mudah untuk menarik orang ramai memartabatkan kembali tulisan jawi dalam kehidupan seharian," jelasnya.

Beliau berkata, penggunaan medium dari media basah seperti cat air, dakwat, cat akrilik, cat minyak serta cat poster dengan pelbagai warna-warni yang bersifat agresif dan warna alam semula jadi pastinya memukau setiap yang melihatnya.

"Setiap pelukis ini ada yang menggunakan huruf asas seperti alif, ba, ta sehingga ke penggunaan ayat al-Quran, pantun dan puisi lama malah ada juga yang hanya menggunakan intipati lenggok kaligrafi.

"Pada pendapat saya, semua peringkat umur boleh menghayati unsur kesenian ini malah secara tidak langsung pameran Kalam memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tulisan jawi bukan sekadar digunakan oleh pelajar pengajian agama tetapi untuk seisi rumah 1Malaysia," katanya.

Seorang lagi pelukis yang terbabit dalam pameran tersebut, Awang Damit Ahmad berkata, pameran kali ini lebih memberikan tumpuan kepada karya-karya yang menimbulkan persoalan yang menyentuh emosi pencinta kesenian.

"Karya abstrak seperti yang saya hasilkan dikaitkan dengan keadaan semasa dan berdasarkan pengalaman saya sebagai warga tempatan yang hidup bersama nilai-nilai tradisi.

"Sebab itu teks dan imej yang dihasilkan perlu berkait rapat supaya mereka yang melihatnya mudah memahami penceritaan yang ada pada sesebuah karya tersebut.

"Selain itu, pameran Kalam turut menguji keupayaan terbaik kami untuk berkomunikasi di antara satu sama lain dalam menghasilkan idea yang membentuk perpaduan.

"Boleh dikatakan, kesemua maklumat visual dihidupkan semula melalui persepsi semangat seniman Kalam yang menerokai gaya pemikiran ke dalam bahasa visual dari segi penggunaan tulisan tersebut ke dalam kerja seni," katanya.

Seorang lagi seniman muda yang kini semakin diberi perhatian ramai, Shahrul Jamili berkata, karyanya yang berbentuk geometri itu turut dihasilkan dengan ukiran potongan ayat yang diambil daripada pesanan cendekiawan dan pujangga Melayu, Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendita Za'ba.

"Potongan ayat itu sebenarnya merupakan pesanan Pendita Za'ba yang ditulis pada tahun 1957.

"Ketika potongan ayat tersebut ditulis, tulisan jawi sebagai tulisan rasmi telah ditukar kepada bahasa rumi. Beliau berpesan agar tulisan jawi dilindungi kerana ia merupakan harta pusaka yang perlu dipulihara agar generasi muda akan datang mampu menggunakan bahasa tersebut sekali gus membantu penguasaan bahasa Arab dan al-Quran," ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zuhur 1:07
Asar 4:15
Maghrib 7:09
Isyak 8:18



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.