saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 27/11/2011

Terima secara bermaruah

PASTI ramai daripada kita tersenyum bila membaca berita Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) mengemukakan aduan mengenai mutu pengadilan warga Jepun, Minoru Tojo semasa perlawanan akhir merebut pingat emas Sukan Sea antara negara itu dengan skuad Harimau Muda Malaysia. Kalau tidak tersenyum pun, pasti kita jadi meluat.

Bukan kita hendak membela Tojo. Bukannya Tojo tidak ada cacat-celanya di mata penyokong Malaysia. Keputusan lemahnya yang sekadar melayangkan kad kuning kepada pemain Indonesia yang terang-terang melakukan aksi menjunam untuk cuba mendapatkan sepakan penalti, adalah amat menjengkelkan. Malah jika hendak bercerita mengenai mutu pengadilan warga Emiriah Arab Bersatu semasa perlawanan Malaysia-Indonesia di separuh akhir, lagi tambah-tambah menjengkelkan. Pemain Indonesia yang ketinggalan 0-1 ketika itu bagaikan mensasarkan kaki pemain Malaysia, bukan bola tetapi kaki. Taktik mereka itu berjaya bila tiga pemain utama Harimau cedera menyebabkan mereka tidak diturunkan semasa perlawanan akhir.

Tatkala semua dapat melihat pemain Indonesia dengan wajah yang bengis membentes kaki pemain Malaysia di sudut yang semua tahu tidak akan ke mana pun bola jika direbut, pengadil Arab tersebut hanya melayangkan kad kuning. Mungkin kad merahnya tertinggal dalam beg di hotel. Mungkin dia tahu, melayangkan kad merah akan menyulitkannya untuk keluar dari Stadium Gelora Bung Karno.

Kita sebenarnya tidak berminat hendak memanjang-manjangkan tindakan PSSI ini membuat aduan rasmi ke FIFA. Itu hak mereka. Tetapi memandangkan ia melibatkan skuad Malaysia, kita kena beri pandangan. Persoalannya nanti, kenapa Malaysia tidak pula membuat aduan serupa. Apakah kerana kita menang, maka kita berdiam?

Dalam konteks ini, jelas dan nyata Malaysia memilih untuk bersikap gentleman. Kita juga ada merungut tetapi berpada-pada. Kita sedar pengadil memiliki pelbagai tekanan semasa perlawanan kerana tekanan serupa diterima oleh bukan saja skuad Harimau tetapi juga kepada seluruh kontinjen Sukan Sea Malaysia yang menjadi sasaran ejeken dan kutukan yang eksklusif daripada negara tuan rumah.

Atas faktor inilah, tindakan PSSI boleh kita ibaratkan 'rumah siap, pahat berbunyi'. Lazimnya kita dengar perkara sebegini terjadi semasa majlis anugerah filem atau nyanyian sehingga ada pula kes firma audit tersalah kira undi memaksa anugerah ditarik balik dan ia adalah kejadian yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Amat memalukan bila individu itu terpaksa memulangkan hadiah.

Namun, PSSI tahu seandainya mereka mengemukakan aduan ke peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sekali pun mengenai mutu pengadilan semasa Sukan Sea, ia tidak akan merubah keputusan perlawanan. Faktanya, Malaysia memenangi pingat emas bola sepak, sekali gus mengukuhkan prestij sebagai juara ASEAN.

Yang jelek dan sinikal dalam menghalusi tindakan PSSI mengadu mengenai mutu pengadilan, Indonesia bagaikan menutup mata dan telinga mereka mengenai rungutan negara peserta dalam aspek keseluruhan mutu pengadilan Sukan Sea. Acara paling teruk berat sebelah ialah sukan pertahanan diri seperti pencak silat dan Wushu. Maklumlah acara ini bergantung sepenuhnya kepada undi juri. Hendak sarankan guna undi SMS, lagi tidak diketahui ketelusan dan kesahihannya. Nanti salah kira lagi. Dalam acara sepak takraw, skuad Myanmar hampir bertumbuk dengan pengadil garisan Indonesia. Bola masuk dikata keluar. Orang Myanmar yang kita tahu bukan jenis marah-marah pun tidak dapat menahan geram.

mutu

PSSI memberi alasan tindakan mereka itu adalah sebagai 'peringatan' kepada FIFA agar mutu rendah pengadilan tidak berulang. Maknanya, PSSI mahu mana-mana perlawanan selepas ini yang skuad Indonesia tewas, adalah disebabkan mutu pengadilan. Bukan kerana faktor lain seperti memiliki pemain import pun gagal menang atau barisan pertahanan yang lemah. Atau apakah PSSI mahu agar dimansuhkan sahaja peraturan off-side?

Lagi pun, untuk mempertikaikan kewibawaan Tojo adalah satu jalan keluar yang mudah daripada memikul sepenuhnya beban kesalahan taktikal permainan atau kelemahan pemain yang dipilih. Tojo bukan pengadil tangkap muat. Dia memulakan kerjaya pengadilnya secara profesional pada 2007 dalam Liga-J di tanah kelahirannya iaitu Jepun. Sejak itu, dia sudah mengadili semua acara bola sepak utama di peringkat Asia termasuk pusingan kelayakan Piala Dunia antara Iraq dan Singapura. Adat permainan, pasukan yang tewas akan menghentam mutu pengadilan. Tanyalah Arsene Wenger dan Sir Alex Ferguson. Berdasarkan beberapa laporan media bukan Malaysia dan Indonesia, secara umumnya pemerhati menyatakan persembahan Tojo adalah memuaskan dan tenang mengadili perlawanan yang sengit antara Harimau dan Garuda hingga membawa ke sepakan penalti.

Hairannya, PSSI bagaikan tidak mahu mengakui kelemahan di pihaknya sendiri. Mereka tanpa segan-silu membenarkan pengambilan pemain import ke dalam skuad antarabangsanya. Paling mudah dikesan pemain bukan kelahiran Indonesia dalam skuad Garuda Muda ialah Diego Michels yang namanya tiada menggambarkan unsur Sanskrit (lahir di Belanda), walaupun Titus Bonai dan Octo Maniani tiada langsung iras wajah tampan Betawi, mereka berdua ini difahami berasal dari wilayah jajahan Indonesia di Papua.

Pada Oktober lalu, PSSI mengumumkan lima pemain import yang telah diberi taraf warga negara untuk membolehkan mereka mewakili Indonesia dalam kejohanan bola sepak antarabangsa. Mereka ialah Victor Chukwuekenzie Igbonefo, Johnny Rudolf van Beu Kering, Tonnie Harry Cousel, Greg Nwokolo dan Stefano Janite Lilipaly.

Bagaimanapun, PSSI masih tidak boleh menggunakan dua pemain berasal dari Nigeria iaitu Nwokolo dan Igbonefo bagi kejohanan kelayakan Piala Dunia menentang Qatar dan Iraq kerana belum menerima pengesahan negara asal mereka sama ada pernah atau tidak mewakili Nigeria di mana-mana peringkat kejohanan sebelum ini.

Di sebalik isu tersebut, mata kita pasti terbeliak kerana Indonesia sebagai negara keempat terbesar di dunia iaitu 250 juta penduduk, terpaksa meniru kaedah Singapura dengan mengimport pemain luar untuk mewakili negara mereka. Kaedah ini tidak salah mengikut undang-undang FIFA dan Olimpik. Selagi sesebuah kerajaan itu bersedia memberikan kerakyatan segera kepada mana-mana ahli sukan dan tidak pernah mewakili negara asalnya, seseorang itu boleh lahir di Kutub Utara dan masih dibenar mewakili mana-mana negara yang mahukan khidmatnya.

Seandainya Singapura kita terima sebagai 'tidak mengapa' kerana bilangan rakyatnya yang kecil, Indonesia yang memiliki sebegitu ramai rakyat pula akan terus jadi bahan ejekan. Rakyatnya sebegitu ramai hinggakan di Malaysia pun dianggar terdapat dua juta rakyatnya mencari nafkah sama ada secara halal atau gelap. Satu-satunya bumi Malaysia yang tidak ada rakyat Indonesia ialah di Sipadan, Sabah.

Persoalan lain ialah jika Singapura dan Indonesia sudah rancak mengimport pemain luar, bila pula Brunei mahu menuruti jalan pintas ini? Brunei adalah negara terkaya di ASEAN. Tentunya tiada masalah untuk menarik ahli sukan berwibawa. Atau Brunei sama seperti Malaysia, lebih mengutamakan anak bangsanya sendiri mewakili negara dalam sukan? Kalau begitu, tidak mengapa Brunei. Kalau kalah pun, ia adalah bermaruah. Tidak perlu terhegeh-hegeh mahu melapor kepada FIFA bila kalah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.