saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 28/11/2011

Langkah masuk dan keluar Dewan Merdeka jangan sumbang

SEKALI lagi ahli-ahli UMNO akan melangkah ke Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Kehadiran sebagai perwakilan atau pemerhati pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 menjadi tumpuan ramai termasuk orang di luar UMNO.

Perhimpunan kali ini pastinya lebih tertumpu kepada gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 bagi menebus kekecewaan 2008.

Setiap kata dan tindakan ahli-ahli UMNO di PWTC juga akan menjadi perhatian rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN). Begitu juga musuh UMNO terutama Pas, PKR dan DAP juga berminat melihat sejauh mana kesiapsiagaan UMNO menghadapi PRU. Ucapan dasar Presiden juga amat dinantikan.

Perhimpunan kali ini sepatutnya menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti termasuk ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tetapi bagi mengelak pergolakan menjelang PRU, pemilihan ditangguhkan. Kali terakhir pemilihan ialah pada 25 Mac 2009 (Wanita, Pemuda, Puteri) dan 26 Mac 2009 (MKT). Tempoh pemimpin yang dipilih itu berakhir tahun ini. Dan mengikut perlembagaan, penangguhan boleh dilakukan selama 18 bulan. Ini bermakna pemilihan perlu dilangsungkan menjelang akhir tahun 2012 dan berdasarkan situasi ini, PRU mungkin diadakan sebelum pertengahan tahun depan. Bagaimanapun tempoh Dewan Rakyat sekarang hanya berakhir pada 24 April 2013.

Nyatalah, PRU semakin hampir tetapi bukan tahun ini. Negeri-negeri yang dikuasai pembangkang juga lebih selesa sekiranya PRU diadakan tahun depan.

Tidak kira pemilihan atau PRU datang terlebih dahulu, ahli-ahli UMNO perlu mengutamakan kepentingan parti. Fokus ahli-ahli pada PRU adalah untuk mencari kemenangan, menawan semula Kedah, Selangor dan Kelantan. Begitu juga mempertahankan negeri dalam genggaman dan mematikan niat pembangkang menawan beberapa negeri lain.

Ahli-ahli perlu bersedia menerima calon boleh menang atau winnable candidate. Hentikan lobi melobi untuk menjadi calon. Ubahlah sikap jika tidak mahu menjadikan 2008 sebagai PRU terakhir BN memerintah. Sudah banyak kenyataan, resolusi, seminar dan macam-macam lagi dilakukan untuk menyedarkan Melayu UMNO ini tetapi jangan pi mai pi mai tang tu. Jika ada yang dicalonkan terasa, berasa atau merasa kurang yakin untuk menang usahlah menawarkan diri. Berundurlah. Jangan digagahi hanya sekadar mahu mengejar jawatan. Jangan meletakkan parti dan pemimpin dalam keadaan sukar. Mungkin boleh diikuti jejak seperti dilakukan oleh Presiden Gerakan Dr. Koh Tsu Koon. Ketepikan seketika perasaan malu mengangkat ‘bendera putih’ sebelum bertarung. Ukurlah baju di badan sendiri sejauh mana keupayaan mereka. Tsu Koon mungkin boleh memilih pertarungan hidup atau mati di gelanggang PRU dengan mencabar pemimpin DAP. Tetapi jika pertembungan itu boleh dianggap membuang masa berkempen, adalah lebih baik dia berundur awal dan memberi tumpuan membantu calon-calon lain untuk bertanding.

Kembali ke perhimpunan kali ini, ahli-ahli UMNO harus diperingatkan tentang keperluan menyokong calon pilihan parti. Pada masa yang sama, rundingan di peringkat bahagian perlu dilakukan supaya pilihan calon tidak menimbulkan masalah. Janganlah pada saat akhir menjelang PRU timbul pelbagai suara sumbang yang mempertikaikan calon. Akhirnya bilik gerakan PRU ditutup, jentera tidak bergerak, kempen hambar, poster dan bendera tidak ditampal dan macam-macam lagi. Calon pilihan juga bukan sekadar boleh diterima oleh ahli-ahli UMNO tetapi juga pengundi-pengundi. Ada ketikanya, calon yang dikemukakan hanya kerana jawatan dalam parti atau mendapat restu dua tiga kerat pemimpin atau kumpulan dalam bahagian sedangkan yang lain tidak setuju. Justeru bersedialah menerima calon boleh menang sama ada calon ‘payung terjun’ serta adunan muka lama dan baru.

Mungkinkah dalam mengatasi ketidakpuasan dalam parti di peringkat bawah, UMNO akan memperkenalkan calon pilihannya lebih awal? Langkah ini mungkin memberi ruang kepada calon ‘memperbaiki’ diri dalam segenap aspek. Tetapi pada masa yang sama, musuh akan mencari ‘senjata sulit’ untuk menyerang calon ini. Apa pun yang penting, calon yang dikatakan boleh menang itu mendapat sokongan semua sama ada di dalam atau di luar parti. Jangan ada musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan atau cakap tak serupa bikin.

Berpeganglah kepada tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu Persefahaman Asas Perpaduan Ummah. Elakkan sengketa yang menjerumus ke arah kehancuran.

Ingatlah PRU kali ini amat penting. Masing-masing mahu menang. BN mahu memperoleh majoriti dua pertiga di samping mempertahankan negeri yang dimenangi pada 2008 dan mendapatkan balik negeri yang terlepas ke tangan pakatan 3P - DAP, Pas, PKR. Begitu jugalah hasrat 3P yang mahu menawan Putrajaya, mempertahan negerinya dan menawan negeri lain.

Justeru, setiap parti terpaksa meletakkan diri dalam keadaan siap sedia dan tidak melakukan ‘kesilapan’ pada saat akhir.

Semoga langkah ahli-ahli UMNO ke PWTC tidak sumbang. Begitu juga dengan ‘suara dan ucapan’ mereka tidak sumbang. Langkah mereka selepas berakhir perhimpunan juga tidak seharusnya sumbang. Gerak kerja mereka untuk menghadapi PRU juga tidak sumbang. Jika sumbang, buruk padahnya. Ingat, bukan sekadar Putrajaya menjadi idaman pembangkang, malahan DAP juga berminat ‘menakluki’ PWTC.

Justeru, sumbanglah sesuatu untuk kebaikan parti. Selak ucapan Najib Tun Razak pada 21 Oktober 2010: Kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!

Kepada ahli-ahli UMNO dari Perlis hingga ke Sabah, selamat berhimpun dan bersidang. Sekali lagi diingatkan, langkah anda jangan sumbang ketika memasuki Dewan Merdeka, begitu juga ketika meninggalkan PWTC untuk menghadapi PRU!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:58
Zohor 1:21
Asar 4:20
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.