saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 30/11/2011

Orang UMNO kembalilah kepada fitrah Bahagian 2

PRESIDEN UMNO Ke-7, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyampaikan Amanatnya pagi esok. Sudah tentu amanatnya itu akan sarat dengan nasihat, ingatan dan peringatan kepada lebih 5,000 perwakilan dan berjuta-juta ahli parti keramat orang Melayu itu.

Semua pihak sudah tentu akan mengikuti ucapan itu yang disiarkan secara langsung di televisyen dan radio-radio dengan teliti dan berhati-hati. Tanpa mengira orang UMNO atau musuhnya, semua akan mendengar Amanat Presiden itu. Pendek kata ia juga akan turut diikuti oleh penganalisis strategik sosial, politik dan ekonomi dari luar negara.

Di saat-saat pilihan raya umum dijangka berlangsung tidak berapa lama lagi, apa yang diperkatakan oleh Najib itu akan menjadi azimat atau pun racun buat semua pihak. Azimat untuk menaikkan semangat tiga juta ahli UMNO, atau racun kepada pihak musuh atau pun sebaliknya.

Sesungguhnya UMNO masih lagi terlalu relevan. Amat sukar untuk menafikan hakikat itu. Orang Melayu sebenarnya tiada pilihan selain daripada bernaung di bawah UMNO. Jika orang Melayu sudah bosan dengan cara orang Melayu UMNO mempertahankan agama yang dianutinya, melindungi hak-hak bangsa mereka serta mentadbir negara ini dengan sempurna selama lebih 54 tahun, maka di tangan merekalah juga ia boleh diubah.

Tapi persoalannya, berani dan sanggupkah orang Melayu melakukan perubahan itu? Jika mereka mahu berubah, siapakah di belakang mereka yang mampu mempertahankan ketiga-tiga ciri yang dipertahankan oleh Melayu UMNO itu?

Mampukah Pas dan Melayu PKR mengambil alih peranan UMNO? Seperti yang kerap saya katakan, Pas dan PKR pun bukanlah parti yang boleh diharapkan untuk kesinambungan martabat orang Melayu. Pas ialah sebuah parti Melayu konservatif yang tidak tetap pendirian. Sekejap terlalu fundamental Islam, sekejap terlalu liberal Islam dan kini Pas dikatakan telah menjadi sebuah parti yang ultra-liberal.

PKR pula ialah parti yang tidak mempunyai perjuangan yang jelas. Ia hanya berjuang untuk kepentingan Anwar Ibrahim. Dulu Semangat 46 pun sama, berjuang untuk seorang individu. Parti itu hanya bertahan beberapa tahun sebelum para pemimpinnya ramai-ramai berpatah balik kepada UMNO.

Pas sudah menyimpang sama sekali daripada perjuangan asalnya gara-gara terlalu terikut kepada pendirian liberal Anwar Ibrahim dan aliran ultra kiasu DAP.

Siapakah pula DAP? Ia sudah berjaya menawan negeri orang Melayu Selangor dan Perak. Orang Melayu membiarkan DAP menguasai kedua-dua negeri itu kerana mereka berpecah sesama sendiri.

Jika dulu orang Melayu amat membenci DAP yang ternyata amat cauvinistik dan terlalu tebal perkaumannya, mengapa mereka kini boleh menerima parti itu?

Jika dulu parti cauvinis itu sanggup mengangkat penyapu mahu menyapu orang Melayu keluar dari bandar, mengapa orang Melayu kini sanggup bersekongkol pula dengan mereka?

Apakah anak-anak kita tahu mengenai gelagat DAP itu dan sejarah asal-usulnya? Jika mereka tidak tahu mengapa sejarah itu tidak diajarkan? Apakah para pemimpin Melayu UMNO kini sudah terlalu selesa dan perkasa sehingga lupa semua itu?

Tapi, benarkah orang Melayu kini sudah boleh menerima DAP? Seperti yang pernah ditulis sebelum ini, DAP kini sudah merekrut, atau cuba merekrut para pemimpin Melayu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. Mengapa calon Melayu, apakah mereka ini akhirnya akan menjadi calon boneka Menteri Besar dari DAP sendiri?

Namun sama ada DAP ikhlas atau tidak mahu menerima orang Melayu ke dalam parti itu, ia adalah satu persoalan lain. Hakikatnya DAP kini sudah mulai disukai orang Melayukah?

Saya difahamkan orang Melayu kini sudah sanggup bertakbir Allahuakbar!! atas pekikan Takbir oleh Cina DAP. Wah, jika begitu, sungguh hebatlah pengaruh DAP ini sekarang. Ia bukan omongan kosong, tapi telah berlaku dalam satu ceramah politik di Baling baru-baru ini. Rata-rata pak-pak lebai pengikut Pas melihat DAP sebagai rakan karib yang akan membantu mereka ke Putrajaya.

Tapi, pak-pak lebai itu tidak faham bahawa sekiranya mereka ke Putrajaya sekali pun, mereka hanya akan menjadi seperti Selangor dan Perak. Yang menjadi pemegang tali ialah DAP dan yang menjadi anak-anak patungnya ialah Pas dan Melayu PKR. Itu juga bukan omongan kosong, tapi diakui sendiri oleh segelintir pemimpin pembangkang yang mulai sedar.

Persoalannya di mana UMNO? Di manakah orang UMNO? UMNO sepatutnya menjadi tulang belakang orang Melayu. Sepatutnya UMNO bukan hanya milik orang Melayu UMNO, tapi adalah milik orang Melayu keseluruhannya. Jika orang Pas boleh menerima DAP, mengapa mereka tidak boleh menerima saudara sebangsa dan seagama, UMNO?

Jika dulu orang Pas boleh pergi meminta tolong kepada pemimpin UMNO, apakah ia boleh berlaku sekarang? Jika tidak, mengapa?

Ingatlah UMNO ialah parti yang (masih) mendokong negara ini. Kerana UMNOlah rakyat negara ini dan orang Melayu keseluruhannya menikmati apa yang ada pada hari ini.

Tapi apakah UMNO masih lagi menjadi parti yang menguasai kerajaan? Jika di zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein dan Tun Mahathir parti dilihat menguasai kerajaan, apakah ia masih berlaku sekarang?

Apakah parti berhak atau dibolehkan menasihati kerajaan untuk mengambil sesuatu tindakan yang dilihat merugikan perjuangan dan aspirasi parti? UMNOlah yang sepatutnya menentukan kerajaan itu bersih, telus dan berintegriti.

Rakyat akan hormat sekiranya, UMNO kelihatan tegas dan berani menegur kerajaan. Jika ini berlaku, dengan sendirinya suara-suara ofensif pembangkang akan tenggelam.

Perbanyakkanlah Singa-Singa UMNO atau ginger group (kumpulan pendesak) ala bekas Ketua Pemuda, Syed Jaafar Albar sekitar 1970-an dulu yang gemar mencari kelemahan kerajaan dan mengatasinya.

Wahai UMNO, kembalilah kepada fitrah keramat parti itu. Para pemimpin dan pucuk pimpinan kerajaan yang bernaung di bawah UMNO harus merujuk sebarang percaturannya kepada aspirasi parti.

UMNO akan lemah sekiranya para pemimpin kerajaannya hanya menggunakan daya kebijaksanaannya semata-mata tanpa merujuk kepada roh dan semangat parti itu.

Jika parti tidak boleh menasihati kerajaan, maka parti itu akan menjadi parti yang lemah. Cerminan UMNO ialah bergantung kepada nasihatnya kepada kerajaan dan bukan oleh orang lain.

Kekuatan UMNO dahulu adalah disebabkan keupayaannya menunjangi kerajaan. Jika para pemimpinnya hanya mengikut citarasa peribadi, diri sendiri dan sekitar kelompok-kelompok mereka sendiri walaupun tidak disukai oleh akar umbinya dalam parti, maka hanya masa sahaja yang akan menentukan hidup matinya. Allahualam.

Selamat Bersidang!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.