saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 01/12/2011

Mendalami pengertian Hijrah

ILMUWAN terkenal Safiyurrahman al-Mubarakfuri menjelaskan dalam karyanya al-Rahiq al-Makhtum yang mendapat pengiktirafan di dunia Islam, bahawa fakta hijrah Rasulullah SAW bermula pada tanggal malam 28 Safar, tahun ke-14 kerasulan baginda.

Nabi keluar dari rumah baginda bersama Abu Bakar al-Siddiq menuju ke Gua Thur. Mereka berada dalam gua tersebut selama tiga malam.

Pada hari pertama Rabiulawal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib yakni Madinah dipandu oleh Abdullah bin 'Uraiqit. Mereka tidak melalui jalan biasa bagi tujuan keselamatan.

Pada hari Isnin 8 Rabiulawal, nabi sampai di Quba' dan mereka berada di sana selama empat hari serta mengasaskan Masjid Quba yang al-Quran iktiraf sebagai masjid yang didirikan atas dasar taqwa.

Pada 12 Rabiulawal, setelah solat Jumaat baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah al-Munawarah. Fakta ini adalah hasil kajian Safiurrahman al-Mubarakfuri yang boleh dikatakan paling sahih. Sebabnya, ia berdasarkan riwayat hadis dan huraian daripada para sejarawan Islam.

Namun di sebalik kepelbagaian fakta sejarah agung itu, timbul persoalan besar apabila kita membaca hadis yang menjelaskan: Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Kota Mekah, tetapi (yang tinggal hanyalah) jihad dan niat. Oleh itu, jika kalian diminta keluar berjihad, maka keluarlah! (riwayat Bukhari)

Bagaimanakah semangat hijrah ini masih mampu kita hayati dalam kehidupan dalam keadaan tiada lagi hijrah dengan makna yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat?

Apa lagi yang mampu kita isikan dalam program-program Maal Hijrah yang disambut saban tahun? Jawapannya tertera di hujung hadis nabi di atas.

Kita sememangnya mampu menanamkan semangat hijrah yang sama melalui pemerkasaan dua konsep yang dinyatakan oleh nabi iaitu al-jihad.

Ia boleh difahami sebagai menggerakkan upaya fizikal kita dalam membela dan mempertahankan Islam yang digandingkan dengan rasa keinsafan yang mendalam daripada lubuk hati bagi menyusun pelan tindakan iaitu al-niyyah (niat).

Kombinasi ini ternyata amat bermakna dalam penghayatan hijrah. Ia terbukti berdasarkan ayat al-Quran yang menjelaskan bagaimana peranan kombinasi itu dalam merealisasikan hijrah Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (al-Hasyr: 9)

Mengutamakan saudara seagama melebihi keperluan sendiri (ithar) dalam ayat di atas adalah lambang kekuatan dalaman yang terbina oleh niat yang tulus semata-mata kerana Allah.

Berkongsi rezeki kurniaan Allah sama ada sedikit atau banyak, menceraikan isteri sendiri untuk dinikahi oleh saudara seagama yang memerlukan, mendahulukan saudara Muhajirin melebihi anak dan isteri sendiri adalah contoh-contoh kisah para sahabat yang mewarnai peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang agung itu.

Demikian al-Quran membuktikan bahawa ketulusan niat adalah amat penting dalam memperkukuh spiritual seorang mukmin bagi melorongkan bantuan-bantuan yang amat luar biasa oleh kelompok Ansar terhadap Muhajirin.

Pengupayaan fizikal (al-jihad) dalam peristiwa Hijrah pula digambarkan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah Engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (at-Taubah: 40).

Kekuatan fizikal

Perjalanan yang mengambil masa hampir dua minggu dengan berjalan kaki sejauh kira-kira 500 kilometer merentasi pandang pasir, bermalam di dalam gua serta berbekalkan makanan yang sederhana bukanlah pengalaman yang mudah jika tidak memiliki upaya fizikal yang teguh.

Itulah intisari ayat di atas yang menggambarkan kekuatan jihad fizikal Rasulullah SAW dan Abu Bakar al-Siddiq yang kemudiannya mendapat bantuan terus daripada Allah SWT.

Demikianlah kombinasi fizikal dan spiritual yang diwasiatkan oleh nabi di sebalik peristiwa hijrah yang wajar kita teruskan.

Sesungguhnya semangat itulah yang menjadi bekalan para sahabat dalam mempertahan dan melebarkan Islam ke seluruh pelosok dunia.

Oleh yang demikian, memperkasakan Islam melalui lapangan jihad ilmu, ekonomi dan pembangunan umat adalah contoh yang sangat praktikal bagi melunaskan semangat hijrah dalam makna yang lebih meluas.

Justeru perayaan, penganjuran majlis-majlis atas nama hijrah, pengiktirafan termasuklah penganugerahan Tokoh Maal Hijrah adalah tradisi yang perlu diteruskan sebagai tanda penghargaan golongan yang berjasa kepada Islam di dalam mahupun luar negara.

Pengiktirafan ini mungkin dapat diluaskan lagi skopnya termasuklah kepada golongan bukan agamawan atau ilmuwan Islam, asal sahaja sumbangannya menepati semangat hijrah yang telah di perkatakan.

Sambutan Maal Hijrah perlu diperhebat agar sesuai dengan kehebatan dan semangat hijrah itu sendiri.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:19
Asar 4:34
Maghrib 7:25
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.