saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 05/12/2011

Belum kibar bendera putih


MESRA... Misteri Jalan Lama menyaksikan Hans Isaac kembali membintangi filem arahan Afdlin Shauki untuk kali kelima.


MELIHAT kesibukannya sebagai seorang penerbit, pasti membuatkan ramai menyangka pelakon kacak ini sudah mengibarkan bendera putih daripada dunia lakonan.

Apatah lagi wajahnya yang semakin jarang menghiasi kaca televisyen mahupun layar perak.

Namun, kata Hans Isaac, dia tidak pernah bersara sebagai seorang pelakon. Sebaliknya, Hans memberitahu soal populariti bukan lagi menjadi agenda utamanya dalam dunia seni.

Sementelah sudah hampir dua dekad mengecapi kejayaan sebagai seorang anak seni, maka, Hans tidak mahu lagi semberono dalam soal lakonan.

Mengakui bahawa sebagai seorang pelakon Hans begitu sukar untuk mendapat kepuasan tetapi katanya, jika membintangi sesebuah karya itu, dia mahu ia meninggalkan impak baik kepada dirinya mahupun penonton.

“Populariti dan glamor sudah lama saya kecapi dan lalui. Atas alasan itu, saya mahu mencari sesuatu yang dapat memberikan kepuasan dalam kerjaya saya.

“Bukan bermakna saya sibuk sebagai seorang penerbit dan pengarah, saya sudah melupakan dunia lakonan. Saya masih lagi berlakon tetapi saya mahu mencari naskhah yang bagus dan berkualiti sekali gus dapat mencabar saya sebagai aktor.

“Saya harus akui, dalam soal lakonan, saya sudah menjadi semakin memilih dan hanya memilih watak serta skrip yang saya rasakan dapat mengubah dimensi lakonan saya,” ujar Hans tanpa selindung sewaktu ditemui di pejabatnya, Tall Order Productions yang terletak di Ampang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Begitu juga dengan filem terbarunya, Misteri Jalan Lama (MJL) yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam di mana Hans memberitahu ia telah mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.

Diarahkan oleh sahabat karibnya, Afdlin Shauki, Hans menyifatkan MJL sebagai sebuah filem yang lari daripada norma filem arahan Afdlin yang sebelum ini cukup sinonim dengan genre komedi.

Emosi

Membawakan watak Indra, Hans atau nama sebenarnya, Gerald Hans Isaac menjelaskan watak tersebut memerlukannya bermain dengan emosi dalaman.

“Dari segi lahiriah, Indra seorang yang serius dan tegas. Tetapi, sepanjang perjalanan filem ini, penonton akan dapat melihat bagaimana Indra sebenarnya mempunyai jiwa yang sangat sensitif.

“Dia tidak akan menunjukkan apa yang dialaminya kepada sesiapa pun termasuk adiknya, Ilya (lakonan Que Haidar). Tetapi, apabila Ilya harus kembali ke dunia asalnya, ketika itulah, hati Indra terusik dan dia akan melakukan apa sahaja untuk Ilya.

“Kalau dari segi fizikal, sudah pasti ia juga ada cabaran sendiri dan soal itu, bukanlah satu masalah buat saya. Untuk menghidupkan watak Indra itu, saya sanggup tidak bercukur beberapa bulan untuk mendapatkan jambang walaupun pihak produksi mahu menggunakan yang palsu.

“Dalam masa yang sama juga, saya mengharapkan dengan kelahiran MJL ini juga dapat mengubat kerinduan peminat yang mungkin menunggu kemunculan saya di layar perak,” jelas Hans yang kali terakhir muncul dengan filem Los dan Faun pada tahun 2008.

Selain Hans dan Que, MJL turut dibintangi Vanidah Imran, Marion Caunter, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Sabrina Hassan, Namron, Nasir Bilal Khan dan ramai lagi.

Bercerita lanjut tentang lakonannya bersama Que, Hans yang mula dikenali menerusi filem Ringgit Kasorrga arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba pada tahun 1995 itu memberitahu dia tidak mempunyai masalah berlakon dengan aktor berbakat besar itu.

Malah, katanya sewaktu penggambaran, semuanya berjalan lancar dan baik dirinya mahupun Que, semuanya dapat memberikan lakonan yang terbaik seperti mana dimahukan Afdlin.

Berkawan dengan Neelofa

Bertemu dengan Hans, peluang itu juga diambil untuk bertanyakan sejauh manakah hubungannya dengan aktres baru yang semakin meningkat naik, Noor Neelofa Mohd. Noor atau lebih dikenali sebagai Neelofa.

Hans dan Neelofa dikatakan mempunyai hubungan istimewa lantaran kedua-dua membintangi filem Lemak Kampung Santan yang merupakan filem kedua arahan Hans selepas Cuci.

Adakah satu suratan atau kebetulan untuk Hans yang sering kali dikaitkan dengan aktres yang bergandingan dengannya dalam mana-mana filem mahupun drama sebelum ini.

Bercerita lanjut tentang Neelofa, Hans yang pernah memenangi trofi Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia Ke-21 (2008) bagi filem Cuci ini mengakui dia kini sedang berkawan dengan aktres berusia 22 tahun itu walaupun sudah habis penggambaran.

“Saya selesa berkawan dengan dia. Bagi saya, Neelofa seorang yang bijak, berbudi bahasa dan pandai menjaga diri. Dia pun banyak bertanyakan kepada saya tentang selok-belok dunia seni.

“Sebagai kawan, tidak salah untuk saya membantu apa yang patut kerana dia masih lagi baru dalam dunia seni. Buat masa ini pun, saya tidak ada masa untuk memikirkan soal cinta.

“Mana-mana wanita yang mahu berpacaran dengan saya perlu faham dengan komitmen dan kesibukan saya.

“Seperti mana bekas teman wanita saya sebelum ini yang merungut kerana katanya, untuk bertemu dengan saya untuk makan malam selama dua jam pun, perlu membuat temu janji dua minggu lebih awal,” cerita Hans dalam nada berseloroh.

Sibuk sehingga 2013

Dengan tirai 2011 akan berlabuh tidak lama lagi, Hans sudah mengatur pelbagai agenda seni sehingga tahun 2013.

Sebelum itu, Hans menjelaskan dia akan menghabiskan masa hampir seminggu di Bangkok, Thailand bersama ibunya bagi meraikan sambutan Krismas di rumah abangnya di sana.

Kemudian, Hans akan sibuk dengan penerbitan konsert Raja dan Ratu Rock yang menampilkan Awie dan Ella di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada pertengahan bulan Januari depan.

“Untuk tahun 2012, saya akan kembali mementaskan musim terakhir Cuci the Musical dengan beberapa perubahan dan kejutan baru selain musim kedua Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal.

“Dalam masa yang sama juga, saya akan mengadaptasi kisah hidup Lat ke layar perak dan akan menjalani penggambaran sekitar pertengahan tahun depan.

“Bagi tahun 2013 pula, saya akan mementaskan Rajang the Musical yang boleh saya katakan memberi satu dimensi baru kepada pementasan teater muzikal di negara ini,” jelas Hans penuh teruja.

Dalam masa yang sama Hans turut mengkhabarkan bahawa dia kini sudah mula sibuk memenuhi persembahan pentas bersama Afdlin, Nabil Ahmad dan Awie.

“Baru saya tahu bagaimana hendak mencari duit poket dengan mudah,” katanya dalam derai tawa.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.