saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 05/12/2011

Orang UMNO selepas amanat dan ikrar Disember 2011

SEMALAM ketika berjalan-jalan di Kajang untuk melihat kesan banjir kilat, penulis terdengar lagu UMNO Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.

Siapa pula yang putar lagu itu kerana Perhimpunan Agung UMNO Ke-62 sudah berakhir kelmarin. Rupa-rupanya lagu itu muncul dari telefon bimbit salah seorang sekumpulan remaja Melayu. Tidak pasti sama ada remaja itu ahli UMNO tetapi usianya nampak masih muda, belum layak menjadi ahli. Mungkin rentak lagu itu memikat dan menjadikannya nada dering. Agaknya di kalangan 3.2 juta ahli UMNO, berapa ramai yang menjadikan lagu itu sebagai nada dering telefon mereka.

Kemudian semasa melalui sebuah kampung berhampiran Kajang, di Jalan Cheras, penulis terserempak pula dengan deretan bendera UMNO, Pas dan Barisan Nasional (BN). Jarang melihat deretan bendera seperti itu kecuali pada Pilihan Raya Umum (PRU). Lebih-lebih lagi bendera BN atau UMNO, memang sukar dicari di luar musim PRU. Tetapi kibaran bendera PKR, Pas, DAP mudah kelihatan lebih-lebih lagi di negeri yang mereka kuasai. Itulah bezanya antara BN dan pembangkang. Orang UMNO tidak harus malu dengan irama lagu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat atau mengibarkan bendera UMNO dan BN.

Dan tiba di kawasan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), suasana tidak lagi sibuk. Namun masih terngiang di telinga mengenai amanat Presiden UMNO, Najib Tun Razak dan lafaz ikrar yang diketuai Timbalan Presiden, Muhyiddin Yassin. Kelmarin, 2,711 perwakilan UMNO dari Perlis hingga ke Sabah mula melangkah keluar meninggalkan Dewan Merdeka, PWTC selepas ‘berkampung’ selama lima hari di ibu negara. Beribu lagi pemerhati, orang UMNO, bukan ahli UMNO juga mengikuti perhimpunan itu. Kini, perwakilan sudah tentu berada di kawasan masing-masing. Mungkin ada juga yang masih bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur atau Putrajaya. Tidak kurang juga yang terus ‘lepak’ di coffee house memperkatakan tentang Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang dianggap berjaya mencetuskan semangat baru.

Mengikuti perbahasan yang bermula dengan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, ternyata masing-masing mempunyai iltizam yang kuat untuk memastikan kemenangan calon-calon UMNO dan BN. Mereka nampaknya sudah bersedia turun ke gelanggang PRU13, bersedia menerima ‘calon boleh menang’, tidak kira sama ada di kalangan orang UMNO tempatan atau dari luar kawasan. Bagi yang sudah bergelar Yang Berhormat (YB), mereka juga bersedia untuk tidak dicalonkan semula tetapi Alhamdulillah jika dicalonkan lagi. Apa yang penting jangan biarkan Presiden UMNO ‘pening’ atau ‘serba tak kena’ memilih calon.

Bagi ketua, timbalan dan naib ketua bahagian serta seluruh jawatankuasa bahagian dan pimpinan peringkat sayap juga sudah bersedia untuk tidak dicalonkan hanya semata-mata kerana jawatan mereka. Jika dulu mereka ‘diasuh’ untuk merebut jawatan bahagian sebagai ‘lesen’ menjadi wakil rakyat tetapi kini sikap itu perlu diubah.

Jika tidak dipilih, mereka tidak akan merajuk atau mensabotaj parti dengan menutup bilik gerakan, ‘melarikan diri’ ke luar negara, tidak turun berkempen, menyimpan peruntukan PRU, menyembunyikan bendera, poster dan macam-macam lagi. Ada juga yang tidak keluar mengundi atau lebih nakal, keluar mengundi tetapi undi parti lawan atau rosakkan undi!

Memang mereka bersemangat ketika di Dewan Merdeka yang kini ‘semakin kecil’ untuk menampung jumlah perwakilan.

Tetapi apakah sebenarnya yang akan berlaku selepas masing-masing kembali ke bahagian? Semoga semangat tidak hangat-hangat tahi ayam. Adakah mereka akan terus ingat amanat Presiden dan ikrar yang dilafazkan? Adakah masing-masing masih mahu melobi untuk menjadi calon? Masih adakah perasaan untuk cantas mencantas, takut bayang-bayang kawan dan macam-macam lagi?

Kelmarin ketika masih di PWTC, seorang anak muda yang boleh dianggap ‘orang UMNO’ berkata, beliau hairan kenapa ada yang terus bercerita mengenai calon yang akan bertanding pada PRU. Malahan di bahagiannya, sudah timbul keresahan apabila namanya disebut untuk menjadi calon padahal, beliau tidak berhasrat ke arah itu. Beliau bimbang ‘kerja untuk parti’ yang dilakukannya dianggap sebagai tindakan mahu melobi menjadi calon PRU.

Inilah dilema orang seperti ini yang dalam ‘musim sekarang’ bekerja salah tak kerja pun salah. (Maksud bekerja di sini adalah mengadakan pelbagai program untuk rakyat). Justeru buanglah sikap syak wasangka terhadap kerja baik orang lain. Setiap orang UMNO perlu lebih bertanggungjawab, tidak pentingkan diri dan bekerja keras untuk mendekati pengundi.

Sukar diramalkan apa yang akan berlaku di bahagian selepas perhimpunan berakhir. Bagaimanapun apa yang penting ialah setiap pemimpin bahagian terus berpegang kepada ikrar yang dibuat. UMNO tidak boleh lagi melihat dan mendengar cerita berebut mahu menjadi calon. Ketika beberapa YB seperti Idris Jusoh (Terengganu), Azhar Ibrahim dan Zabariah Abdul Wahab (Pulau Pinang) menawarkan diri untuk berundur, jangan pula berduyun-duyun yang datang mahu mengisi kekosongan itu. Kesediaan YB berundur pula jangan disalah tafsir bahawa mereka tidak boleh menang. Calon boleh menang tidak kira sama ada YB sedia ada, orang yang pernah bertanding atau muka baru. Ia juga tidak semestinya orang muda belaka sebaliknya perlu mengadunkan pengalaman, profesion dan suasana - kawasan atau pengundi. Adakah kerana menjadi YB selama beberapa penggal bermakna tidak layak dipilih? Kenapa pembangkang terus menerus menurunkan veterannya bertanding setiap kali PRU?

Maka lupakan seketika memperkatakan soal calon. Serahkan kepada pucuk pimpinan memilih calon boleh menang dan boleh berkhidmat. Sekarang masa untuk bekerja. Katakan ‘boleh’ dan jangan diulit perasaan ‘ragu-ragu’, ‘tidak boleh’ atau ‘susah’ ketika saat-saat menghadapi pilihan raya yang dianggap ibu segala PRU.

Selak semula ucapan dasar Najib pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 (21 Oktober 2010). Katanya, UMNO harus melalui tiga fasa pemulihan bagi membina masa depan dan demi terus mendaya bangsa ini.

Fasa pertama dan terpenting adalah memperakui kelemahan dan masalah yang kita hadapi. Fasa kedua adalah untuk membuat muhasabah dan mencari penawar-penawar yang mustajab memperbaiki kekurangan-kekurangan itu. Fasa ketiga pula adalah memulakan gerak kerja.

Sekarang, UMNO melalui fasa ketiga setelah dikejutkan tsunami politik 2008. Dan kata Najib lagi: Apa yang penting ketiga-tiga fasa ini wajib dilalui dengan penuh ketertiban. Jika tidak, rencana perubahan dan pembaharuan tidak akan berjaya.

Mungkin orang UMNO masih ingat ingatan itu dan tekad untuk bekerja diulangi lagi kali ini. Biarlah cakap serupa bikin. Jujurlah kepada diri, parti dan pemimpin. Jangan ada unsur-unsur yang boleh menjejaskan kekuatan UMNO.

Dan dalam mendepani PRU paling getir ini, orang UMNO cuma ada dua pilihan - berubah atau diubah. Semoga azam dan tekad orang UMNO kali ini berhasil dan mereka dapat berkumpul lagi di Dewan Merdeka, dewan yang turut menjadi idaman DAP serta mengekalkan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan yang diketuai BN. Selamat berjuang!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:00
Zohor 1:22
Asar 4:25
Maghrib 7:25
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.