saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 06/12/2011

Ke arah memperkasakan sekolah aliran agama

PERUNTUKAN untuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran sebanyak RM35.6 juta kepada 79 sekolah agama di Kelantan dan diikuti RM33.4 juta kepada 55 sekolah agama di Kedah yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dilihat sebagai usaha berterusan untuk memperkasakan sekolah agama.

Peruntukan tersebut diagihkan kepada beberapa jenis sekolah iaitu Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).

Ia bertujuan memantap dan mengukuhkan sekolah pendidikan Islam dalam mendidik generasi muda. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah aliran agama berperanan dalam melahirkan modal insan yang berilmu dan bersahsiah tinggi ke arah mencapai matlamat negara maju tahun 2020.

Pertambahan bilangan pelajar sekolah aliran agama meningkat setiap tahun kerana mendapat permintaan tinggi daripada ibu bapa. Kini terdapat hampir 600 buah SAR dan SAN (Sekolah Agama Negeri) di seluruh negara iaitu sekolah yang ditadbirkan oleh pihak swasta sama ada oleh perseorangan atau badan-badan tertentu.

Sementara itu, bilangan SABK juga meningkat kepada 170 buah yang mempunyai pelajar melebihi 57,000 orang iaitu sekolah yang asalnya SAR tetapi berdaftar di bawah Kementerian Pelajaran.

Bilangan SMKA turut meningkat kepada 56 buah kerana permintaan yang tinggi setelah kejayaan cemerlang pelajar-pelajarnya di mana sekolah ini diletakkan di bawah tadbiran Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran.

Selepas negara mencapai kemerdekaan sistem pondok dan madrasah terus berkembang seiring dengan sekolah aliran kebangsaan. Pondok-pondok bertukar wajah menjadi bangunan batu bertingkat dan mempunyai tenaga pengajar yang berkelayakan terutama keluaran universiti Asia Barat. Namanya bertukar kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan bagi sekolah berdaftar dan mendapat bantuan daripada kerajaan negeri dikenali sebagai Sekolah Agama Negeri (SAN).

Perkembangan dan pengurusan Sekolah Agama Rakyat tidak selalunya berjalan lancar. Masalah sering dihadapi dari segi kewangan di mana sumber kewangannya banyak bergantung kepada yuran pelajar, sumbangan masyarakat setempat dan wang zakat. Pengoperasian sekolah ini memerlukan pembiayaan besar.

Namun demikian kesukaran menyediakan peruntukan kewangan ini mendapat perhatian khusus daripada kerajaan. Sebuah jawatankuasa untuk mengkaji dan membuat cadangan dibentuk pada 2004 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Murad iaitu bekas Ketua Pengarah Pelajaran.

Hasil kajian itu dimuatkan dalam Laporan Khas Tan Sri Murad Tahun 2004. Untuk meningkatkan pengurusan dan kualiti pendidikan aliran agama khususnya SAR dicadangkan penubuhan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di mana sekolah tersebut akan mendapat pembiayaan kewangan dan sokongan profesional daripada kerajaan. Oleh itu, pelaksanaannya dimulakan pada 2005 iaitu dengan menawarkan kepada mana-mana SAR untuk mendaftar dengan Kementerian Pelajaran.

SABK akan mendapat bantuan sepenuhnya daripada Kementerian Pelajaran termasuk pembiayaan gaji guru dan staf sokongan di mana perkhidmatan mereka dimasukkan dalam skim baru sama seperti rakan- rakan mereka yang berkhidmat di sekolah bantuan penuh kerajaan.

Namun demikian hak milik tanah dan bangunan sekolah masih kekal di bawah kuasa Lembaga Pentadbiran Sekolah (LPS) sekolah berkenaan.

SABK yang dulunya SAR telah mendapat nafas baru apabila Kementerian Pelajaran menyediakan peruntukan kewangan, kemudahan peralatan pengajaran dan sokongan profesionalisme.

Pengurusan SABK terus diberikan bimbingan serta pemantauan dan guru-guru dimantapkan ikhtisas mereka melalui latihan berkala. Dalam masa sama, sekolah ini dibenarkan meneruskan kurikulum Al Azhari yang diguna pakai untuk pendidikan menengah oleh Universiti Al Azhar, Mesir di samping melaksanakan kurikulum kebangsaan KBSR dan KBSM.

Ternyata pelajar SABK mempunyai kelebihan kerana dapat menguasai dua bidang iaitu pendidikan aliran agama dan mengikuti kurikulum kebangsaan. Pelajar-pelajar akan mengambil peperiksaan Al Azhar dan peperiksaan awam yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran.

Sijil Tinggi Agama Malaysia merupakan peperiksaan tertinggi bagi membolehkan mereka mengikuti pengajian di Universiti Al Azhar dan negara-negara Asia Barat serta memasuki institusi pendidikan tinggi awam dan sijil tersebut diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

Sesungguhnya usaha semua pihak perlu dijuruskan kepada persoalan bagaimana untuk meningkatkan kualiti pengurusan dan pendidikan Sekolah Agama Rakyat.

Terdapat dua isu perlu diberi perhatian iaitu dari segi keperluan kewangan dan keduanya amalan sistem pendidikan yang digunakan.

Tidak dapat dinafikan untuk menguruskan sekolah berkenaan sejumlah dana kewangan yang mencukupi sangat diperlukan sama ada melalui kumpulan wang sedia ada atau melalui sumbangan yang berterusan daripada pihak luar.

Oleh itu, sebagai anggota masyarakat prihatin yang ingin melihat kemajuan pendidikan kanak-kanak melalui aliran agama maka kita mempunyai peranan besar untuk memastikan dana kewangan sekolah berkenaan mencukupi.

Isu kedua yang tidak kurang pentingnya ialah amalan sistem pendidikan yang ditawarkan kepada pelajar. Semua pihak sedia maklum tentang penekanan pendidikan agama yang disediakan di sekolah-sekolah ini. Tetapi kita juga tidak boleh menafikan di kalangan mereka mempunyai kebolehan dan berpotensi besar yang dapat bersaing dengan pelajar lain di aliran kebangsaan.

Mereka ini perlu diberi peluang mengikuti aliran sains dan teknologi bagi membolehkan memasuki bidang-bidang profesional apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti nanti.

Adalah menjadi hak pelajar aliran agama yang berkebolehan dan berkelayakan untuk memasuki bidang profesional yang membolehkan mereka memilih kerjaya sebagai doktor, akauntan, arkitek, saintis, jurutera, ahli farmasi, ‘programmer’ ICT dan lain-lain.

Di samping itu dengan memberi pendidikan yang baik dan berkualiti mereka diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan berkemungkinan menjadi tokoh korporat, usahawan berjaya, aktivis masyarakat malah menjadi pemimpin politik.

Oleh itu, pelajar-pelajar perlulah diberi peluang untuk mengambil dan mempelajari mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Perakaunan dan ICT sejak dari awal lagi.

Kesimpulannya, pelajar yang mempunyai asas keagamaan yang kukuh akan menjadi tenaga kerja yang berketerampilan dan bersahsiah tinggi. Diharapkan mereka akan dapat memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:06
Zuhur 1:27
Asar 4:49
Maghrib 7:24
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.