saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 24/12/2011

Syarat BN menang besar PRU13


Gendang perang sudah dipalu, jentera pilihan raya Barisan Nasional sudahkah bersiap sedia? - Gambar hiasan


JANGAN jadi seperti Pak Pandir. Berlawan sabung ayam, ayamnya menang tapi kampung tergadai. Begitu juga dengan Mat Jenin yang hanya tahu berangan namun hasilnya tiada.

Cerita penglipur lara ini walaupun agak melucukan tetapi membawa maksud cukup mendalam jika dihayati. Dan cerita rakyat ini hakikatnya menyelitkan mesej yang harus diteladani.

Cerita-cerita sebegini harus menjadi teladan kepada orang UMNO. Jangan kita menang sorak tapi kampung tergadai. Jangan kita hanya bersemangat melaungkan perjuangan dan berkobar-kobar semasa Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini. Tetapi selepas habis persidangan, semangat dan perjuangan luntur ditelan masa, sehinggalah bertemu kembali 'tak ada apa-apapun' dalam persidangan tahun hadapan.

Begitu juga dengan cerita Mat Jenin. Orang UMNO hari ini tidak boleh terus berasa selesa dan berangan bahawa Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerajaan yang ada kini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Ini kerana tanpa melakukan gerak kerja dan strategi bagi mendekati dan memenangi hati rakyat, parti pemerintah itu tidak mustahil akan diketepikan.

Genderang perang sudah ditiup Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO lalu. Semangat perjuangan sudah disuntik, mesej perjuangan sudah menjalar ke akar umbi. Calon boleh menang sudah diperjelaskan dan persoalannya kini sejauh mana kesediaan jentera parti untuk menghadapi 'perang' yang akan berlaku pada bila-bila masa.

Banyak perubahan yang sudah kita saksikan sejak Najib mengambil alih tampuk pentadbiran negara. Usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap BN dan UMNO setelah melalui 'tsunami politik' pada 2008 dilakukan secara konsisten, tanpa mengenal erti putus asa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia semalam, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, dalam mendepani cabaran politik semasa, perubahan perlu dilakukan bagi meremajakan UMNO. Ia seperti yang ditekankan Najib yang juga Presiden parti bahawa UMNO tidak boleh menjadi parti mendapat sokongan orang kampung saja.

Sebaliknya ia perlu menjadi parti mewakili masyarakat Malaysia dari segenap lapisan Bandar dan luar bandar secara menyeluruh.

"Menyedari akan hakikat itulah, tercipta satu sejarah sepanjang 62 tertubuhnya UMNO apabila pindaan dilakukan terhadap perlembagaan UMNO yang menyaksikan tujuh perubahan dilakukan bagi memastikan UMNO bersifat inklusif serta relevan kepada rakyat Malaysia.

"Tujuh perubahan ataupun pindaan yang dilakukan itu ialah perluasan jumlah perwakilan, penghapusan kuota, penambahan bilangan Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan lantikan, penubuhan Jawatankuasa Pemilihan UMNO, penghapusan yuran tahunan, pendaftaran keahlian dan pengiktirafan kepada Setiausaha Bahagian.

"Walaupun Ketika ini UMNO dan BN dilihat sudah berupaya mengembalikan sokongan rakyat dengan pelbagai program, tindakan, pengumuman, aktiviti, gerak kerja serta usaha dilakukan secara berterusan, namun juga harus diingat segala isu yang melingkari parti dan kerajaan yang ada kaitan dengan UMNO, BN atau para pemimpinnya perlu diperjelaskan kepada rakyat dan harus ada agensi serta jentera parti yang bergerak cepat memadamkan isu ini," kata beliau.

Menurut beliau, tindakan proaktif ini perlu dimainkan oleh para pemimpin di peringkat bahagian, cawangan dan akar umbi demi kepentingan parti. Dan bukannya terpinga-pinga terjebak dalam mainan 'psywar' atau strategi politik kotor pembangkang.

"Adalah tidak wajar jika UMNO dan kerajaan menjadi kambing hitam dalam isu berkenaan dan lebih malang lagi masyarakat mempercayainya bulat-bulat walaupun ia berunsur fitnah atau tohmahan," kata beliau.

Cuma dalam aspek ini, penulis mahu melontarkan bahawa adakah masalah kepimpinan di peringkat bahagian UMNO masih menjadi penyakit dan duri dalam daging? Barangkali kerana segelintir kecil, maka itu sebabnya semasa taklimat Presiden Perhimpunan Agung parti baru-baru ini, Najib memberi penekanan supaya masalah di peringkat akar umbi perlu diselesaikan segera dengan sebaik mungkin.

Kisah mengenai adanya Setiausaha Bahagian yang 'menggelapkan' rumah seawal pukul 10 malam ketika pilihan raya kecil kerana tidak terpilih sebagai calon. Dan ada pemimpin bahagian yang menyimpan peruntukan pilihan raya untuk digunakan bagi bertanding jawatan dalam parti selain pemimpin parti pergi keluar negara meninggalkan jentera pilihan raya kerana tidak dipilih menjadi calon, semuanya itu harus menjadi iktibar jika BN ingin mempertahankan 'nikmat' pemerintahan kuasa yang ada pada parti pemerintah itu.

Sesuatu yang menimbulkan tanda tanya, apakah orang UMNO sanggup menjunjung dan berpegang kepada bai'ah dilafazkan baru- baru ini. Adakah ahli parti di peringkat bahagian ataupun akar umbi sanggup bekerja bagi memastikan kemenangan jika calon yang dipertandingkan nanti bukan daripada kumpulan mereka.

Begitu juga pemimpin bahagian. Apakah mereka sanggup berkorban dan sedia memberi laluan kepada calon baru untuk berada di pentas arus perdana bagi meneruskan kesinambungan perjuangan yang ditinggalkan mereka.

Sepanjang perhimpunan agung UMNO baru-baru ini, isu 'winnable candidate' diperbahaskan daripada dalam dan luar Dewan Merdeka, di Riverside dan coffee house. Ia sungguh hangat diperkatakan oleh orang UMNO dan semuanya setuju dengan Presiden parti dalam soal ini. Bukan itu saja, malah ada pihak yang mahu Presiden parti menggariskan kriteria 'calon boleh menang' dimaksudkan kerana ramai teruja dan terpanggil untuk mencongak-congak siapa agaknya "wineable candidate" di kawasan mereka.

Namun bagi pucuk pimpinan parti, ia sangat jelas tiada kriteria khusus melainkan calon yang dicadangkan nanti boleh membawa kemenangan kepada parti. Selain isu 'winnable candidate', ada satu perkara yang perlu diberi perhatian serius iaitu soal percaturan. Cakap-cakap positif yang kedengaran sewaktu penulis minum bersama perwakilan parti di Riverside tempoh hari, antaranya perlu parti mengambil iktibar akan kekalahan BN di Perak pada pilihan raya umum lalu. Ia bukan disebabkan oleh kekuatan lawan tetapi kerana kesilapan percaturan.

Justeru, sudah tiba masanya BN menukar percaturan ini di mana calon kawasan majoriti Melayu dan bukan Melayu harus dikaji. Pertukaran kerusi secara strategik perlu dilakukan. Ini kerana formula ini telah digunakan oleh PKR dalam PRU ke-12 dan mereka mencapai kemenangan tidak dijangka. Satu lagi yang perlu diberi perhatian oleh pucuk pimpinan dan pemimpin peringkat bahagian ialah janji-janji pilihan raya.

Sudah tiba masanya untuk BN menyemak kembali janji-janji yang ditawarkan pada pilihan raya umum lalu. Apakah ia sudah dilaksanakan sebaik mungkin seperti mana dijanjikan. Jika belum, penjelasan perlu diberikan kepada rakyat supaya mereka tidak terkeliru.

Akhir sekali penekanan paling penting selain daripada calon boleh menang, UMNO dan BN perlu memiliki 'jentera parti boleh menang' seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam ucapan pengulungannya. Tiada gunanya jika BN memiliki calon yang baik dan sempurna jika jentera parti tidak boleh bergerak.

Dan paling penting ialah jentera parti tidak mensabotaj calon. Tepuk dada, tanyalah hati. Adakah orang UMNO sudah siap siaga? Jika ya, teruslah mara tanpa gentar lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.