saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 02/01/2012

Tahun 2012 ‘diisi’ kelegaan, kekecewaan atau kejayaan

SELAMAT datang tahun 2012. Walaupun diari 2011 sudah ditutup tetapi jika diselak semula helaian ‘diari’ masing-masing (tak kisahlah dalam bentuk tulisan tangan atau media lain), sudah tentu ada yang masih belum terlaksana dan terpaksa disambung semula tahun ini.

Kepada pembaca setia Utusan Malaysia khususnya diharapkan 2012 akan membawa kejayaan kepada anda semua. Apakah 2012 akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik? Semuanya terletak kepada kita. Sebagai manusia, kita boleh berusaha dan berikhtiar ke arah kebaikan dan kejayaan sementara selebihnya terserah kepada ketentuan-Nya. Apa pun setiap kejayaan perlu disusuli dengan semangat kesyukuran dan setiap kegagalan disusuli dengan usaha berterusan. Sebenarnya banyak harapan yang disandarkan pada tahun ini. Secara umumnya, rakyat Malaysia mahu masa depan yang lebih gilang gemilang dan dapat hidup damai di bumi bertuah ini.

Kelegaan Penggal Persekolahan 2012

SEHINGGA semalam, mungkin juga hari ini, suasana membeli-belah pakaian dan peralatan sekolah terus dirasai. Pada saat-saat akhir, masih ada keperluan sekolah yang perlu dicari. Apa pun penggal persekolahan 2012 dianggap melegakan. Bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 setiap seorang anak yang bersekolah (walaupun ada yang menganggap lekat di celah gigi) tetapi ia cukup melegakan. Kata orang lebih baik ada daripada tiada. Tidak kira anak Yang Berhormat (YB) atau anak orang UMNO, MCA, MIC, Gerakan, DAP, Pas, PKR, PPP, IPF, Kimma, KITA, PBB, PBS, PBDS dan sebagainya semua dapat. Terima kasih kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memberi. Kali ini ketika mahu membeli buku tulis atau peralatan persekolahan lain, anak-anak yang jujur yang menyimpan RM100 setelah menerima daripada guru mereka sebelum ini akan menghulur wang itu kepada ibu bapa untuk membuat bayaran. Dianggarkan RM5.3 juta diperuntukkan untuk bantuan awal persekolahan ini. Buku teks juga tidak perlu dibeli, semuanya dapat percuma sebelum sekolah dibuka minggu ini. Kalau lewat dapat pun mungkin kerana jumlah murid atau pelajar terlalu ramai. Pada masa yang sama belum kelihatan senarai yuran yang pelbagai seperti dialami sebelum ini. Pelajar-pelajar insitusi pengajian tinggi (IPT) pula mendapat baucar bernilai RM200 untuk membeli buku. RM1.3 juta diperuntukkan. Eloklah diberi baucar berbanding wang tunai. Bimbang wang itu tidak pergi ke buku sebaliknya untuk tujuan lain. Contohnya membeli telefon bimbit yang lebih canggih berbanding ibu bapa yang sudah bekerja. Bagi keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah pula, mereka akan mendapat habuan RM500 tidak lama lagi melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia.

9 Januari Masa Depan Politik

ISNIN minggu depan, 9 Januari, tumpuan kepada personaliti politik negara, iaitu Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo. PKR telah pun mengatur kempen Bebas Anwar 901. Nama kempen itu pun sudah menunjukkan kekalutan PKR. Kononnya hari itu rakyat seolah-olah akan dibangunkan untuk membebaskan Anwar. Sepatutnya biarlah hakim membuat keputusan terlebih dahulu. Kemudian buatlah tindakan susulan sekiranya tidak berpuas hati. Ikutlah undang-undang. Malangnya, belum pun keputusan dibuat, dah kecoh satu Malaya. Bayangkan kalau semua kes macam ini. Katakanlah Si Buyong yang berkuasa dari Kampung Tualang Tiga (pinjam nama pada filem Sumpah Orang Minyak) yang dibicarakan dan tiba hari pengadilan, adakah seluruh penduduk kampung wajar dikerah ke mahkamah? Tetapi bagaimana pula jika Si Bongkok yang cacat dan miskin dibicarakan? Adakah dia akan diiringi penduduk untuk menentukan hukuman di mahkamah? PKR, pikir sama kepentingan orang lain. Berbeza pula dengan Dr. Mohamad Khir. Beliau sudah tahu nasibnya setelah Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman. Beliau layak membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu. Tidak pasti apa yang akan dilakukan bekas MB itu pada 9 Januari ini. Beliau tidak mungkin mengerahkan penyokongnya berhimpun. Beliau mahu menjelaskan mengenai masa depan politiknya. Tentunya ada sesuatu yang menarik mahu dinyatakan mengenai ‘politik’. Mungkin di sebalik pertuduhan ke atasnya ada cerita lain yang tidak enak. Apa pun, sebagai orang yang pernah mendapat tempat, Dr. Mohamad Khir diharap lebih matang dan tidak menyulitkan mana-mana pihak. Sudah suratan politik, beberapa bekas MB Selangor ‘tenggelam’ dalam kontroversi.

2012 Tahun Pilihan Raya Umum?

APABILA kita melangkah masuk ke tahun 2012, maka orang politik malahan rakyat seluruhnya akan terus bercakap mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13. Bilakah PRU13 akan mengambil tempat? Adakah pada bulan Mac atau Jun? Atau sehingga menjelang 2013 apabila tarikh wajib pembubaran Dewan Rakyat perlu dilakukan pada 24 April 2013? Bahang PRU13 kini semakin terasa. Sejak tahun lalu, parti-parti politik sudah bersiap sedia. Masing-masing mahu mencari ruang untuk ‘memancing’ pengundi. Jika Barisan Nasional (BN) mahu mempertahankan Putrajaya, pembangkang pula ingin menawan Putrajaya, cita-cita yang tidak kesampaian pada September 2008. Parti komponen BN dan parti pakatan pembangkang begitu rancak menggerakkan propaganda untuk memenangi hati rakyat. Jika keadaan ini berterusan, eloklah PRU13 dipercepatkan supaya rakyat tidak terus keliru dengan pelbagai propaganda politik. Pada masa yang sama tidaklah orang politik terlalu banyak membuang masa bercakap mengenai pelbagai janji politik sedangkan janji pada 2008 masih belum ditunaikan. Kadang-kadang kerana terlalu menjaga ‘politik’ orang politik bercakap sehingga ke tahap merapu, tidak masuk akal serta menyakitkan telinga.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:20
Asar 4:34
Maghrib 7:25
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.