saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 10/01/2012

Hak asasi bukan kebebasan politik

GERAKAN siasah alternatif dan sesetengah aktiviti sivil di Malaysia mutakhir ini di heret ke tahap jalanan semata-mata kerana pihak- pihak terbabit terlalu yakin bahawa tindakan berkenaan dihalalkan oleh prinsip hak- hak asasi manusia sejagat dan konsep kebebasan.

Mereka bertindak demikian disebabkan terlalu terpengaruh dengan tafsiran Amerika Syarikat (AS) bahawa prinsip hak-hak asasi manusia kononnya hanya tertumpu kepada kebebasan politik dan kebebasan sivil.

Lantaran itulah mereka sanggup mengeksploitasikan prinsip ini untuk mencabar seluruh kebebasan asas yang bersyarat di dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya Perkara 10 mengenai kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan, yang dibatasi oleh kepentingan keselamatan, ketenteraman awam dan prinsip moral.

Memang prinsip hak-hak asasi manusia sejagat dari segi teorinya bersifat universal, tidak terikat dengan konsep negara, bebas daripada ikatan Perlembagaan, dan bebas daripada sekatan pemerintah (Shad Faruqi 2008: 185). Namun Shad Faruqi juga menghuraikan Document of Destiny: The Constitution of the Federation of Malaysia (2008) bahawa prinsip hak-hak asasi manusia dari perspektif negara membangun seperti Malaysia, perlulah ditakrif, dihayati dan diamalkan dalam konteks perspektif negara ketiga yang digandingi oleh perkiraan terhadap etika dan dibatasi oleh prinsip kesejahteraan bersama.

Konsep dan prinsip ini juga diperjelaskan oleh Chandra Muzaffar dalam Human Rights and the New World Order (1993), Sheikh Showkat Hussain dalam Islam and Human Rights (1991), dan Harry Groves dalam The Constitution of Malaysia: Its Development 1957-1977 (1979).

Chandra (1993:12) menyatakan, Deklarasi Hak-Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang terlalu prihatin terhadap hak-hak politik dan sivil, hanya memberikan perhatian yang kecil terhadap hak-hak ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Walaupun the International Covenent on Economic, Social and Cultural Rights yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mulai tahun 1969 bertujuan memperbetulkan kelemahan Deklarasi Hak- Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, prinsip-prinsip hak-hak asasi ini masih terus disinonimkan dengan liberti politik dan sivil (ibid).

Chandra (ibid) juga menjelaskan, kerajaan-kerajaan Barat telah membantu untuk memunculkan kekeliruan kononnya hak-hak asasi manusia hanya mengenai political freedoms and civil liberties.

Pemesongan inilah yang menyebabkan sesetengah kumpulan di Malaysia hanya memahami prinsip hak-hak asasi manusia dari perspektif kebebasan politik dan sivil. Mereka tidak faham bahawa konsep ini mempunyai sekatan, menitikberatkan kesejahteraan bersama, dan mempunyai batasan etika.

Hakikat inilah juga yang memberikan ruang kepada golongan oportunis dan desperado di Malaysia yang mahir dalam undang- undang Perlembangan untuk terus mengeksploitasikan prinsip ini demi memenuhi cita- cita yang sempit dan bertentangan dengan semangat perlembagaan negara.

Oleh sebab itu, kelompok-kelompok yang sedang ghairah untuk berdemonstrasi, termasuk segelintir pelajar IPTA, perlu membaca serta mentakrifkan Deklarasi Hak-Hak Manusia Sejagat 1948 bersama-sama dengan the International Covenent on Economic, Social and Cultural Rights 1969.

Dengan cara ini pasti mereka faham dan insaf akan maksud hak-hak asasi dan kebebasan yang sebenar-benarnya, terutama sekali dalam konteks negara Dunia Ketiga seperti Malaysia.

Mengenai kebebasan bersuara, Sheikh Showkat (199:24) pula menyatakan, Islam memang memberikan kebebasan pemikiran dan bersuara kepada seluruh umat manusia. Tetapi, kebebasan ini perlulah digunakan untuk menegakkan kemuliaan dan kebenaran, bukannya untuk spreading evil or wickedness.

Groves (1979:28) pula menegaskan, antara kebebasan asasi yang mutlak adalah kebebasan daripada perhambaan, perlindungan daripada undang-undang jenayah kuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang, larangan buang negeri, dan kebebasan individu untuk menganuti dan mengamalkan agamanya. Ini bermakna lain-lain kebebasan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah tertakluk kepada tindakan memelihara keselamatan nasional, menjamin ketenteraman awam dan juga menjunjung prinsip moral yang murni.

Oleh sebab itulah kebebasan bersuara, bergerak dan berpersatuan di Malaysia adalah dibatasi oleh sekatan-sekatan yang membabitkan prinsip moral, ketenteraman awam, dan keselamatan negara.

Seluruh huraian di atas - melainkan dari perspektif Islam, walaupun perspektif ini disifatkan sebagai sumber utama kepada prinsip hak-hak asasi manusia dan konsep kebebasan dan kesamarataan ciptaan Barat - adalah serupa dengan huraikan di dalam Universal Declaration of Human Rights PBB.

Paling penting sekali, dokumen ini juga menghuraikan soal batas dan sekatan kebebasan dalam Perkara 29(2) - "in the exercise of his rights and freedoms, everyone shall be subject only to such limitations as are determined by law solely for the purpose of securing due recognition and respect for the rights and freedoms of others and of meeting the just requirements of morality, public order and the general welfare in a democratic society."

Oleh sebab itu, jangan kita terpengaruh dengan tafsiran prinsip hak asasi manusia yang dipropaganda dan diselewengkan oleh AS kerana ia dilakukan dengan niat menghuru-harakan umat manusia yang jahil mengenai prinsip ini yang sebenar-benarnya.

Kesimpulannya, rakyat Malaysia yang menjuarai prinsip hak-hak asasi manusia dan konsep kebebasan ala-Amerika mesti faham dan insaf bahawa seluruh prinsip dan konsep ini adalah dibatasi oleh prinsip moral, prinsip hormat menghormati antara sesama insan, dan prinsip ketenteraman awam serta keselamatan nasional.

Di mana bumi di pijak, di situlah langit dijunjung. Jangan sebab nila setitik, kita binasakan susu sebelangan. Allah mengurniakan kita dengan pemikiran untuk membezakan yang mungkar dan yang makruf. Lantas jadikanlah tindakan kita sebagai hasil pemikiran yang waras dan bijaksana.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:00
Zohor 1:22
Asar 4:25
Maghrib 7:25
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.