saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 12/01/2012

GMM mampu mengekang negara ekstrem

STRATEGI pertahanan yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama minggu lalu menarik perhatian dunia kerana penekanan diberikan kepada rantau Asia Pasifik yang selama ini bagaikan diabaikan oleh pentadbiran White House. Pengumuman Obama yang dibuat di Pentagon dan dikelilingi oleh pegawai tertinggi tentera AS seolah-olah cuba memberi isyarat bahawa pendekatan baru ini bakal membawa implikasi yang besar.

Beijing telah memberi reaksi awal dengan membuat tuduhan bahawa strategi tersebut sebenarnya ditujukan kepada mereka. Walaupun tidak dinyatakan secara tersurat, memang sukar untuk menafikan pendekatan pertahanan baru AS sebenarnya adalah untuk mengekang kebangkitan China supaya pengaruh AS di rantau ini yang selama ini tidak mempunyai persaingan dapat dikekalkan.

Tetapi apa yang lebih membimbangkan mengenai pengumuman Obama adalah bukan kerana isu pertembungan AS-China, tetapi mengenai laporan yang diletakkan di bawah tajuk “Cabaran Persekitaran Keselamatan Global”.

Jikalau Obama cuba mempamerkan bahawa strategi pertahanan beliau jauh berbeza dengan apa yang telah diamalkan oleh bekas Presiden George W. Bush, tetapi nampak gayanya kaedah Obama menangani masalah keganasan global tidak jauh bezanya daripada apa yang pernah dilaksanakan oleh Bush.

Jika Bush menggunakan alasan menghapuskan aktiviti pengganas dengan menyerang dan menakluk Afghanistan dan Iraq, Obama pula mengisytiharkan tidak akan menggunakan bala tentera secara besar-besaran tetapi sebaliknya menggunakan teknologi seperti pesawat pengebom tanpa pemandu (drone) atau menghantar tentera khas untuk menghapuskan pengganas yang disasarkan.

Malah Obama telah menggunakan peristiwa kejayaan tentera khas AS memburu dan membunuh Osama Bin Laden pada tahun lepas di dalam wilayah Pakistan sebagai contoh bagaimana berkesannya strategi tersebut.

Lebih membimbangkan strategi pertahanan baru tersebut memberi penekanan bahawa wilayah yang gagal ditadbir oleh sesebuah negara akan diberi penekanan oleh AS supaya aktiviti keganasan dapat dibendung. Kenyataan tersebut seolah-olah cuba memberi dalil bahawa pencerobohan tentera khas AS untuk membunuh Osama di dalam wilayah berdaulat Pakistan adalah sah dan akan diteruskan pada masa hadapan.

Lebih menggerunkan lagi, AS akan memburu dan menghapuskan pengganas yang telah dikenal pasti mampu mengancam keselamatan dunia tidak kira di mana mereka berada kerana pada tafsiran Washington, pengganas tersebut berada dalam wilayah yang tidak ditadbir.

Memang benar strategi Obama memburu pengganas tidak jauh bezanya dengan amalan Bush kerana Jabatan Negara AS ketika era beliau telah memperincikan cara menangani ancaman pengganas antarabangsa. Laporan tersebut yang merangkumi pelaksanaan tahun 2007-2012 bagaimanapun hanya memberi penekanan latihan dan bantuan ketenteraan kepada negara yang terbabit.

Saranan yang digariskan oleh Jabatan Negara tidak membabitkan secara langsung penglibatan tentera AS tetapi nampak gayanya Obama telah melangkah setapak ke hadapan dengan pambabitan secara langsung tanpa menghirau kedaulatan sesebuah negara.

Masalah yang bakal timbul adalah tiada kekangan bagi AS untuk melabelkan satu kumpulan sebagai pengganas mengikut penakrifan dan cita rasa tersendiri. AS boleh menghantar drone untuk menghapuskan pejuang Hamas di Genting Gaza, Palestin atau pejuang Uighur di wilayah Xinjiang China jika mengikut tafsiran strategi pertahanan baru Washington. Begitu juga AS mempunyai sebab untuk menghantar tentera khas sebagai usaha menghapuskan pejuang Chechen di wilayah Rusia.

Agak mustahil AS mengambil pendekatan untuk menghapuskan pejuang Uighur atau Chechen kerana tidak wujud kepentingan untuk Washington. Tetapi bukan menjadi perkara luar biasa jika AS mengambil langkah sebaliknya bila berhadapan dengan pejuang Hamas.

Dalam hal ini perlu ada tekanan global untuk mengekang AS daripada sewenang-wenangnya membuat tafsiran sasaran pengganas yang boleh dihapuskan. Perlu ada kekangan supaya AS tidak boleh menceroboh negara lain tanpa mempedulikan kedaulatan negara tersebut.

Mungkin keberatan AS memburu pejuang Uighur atau Chechen kerana jika dilaksanakan maka wilayah China dan Rusia akan diceroboh. Tetapi sebaliknya tidak keberatan AS menceroboh kedaulatan negara Palestin kerana negara tersebut begitu lemah sekali.

Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tahun lalu merupakan landasan terbaik untuk dunia menyekat strategi ekstrem dan berat sebelah seperti yang terkandung dalam strategi pertahanan baru AS.

Najib menegaskan bahawa dunia telah membenarkan suara-suara sumbang golongan serpihan menenggelamkan banyak suara rasional dan munasabah. GMM diilhamkan oleh Malaysia untuk melawan dan menyisihkan pelampau yang telah menjadikan dunia sebagai tawanan mereka melalui sifat prasangka dan berat sebelah.

Persidangan Antarabangsa GMM yang bakal diadakan di Kuala Lumpur bermula 17 Januari ini merupakan asas penting untuk melonjakkan GMM sebagai gerakan yang boleh diharapkan. Asas pendekatan GMM iaitu kesederhanaan dalam sudut politik, ekonomi, sosial dan pendidikan akan diberi penekanan dalam persidangan tersebut.

Menarik jika diperhatikan beberapa sesi khas seperti perbincangan mengenai hubungan AS dengan dunia Islam dan juga tanggungjawab kuasa besar diberi perhatian khusus untuk memperkasakan GMM. Sememangnya jika bercakap mengenai dunia Islam dan kuasa besar, AS tidak boleh dipisahkan atau disisihkan.

Keadaan menjadi lebih mencabar dengan adanya strategi pertahanan baru AS kerana implikasinya adalah begitu lebar dan dalam, terutama sekali kepada negara yang dianggap lemah dan tidak mempunyai kekuatan dari segi ekonomi, politik atau ketenteraan. Dalam senario sebeginilah kehadiran GMM amat dinantikan.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut

GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu

Majlis Profesor Negara

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:10
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.