saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 15/01/2012

Syarat ayah, senangkan Eizlan




BENARLAH kata pepatah Melayu, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah dengan perjalanan hidup pelakon dan ahli perniagaan, Datuk Eizlan Yusof, 41 tahun.

Siapa sangka, Eizlan yang bermula sebagai pelakon pembantu dalam filem Kad Cinta arahan Julie Dahlan dan diterbitkan oleh JD Production pada tahun 1994, kini berjaya sebagai tauke arang batu!

“Bagi saya semua yang diterima ini adalah anugerah daripada Allah SWT. Rezeki isteri dan anak-anak,” kata Eizlan sewaktu ditemui di sebuah hotel di pinggir kota Jumaat lalu.

Sebagai seorang artis, kejayaan Eizlan dalam bidang perniagaan memang membanggakan namun dia tidak dapat lari daripada pandangan skeptikal masyarakat terhadapnya.

Betapa tidak, dalam meniti kejayaan demi kejayaan, kemampuan Eizlan yang baru-baru ini dianugerahkan bintang Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang ke-81, dalam bidang perniagaan diragukan.

Mungkin bagi para peminat drama dan filem tempatan, Eizlan hanya dikenali sebagai pelakon tanpa latarbelakang pelajaran yang membanggakan.

Namun bagi mereka yang mengenali ayah kepada Vie Zaara, 4, Zareef Yusof, 2, dan suami kepada Vie Shantie Haroon Khan, 26, sebenarnya Eizlan mempunyai latarbelakang akademik yang boleh menjamin masa depannya.

Semuanya gara-gara syarat yang diberikan oleh ayahnya, Allahyaham Md. Yusof Abdullah apabila Eizlan mahu menceburi bidang lakonan.

Menurut Eizlan, dia tidak pernah ambil peduli akan pandangan masyarakat tentang dirinya kerana baginya setiap manusia mempunyai kelebihan tersendiri.

“Waktu di bangku sekolah lagi, apabila cikgu bertanya apa cita-cita, saya tidak pernah berganjak dengan impian saya untuk menjadi bintang filem.

“Ada juga kawan-kawan yang ketawa mendengar jawapan saya, tetapi saya tidak pernah anggap itu sesuatu yang memalukan.

“Arwah ayah tahu cita-cita saya, tapi... arwah bagi syarat jika mahu menjadi pelakon saya mesti memiliki kelulusan yang tinggi dalam bidang akademik,” cerita Eizlan sambil tersenyum tatkala menyingkap nostalgia zaman remajanya.

Walaupun ketika itu, Eizlan begitu berat untuk menerima syarat Allahyarham ayahnya tetapi dia bersyukur berbekalkan pendidikan yang tinggi kini dia boleh berdiri megah sebagai seorang ahli perniagaan yang berpelajaran.

Menerima syarat arwah ayahnya, Eizlan akhirnya berjaya memilikki Diploma Kejuruteraan Elektrik (1991) dan Diploma Pengurusan Perniagaan (1994) dari Institut Teknologi Federal.

Bersandarkan diploma yang dimilikki dan selaku Pengerusi Eksekutif Blackstone Dagangan Sdn. Bhd.,Eizlan bersama rakan kongsinya, Abdul Munaf Sultan sebagai Pengarah Eksekutif, mereka berdua menjalankan perniagaan arang batu di Banjar Masin, Kalimantan sejak 2007.

“Saya amat bersyukur dengan syarat yang arwah ayah bagi. Disebabkan syarat itulah saya kini menjadi manusia yang berguna kerana dapat menjalankan tugas dan kewajipan dalam syarikat ini.

“Bukan itu sahaja, perniagaan yang dijalankan bersama rakan kongsi yang mana Blackstone merupakan anak syarikat Agate Group yang sememangnya mempunyai lombong arang baru di sana, kini semakin berkembang dan kami mampu memenuhi permintaan pelanggan,” cerita Eizlan.

Walaupun Blackstone hanya membekalkan arang batu ke China dan India dengan kapasiti antara 30,000 - 60,000 tan sebulan ia sudah cukup memberi gambaran kejayaan mereka berdua.

Menurut Eizlan, dengan syarat yang diberikan oleh arwah ayahnya, dia bukan sahaja berjaya sebagai ahli perniagaan namun syarat itu jugalah yang membantunya di zaman gawat.

“Saya masih ingat tatkala dunia seni mengalami kegawatan sekitar tahun 1997 -1999, kebanyakan artis tidak mendapat tawaran berlakon.

“Ketika itu, ramai yang membuka gerai untuk meneruskan kehidupan. Tetapi saya amat bersyukur mempunyai simpanan melalui pekerjaan di sebuah syarikat pelaburan.

“Disamping itu, pendapatan saya sebagai model komersial juga banyak membantu saya untuk meneruskan hidup saya tanpa menagih simpati daripada sesiapa,” cerita Eizlan.

Selain menjalankan perniagaan arang batu, Eizlan bersama isterinya, Vie Shantie Haroon Khan mempunyai syarikat Magna Ratus Sdn. Bhd. (menguruskan projek pembangunan dan hartanah) dan Magna Pictures Sdn. Bhd. yang akan menerbitkan filem tidak lama lagi.

Menyentuh mengenai bidang lakonan, Eizlan yang akan ke lokasi filem aksi komedi Pak Pong, tidak lama lagi berkata;

“Walaupun telah mempunyai perniagaan dan syarikat sendiri, saya tidak akan meninggalkan dunia seni.

“Bagi saya berlakon bagaikan santapan jiwa yang akan memberi ketenangan dalam kehidupan saya, apalagi bila mengingatkan perjalanan seni saya yang begitu indah dan kadangkala melucukan.”

Mungkin ramai yang tidak tahu, selain berlakon, Eizlan juga pernah bergelar penyanyi dengan album pertamanya Jatuh Hati dengan kumpulannya Impression yang dianggotai bersama Norman Hakim dan Sani Salleh (kini bergelar Datuk).

“Sayangnya album kedua kami terbitan Sony Music yang telah dirakamkan sepi tanpa khabar berita,” kata Eizlan yang mula muncul dalam iklan minuman hasil usaha Allahyarham Yasmin Ahmad.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.