saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 24/01/2012

Revolusi muzik Monoloque




PEMUZIK ini mengakui untuk merevolusikan muziknya selepas kumpulan Butterfingers mengucapkan selamat tinggal kepada industri seni tempatan bukan satu perkara mudah.

Lebih-lebih lagi selepas 15 tahun bersama kumpulan itu, tentu sahaja muzik yang dibawakan oleh Butterfingers telah cukup sebati di telinga penggemar mereka.

Justeru apabila salah seorang pengasas dan anggota kumpulan itu, Loque memulakan revolusi terhadap muziknya, dia dengan penuh terbuka menerima segala kritikan dan pandangan yang diberikan.

Jauh sekali untuk melenting atau tersinggung, kata Loque, setidak-tidaknya muzik baru yang dicetuskannya itu mendapat perhatian pencinta muzik tempatan.

"Apabila saya menubuhkan Monoloque, ramai yang sukar menerimanya terutama peminat tegar Butterfingers. Macam-macam pandangan dilemparkan kepada saya seolah-olah saya mahu mengubah hala tuju Butterfingers.

"Bagi saya, Butterfingers adalah satu sejarah yang tidak boleh dipadam dan ia akan kekal di situ. Butterfingers tidak akan menjadi satu entiti yang sama seandainya perjuangan diteruskan tanpa anggota asalnya terutama Emmet yang kini menetap di Kanada.

"Lalu saya menubuhkan kumpulan baru ini yang tampil dengan muzik yang lebih segar dengan suntikan elemen nusantara.

"Alhamdulillah, saya bersyukur di sebalik kritikan negatif yang saya terima, saya sudah mampu mengumpul peminat baru di samping peminat yang sedia ada. Bagi saya, itu satu petanda positif untuk Monoloque," cerita Loque dalam nada optimis dalam satu pertemuan di Kota Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Loque selaku ketua kumpulan Monoloque yang membawa maksud menolak dalam sebutan dialek Kelantan itu turut dianggotai Ijoo 'Gagak Hitam', Dax, Loko dan Apex.

Menyambung bicara, Loque yang suka bereksperimen dengan muzik menjelaskan, hala tuju muziknya menerusi Monoloque sebenarnya tidak jauh berbeza. Tetapi sebagai karyawan, dia mahu meneroka muzik baru yang dapat meletakkan kumpulan itu pada landasan tersendiri.

Untuk itu katanya, dia cukup menitik beratkan elemen muzik Melayu dan nusantara bagi disuntik dalam setiap karya yang dihasilkan.

Perubahan

Jujurnya jelas Loque, ia bermula sewaktu dia menuntut di Kolej Muzik Berklee, Boston, Amerika Syarikat (AS) dalam pengkhususan komposisi dan sintesis dari tahun 2006 hingga 2009.

Sepanjang tempoh itu, dia mula membuka mata dan mindanya terhadap muzik Melayu yang selama ini bagaikan dipinggirkan dek penjajahan muzik dari Barat.

"Berada di Boston ketika itu membuatkan saya sedar bahawa muzik Melayu sebenarnya kaya dengan keunikan tersendiri. Lalu, ia membuatkan saya terfikir mengapa tidak saya perjuangkan muzik asal-usul saya.

"Ketika itu jugalah, saya menonton kembali filem-filem Melayu klasik lakonan dan arahan Allahyarham P. Ramlee serta lagu-lagu nyanyian beliau serta Allahyarham R. Azmi dan Allahyarham Normadiah.

"Dalam konteks ini, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana Dia telah memberi peluang kedua dan menyedarkan saya untuk terus memperjuangkan serta mengangkat muzik Melayu di kedudukan yang sewajarnya," ujar pemilik nama penuh Khairil Ridzwan Annuar itu.

Selama lebih kurang enam tahun Loque mencari arah tuju muziknya bersama Monoloque dan akhirnya memperoleh seperti yang dimahukan.

Hasilnya dapat didengar menerusi album perdana mereka, Hikayat Halimunan Abad Ke-21: Jejak Tanah yang kini sudah berada di pasaran.

Positif

Diterbitkan oleh Penerbitan Pancasona milik Loque sendiri, ternyata pemuzik berusia 34 tahun itu melahirkan gembira apabila album pertama daripada tiga siri Hikayat Halimunan Abad Ke-21 itu mendapat sambutan menggalakkan.

Dalam masa yang sama, Loque tidak menolak kemungkinan sambutan positif terhadap album Jejak Tanah adalah daripada strategi pemasaran secara maya yang diusahakan sendiri olehnya.

Sebagai seorang yang boleh dianggap senior dalam dunia seni, Loque mengakui teknologi hari ini dan laman sosial memainkan peranan penting untuk seseorang artis memasarkan diri mereka kepada khalayak.

"Jejak Tanah merupakan salam perkenalan Monoloque kepada peminat muzik tempatan bahawa inilah muzik yang akan diperjuangkan oleh kami dalam album dan karya seterusnya.

"Apa yang membanggakan saya apabila Jejak Tanah telah terjual lebih 2,000 salinan dan terus mendapat permintaan tinggi sehingga diulang cetak untuk kali kedua.

"Ini satu permulaan yang baik buat Monoloque sekali gus membuktikan percaturan saya untuk melakukan perubahan dalam muzik saya selepas era Butterfingers berjaya.

"Sebelum ini ada yang tidak mengenali saya tetapi selepas saya muncul kembali dengan perjuangan yang baru ini, nampaknya ia berhasil. Bukan hanya mengumpul peminat baru tetapi masih dapat mengekalkan peminat sedia ada," kata Loque tentang album yang memuatkan lapan buah lagu itu.

Kualiti

Bukan hanya muzik jelas Loque, tetapi dia juga amat mementingkan kualiti penulisan lirik yang mempunyai maksud tersirat biarpun kedengaran ringkas.

Lagu-lagu yang ditampilkan dalam album Jejak Tanah ialah Kupu-Kupu Malam (Bunyikan Semboyan), Kekanda Adinda, Cinta dan Gurindam Hutan Batu.

Selebihnya termasuklah Tiada Kata Secantik Bahasa, Hapuskan Air @ Matamu, Batu Belah Batu Konkrit (Bonda) dan Penghormatan Terakhir.

Menariknya tentang album ini juga apabila Loque berjaya memujuk penyanyi pop terkenal era 80-an, Azlina Aziz untuk berduet dengannya menerusi lagi Batu Belah Batu Konkrit.

"Memang bukan mudah untuk memujuk Azlina. Pelbagai alasan yang diberikan terutama apabila saya memintanya untuk menyanyikan lagu itu dalam lenggok nyanyian seperti arwah ibunya.

"Dia bertanyakan kepada saya rasionalnya dia perlu berbuat demikian. Saya memberikan lirik dan lagu itu kepadanya agar dia dapat memahami keseluruhan jalan cerita itu.

"Akhirnya dia faham dan Azlina telah memberikan sepenuh jiwanya untuk lagu itu sehinggakan emosinya terusik sewaktu rakaman dan semuanya itu dapat didengar dalam lagu itu," ujarnya yang tidak menolak kemungkinan untuk berduet dengan artis wanita lain dalam siri album Hikayat Halimunan Abad Ke-21 seterusnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.