saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 25/01/2012

Keselamatan dan pilihan raya

TUGAS utama sesebuah kerajaan adalah menguruskan keselamatan nasional, kesejahteraan rakyat, kemakmuran ekonomi serta kelangsungan negara supaya negara berkenaan sentiasa kukuh dan tidak boleh didominasikan oleh kuasa-kuasa asing.

Namun perilaku siasah alternatif Malaysia mutakhir ini adalah dicirikan oleh pelbagai amalan negatif secara meluas, terutamanya menerusi kemudahan teknologi digital merangkumi segelintir portal berita, blog, facebook dan twitter, tanpa mengambil kira impaknya terhadap kesejahteraan masyarakat dan keselamatan nasional.

Amalan negatif ini bukan hanya dilakukan oleh pendukung siasah alternatif peringkat bawahan, malah membabitkan segelintir kepimpinan tertinggi parti-parti terbabit, termasuk golongan individu yang beraspirasi untuk menerajui kepimpinan tertinggi Malaysia.

Ironisnya, perkembangan ini turut didukung dan dihalalkan oleh kumpulan siasah alternatif yang mendakwa sebagai berpaksikan Islam dan segolongan individu yang menonjolkan imej tokoh Islam antarabangsa.

Persoalannya, layakkah segelintir individu siasah berperilaku songsang ini disokong untuk menerajui kepimpinan tertinggi Malaysia dan berwibawakah kelompok siasah negatif ini menggantikan Barisan Nasional (BN) menerusi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Persoalan ini strategik dan perlu dijadikan faktor asas dan utama kepada para pengundi tanah air supaya kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin, ketenteraman awam terus terpelihara, keselamatan nasional sentiasa diutamakan dan kelangsungan negara tetap dititikberatkan oleh pemerintahan Malaysia.

Hakikatnya demikian kerana pemerintahan negara bukannya diukur menerusi kelicikan atau kepintaran sesuatu kelompok dan individu siasah dalam menggunakan kaedah songsang bagi memperolehi kuasanya.

Pemerintahan sesebuah negara adalah berasaskan kemampuan sesuatu kelompok siasah untuk merancang dan melaksanakan program, strategi serta dasar bagi menjamin kesejahteraan rakyat, kemakmuran ekonomi dan kestabilan negara dalam konteks nasional, serantau dan sejagat.

Juga dititikberatkan adalah kemampuan kelompok siasah terbabit merancang, melaksana serta menjamin keberkesanan seluruh strategi dan dasar pemeliharaan keselamatan nasional, keselamatan tradisional serta keselamatan bukan tradisional, termasuk keselamatan insan manusia.

Oleh kerana inilah pra-syarat penting untuk sesuatu kelompok siasah memerintah sesebuah negara, maka adalah paradoksikal jika kelompok-kelompok siasah yang bercita-cita untuk menggantikan kekuasaan BN mutakhir ini adalah seolah-olah tidak mempedulikan langsung aspek keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat jelata.

Jika mereka mendakwa sebagai bertanggungjawab terhadap keselamatan nasional dan kesejahteraan rakyat, para pengundi Malaysia perlu mengaudit segala perilaku mereka kebelakangan ini.

Kaji semula perilaku mereka menerusi Bersih Julai 2011, teliti tindak-tanduk mereka berhampiran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012, halusi rancangan mereka untuk sekali lagi menggunakan gerakan jalanan bagi menggugat ketenteraman awam dan kemantapan politik Malaysia, dan dalami seluruh kenyataan mereka mengenai kesongsangan budaya hidup yang mencanggahi Islam dan amalan masyarakat timur.

Kajian serius terhadap seluruh perkembangan ini pasti mendorong pihak yang waras dan rasional merumuskan bahawa segala-galanya tidak membawa manfaat kepada majoriti rakyat dan tidak menepati nilai-nilai teras nasional seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Rukunegara, Wawasan 2020 dan Konsep 1Malaysia.

Ini bermaksud bahawa sokongan kepada individu serta kelompok siasah terbabit adalah merugikan semua pihak dan mungkin memudaratkan kelangsungan negara di hari muka.

Lebih spesifik lagi, seluruh aspek keselamatan nasional, kesejahteraan rakyat dan kelangsungan negara yang diperjuangkan sejak 1957 hingga sekarang pasti akan terjejas dan Malaysia boleh bertukar statusnya daripada negara progresif dan makmur kepada negara gagal dan mundur.

Jika ini jadi kenyataan, aspek kelangsungan negara dan rakyat seperti dihuraikan oleh Buzan et al. (1998) akan berantakan, aspek pencegahan dominasi asing seperti ditegaskan oleh Buzan (1989) akan terjejas, aspek keharmonian rakyat majmuk seperti ditegaskan oleh Azar & Moon (1998) akan terancam, dan aspek kemerdekaan serta kedaulatan negara seperti dihuraikan oleh Al-Mashat (1985) akan tergadai.

Buzan et al. (1998:21) menegaskan bahawa keselamatan, dari perspektif ketenteraan dan politiknya, adalah mengenai survival yang secara tradisinya membabitkan negara, pemerintahan dan rakyat jelatanya.

Buzan (1989:1-28) yang mengkaji keselamatan negara di Asia Tenggara pula merumuskan, konsep keselamatan negara di negara-negara membangun perlu digunakan untuk mencapai dua matlamat utama, iaitu mewujudkan negara yang kuat dan mengurangkan persaingan dan konflik serantau, bagi mengelakkan dominasi kuasa asing.

Azar & Moon (1988:281-282) yang mengkaji kelangsungan organik rakyat jelata dan pertelingkahan etnik pula mendapati bahawa elemen perkauman adalah faktor yang membahayakan negara-negara membangun.

Al-Mashat (1985:19) pula menyatakan bahawa strategi dan dasar keselamatan serta pengurusan di Dunia Ketiga wajar mengambil kira nilai-nilai abstrak mengekalkan kemerdekaan serta kedaulatan negara, serta menjamin pemuliharaan dan pengaliran sumber-sumber ekonomi dan ketenteraan yang penting kepada sesebuah negara.

Kesemua huraian ini adalah antara manifestasi kepada pentingnya sesebuah kerajaan bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan serta pengurusan keselamatannya, mengelakkan dominasi asing dan menjamin kebajikan rakyatnya.

Lantas mampukah mana-mana individu atau kelompok siasah di Malaysia yang kini aktif berasaskan perilaku negatif sehingga mengenepikan ketenteraman awam, keselamatan nasional, kesejahteraan rakyat, kemakmuran ekonomi dan kelangsungan negara, melaksanakan tanggungjawab memelihara keselamatan seperti dihuraikan di atas?

Maka, oleh kerana keselamatan adalah konsep yang berpaksikan politik, tindak-tanduk kumpulan siasah Malaysia yang bersungguh-sungguh mahu menggantikan pemerintahan BN menerusi PRU13 juga mesti dikaji menerusi aspek kemampuan mereka di bidang pemeliharaan dan pengekalan keselamatan negara.

Rumusannya, politik adalah perkara yang serius, keselamatan negara dan keselamatan insan adalah perkara yang serius, dan usaha menentukan pemerintahan Malaysia bagi mengekalkan keamanan, kemakmuran, keselamatan, dan kelangsungan bersama juga adalah proses yang serius.

Oleh sebab itu, semua pihak adalah dituntut bersikap serius dalam melaksanakan tanggungjawab demokratik masing-masing menerusi PRU13 supaya pemerintahan Malaysia terus dikendalikan oleh BN yang sentiasa serius terhadap rakyat dan survival negara.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:22
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.