saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 06/02/2012

Azura ikon wanita Melayu


TERAJU utama filem Azura, Shahrizal Jaszle dan Neelofa sebagai Zek dan Azura.


PENGARAH terkenal ini mempunyai alasan tersendiri mengapakah filem Azura terbitan Sabah Film Production pada tahun 1984 yang dipilih untuk dijadikan versi baru.

Kata Aziz M. Osman, dia cukup tertarik dengan ketabahan dan kecekalan watak Azura itu sehingga layak diangkat sebagai ikon.

Semuanya itu timbul sewaktu Aziz yang sering menonton siri televisyen dan filem Barat bersama anak-anaknya seperti That’s So Raven sehingga mereka begitu tertarik dengan watak utamanya dan menjadikan karakter itu sebagai idola.

“Lantas ia membuatkan saya terfikir mengapa tidak saya membikin sebuah filem yang memaparkan watak wanita yang melambangkan kekuatan semangat serta jati dirinya.

“Lalu, idea itu timbul untuk mengadaptasi filem Azura dan dijadikan versi baru dalam acuan saya sendiri. Lebih wajar rasanya untuk saya menghasilkan sebuah filem baru daripada mengulang cerita asalnya.

“Ingin juga saya tegaskan di sini bahawa filem Azura arahan saya ini bukanlah sebuah filem remake (pembikinan semula).

“Sebaliknya, saya mengambil inspirasi filem itu lalu dijadikan versi saya. Saya sangat berharap peminat tegar filem Azura dan pencinta filem sekalian tidak akan membuat perbandingan secara menyeluruh,” kata Aziz sewaktu ditemui pada sidang akhbar usai malam gala filem Azura di GSC One Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir ke majlis itu adalah barisan pelakon filem tersebut iaitu Neelofa sebagai Azura, Shahrizal Jaszle (Zek), Afdlin Shauki (Tan Sri Putih), Nini Marlini (Wanda) dan Afida Es (Nek Wan).

Mungkin kedengaran agak tinggi cita-cita Aziz untuk menjadikan karakter Azura versi baru ini sebagai ikon wanita Melayu.

Namun, sebagai karyawan seni yang sudah lebih empat dekad berkecimpung dalam dunia perfileman, sudah pasti Aziz mempunyai rasionalnya sendiri.

Jelasnya, watak Azura ciptaan baru ini memiliki kekuatan dalam diri untuk meneruskan kehidupan meskipun berhadapan dengan pelbagai rintangan dalam cita-citanya.

Malah, kejujuran dan kesetiaan dalam perhubungan selain menjaga batas-batas agama membuktikan bahawa Azura masih mampu menjadi seorang gadis konvensional, biarpun hidup dalam dunia moden.

“Saya mahu memberi definisi baru terhadap wanita moden hari ini dan semuanya itu dapat ditonton menerusi karakter Azura dalam filem ini.

“Begitu juga sewaktu Azura sudah berkahwin dengan Zek, dia tetap meletakkan suaminya di hadapan dan berharap serta yakin Zek mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik walaupun Azura mampu berdikari.

“Sehinggakan karakter Azura sewaktu menangis juga saya tidak tonjolkan ketika dia berhadapan dengan konflik bersama Tan Sri Putih mahupun Wanda. Sebaliknya, Azura menangis untuk melepaskan tekanan hanya ketika dia keseorangan.

“Semuanya adalah kerana mahu membuktikan bahawa Azura sebenarnya seorang yang kuat dan tabah tanpa perlu meminta simpati daripada sesiapa. Dalam erti kata lain, Azura versi baru ini mempunyai prinsip dan ketegasan dalam setiap keputusannya,” jelas pemilik trofi Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-15 (2001) menerusi filem Leftenan Adnan ini.

Menyedari akan permasalahan yang dihadapi oleh generasi muda hari ini dalam institusi perkahwinan, soal itu turut menjadi salah satu sub plot filem ini yang tidak mustahil mampu memberi kesedaran kepada penonton.

Jika Azura versi asal kisah utamanya memaparkan tentang hubungan cinta sepasang kekasih yang dihalang kerana perbezaan darjat, untuk versi baru ini, paparannya sedikit berbeza.

Dari kaca mata Aziz dan barangkali untuk sesetengah penonton, dalam dunia serba moden ini, tunjang utama kepada kemajuan hidup seseorang itu adalah dengan pelajaran, selain usaha dan kerja keras.

Apatah lagi, isu perkahwinan adalah perkara yang cukup serius dan menjadi satu cabaran buat generasi muda hari ini seandainya mereka belum benar-benar bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

Semua itu merupakan sebahagian daripada mesej yang ditonjolkan secara terus dalam filem Azura yang menelan belanja RM1.8 juta ini.

Bagaimanapun, sesuatu yang dilihat ‘kurang menarik’ dalam filem ini apabila emosi dan percintaan antara Zek dan Azura bagaikan tidak kesampaian ke jiwa penonton.

Sedang enak penonton dibuai dengan emosi, perasaan itu bagaikan direntap sebelum dihidangkan dengan adegan seterusnya.

Menjawab persoalan itu, Aziz memberitahu perkara itu adalah subjektif dan penilaian serta cita rasa penonton sangat berbeza.

“Saya tidak mahu memaparkan adegan yang meleret-leret sehingga menjadikan jalan cerita menjadi perlahan dan membosankan.

“Menerusi filem ini, saya selesa menonjolkan kisah kehidupan seharian mereka dan tidak mahu menampakkan setiap situasi itu dibuat-buat.

“Jadi, kalau ada yang suka dengan cara saya itu, saya menerimanya dengan senang hati. Begitu juga sebaliknya kerana memang sukar untuk memuaskan hati semua pihak,” jelas Aziz yang kembali mengarahkan filem selepas lebih lima tahun tidak berbuat demikian.

Aziz yang juga terkenal dengan filem-filem hebat seperti Femina, Fenomena dan XX Ray turut ditanya tentang pemilihan Neelofa yang membawa watak Azura.

Sambil tersenyum, Aziz dengan penuh jujur menjawab Neelofa mempunyai pesona tersendiri dan kelihatan sungguh cantik di dalam seluloid.

“Ketika dia menerima tawaran saya itu, dia belum menang lagi pertandingan Dewi Remaja. Bagi saya, Neelofa mempunyai faktor-x yang membuatkan saya yakin dengannya untuk menjadi Azura.

“Benar, dia masih baru ketika itu dan apa yang membanggakan saya dia mampu membawakan karakter Azura ini dengan gayanya tersendiri.

“Malah, dia sendiri tidak pernah tonton filem Azura yang asal dan kalau boleh, saya sendiri tidak mahu dia menontonnya kerana enggan membiarkannya terikut-ikut dengan gaya lakonan Fauziah Ahmad Daud.

“Bahkan, Afdlin yang ketika itu berlakon dengannya juga mengakui akan keberkesanan lakonan Neelofa, walhal Afdlin tidak mengenalinya ketika itu,” jelas Aziz yang disapa sebagai Abang Long oleh penggiat industri seni tempatan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.