saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 13/02/2012

Haji: Kelonggaran melangkaui giliran masih perlu diberi perhatian

MINGGU lalu, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengumumkan bonus sebanyak enam peratus bagi tahun 2011, peningkatan 0.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ia melibatkan pembayaran RM1.67 bilion, meningkat 25 peratus berbanding RM1.33 bilion pada tahun 2010.

Kadar bonus itu dianggap kompetitif memandangkan pelaburan Tabung Haji (TH) terhad kepada pelaburan berlandaskan syariah sahaja. Dan ia juga lebih baik berbanding kadar pulangan akaun deposit tetap perbankan Islam.

Dana pendeposit terkumpul TH turut meningkat pada kadar 17 peratus tahun lepas kepada RM31.7 bilion berbanding RM27.11 bilion pada 2010. Zakat perniagaan yang dikeluarkan pula sebanyak RM44 juta berbanding RM41 juta pada 2010. Tahniah kepada seluruh warga kerja TH yang telah bekerja keras ke arah kejayaan institusi itu.

Jelaslah, pelaburan TH bukan sahaja dapat dinikmati oleh penyimpan atau pendeposit tetapi hasilnya juga dapat dikongsi bersama dengan mereka yang kurang berkemampuan melalui zakat perniagaan.

Apa yang diharapkan TH akan terus menyumbang kepada pendeposit untuk menunaikan haji dalam keadaan selesa sekalipun terpaksa menanggung kos operasi yang meningkat. Ketika ini, TH terus memberikan subsidi kepada jemaah untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung khususnya bagi jemaah kali pertama.

Bercakap mengenai haji kali pertama, peluang untuk menunaikan haji semakin mudah apabila pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut diberi peluang mendaftar untuk menunaikan haji. Dengan caruman yang ada, pencarum tidak perlu lagi menunggu simpanan melalui TH. Tetapi ini hanya sekadar peluang mendaftar. Perjalanan sebenar ke Mekah untuk menunaikan haji masih jauh. Mungkin faktor inilah yang mendorong sesetengah orang menggunakan khidmat ‘haji ekspres’. Khidmat itu tentunya melibatkan kos tambahan lain. Bagaimana pula yang benar-benar perlu diberi ‘laluan hijau’ ini kerana faktor usia, kesihatan dan lain-lain? Kita percaya masih ada kelonggaran untuk seseorang melangkau senarai daftar tanpa perlu membayar ‘wang tambahan’. Jangan kerana ‘haji ekspres’ habis semuanya yang patut diberi kelonggaran terlepas peluang.

Seorang sahabat dari Selangor memberitahu, sejak remaja, beliau memang berhasrat untuk menunaikan haji. Apabila beliau membuka akaun pada mula-mula mendapat pekerjaan 30 tahun lalu, niat itu sudah ada. Ketika itu niatnya hanya mahu menunaikan haji, bukan untuk mendapatkan bonus simpanan. Setiap bulan beliau membuat simpanan. Tanggapannya ketika itu, apabila membuka akaun, secara automatik namanya disenarai dalam giliran sehingga jumlah simpanannya mencukupi.

Tetapi beliau silap. Sikap sambil lewanya untuk tidak mendaftar menyebabkan peluang itu hanya akan datang pada tahun 2045. Beliau kini sudah menjangkau usia 51 tahun dan baru tergerak hati untuk mendaftar. Jika dipanjangkan usia, ketika itu umurnya 84 tahun. Maka berdasarkan apa yang didengar sebelum ini mengenai jumlah mereka yang masih menunggu, beliau tidak terkejut tetapi tersenyum kecewa. Apakah usianya mampu mendekati 2045 untuk menemui ibadah itu?

‘‘Ya Allah, aku berserah kepadaMu, aku sudah berusaha untuk ke sana tetapi syarat yang ditetapkan menjadi halangan. Kemampuan kewangan ada tetapi tiada keupayaan kuota. Semoga kesihatanku mengizinkan,’’. Itu yang mampu diucapkan.

Seorang lagi sahabat dari Terengganu yang ingin menunaikan haji bagi kali kedua juga hanya menyerahkan kepada takdir.

Usianya kini 62 tahun dan giliran yang akan datang hanyalah 33 tahun dari sekarang, sama dengan sahabat dari Selangor tadi. Ketika itu usianya 95 tahun.

‘‘Kalau diikutkan tarikh tu, kalau ada nisan di atas kubur rasanya nisan tu reput dulu atau hilang begitu sahaja tetapi giliran untuk tunaikan haji masih jauh,’’. Begitulah rintihan mereka yang ingin menunaikan haji. Apa boleh buat. Kuota yang ada hanya sekitar 27,000 orang setahun sedangkan yang menunggu giliran berlipat kali ganda. Cuba bayangkan jika separuh daripada kira-kira tujuh juta pendeposit mahu ke Mekah.

Dengan gaya hidup sekarang serta kedudukan ekonomi yang baik, semakin ramai yang mahu segera menunaikan haji. Jika dulu ada yang terpaksa menjual tanah untuk ke sana, kini keadaan itu sudah berubah. Banyak sumber yang boleh digunakan untuk mencukupkan jumlah simpanan. Hari ini, orang boleh membuka akaun di TH dengan membuat simpanan pertama yang mampu melebihi jumlah sebagai syarat layak mendaftar malahan ada yang mampu mencukupkan jumlah perbelanjaan untuk menunaikan haji pada tahun yang sama.

Dalam hal ini, apakah harapan yang dapat diberikan kepada mereka yang sudah lama menyimpan sedikit demi sedikit tetapi tidak mendaftar lebih awal?

Mungkin pada masa depan, TH boleh mendaftar secara automatik apabila seseorang itu sudah genap jumlah yang melayakkan dirinya untuk mendaftar. Soal sama ada pendeposit berkenaan mahu menunaikan haji atau tidak terpulanglah. TH boleh membuat tawaran kepada pendeposit berkenaan. Apa yang penting, pendeposit berkenaan tidak menyesal kemudian hari disebabkan kelewatan mendaftar.

Dalam hal ini juga, tidak wajar mana-mana pihak termasuk TH menyalahkah kuota semata-mata. Jika berserah kepada kuota, mungkin ramai yang akan berputih mata.

Jika satu sistem yang ada tidak mampu mengatasi masalah ini, maka carilah alternatif lain yang boleh diterima ramai.

Pertimbangan perlu diberi terhadap pendeposit yang begitu setia menyimpan sedikit demi sedikit terutama mereka di luar bandar atau yang membuat potongan gaji sejak pada usia muda.

Mungkin di TH, terdapat dua kategori penyimpan. Pertama yang menyimpan dengan niat untuk menunaikan haji dan kedua untuk mendapatkan ‘pulangan yang bersih’ berbanding institusi kewangan yang lain.

Faktor usia dan kesihatan juga perlu diberi perhatian. Pertimbangan ini juga rasanya sudah dilakukan oleh TH di samping faktor lain. Jika seseorang pendeposit sudah menjangkau usia 50 tahun eloklah diberi peluang dalam tempoh lima tahun berikutnya supaya pendeposit berkenaan berpeluang menunaikan haji dalam tempoh beliau masih bekerja dan ‘sihat’.

Akhirnya kepada yang menunggu giliran bersabarlah. Ini ibarat senarai yang ditetapkan Allah. Kepada TH berusahalah untuk menjadikan setiap pendeposit dapat menunaikan ibadah dengan seikhlasnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:39
Zohor 1:14
Asar 4:38
Maghrib 7:22
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.