saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 25/02/2012

Dakwah itu berita gembira


SEPANJANG dua dekad dalam dunia seni, Dakmie menyifatkan dirinya sebagai seorang yang bertuah kerana dapat bekerjasama dengan ramai penggiat seni nasyid.


SEMUANYA bermula apabila dia diberi peluang oleh komposer dan penerbit album terkenal, Farihin Abdul Fatah untuk melibatkan diri dalam penerbitan album kedua kumpulan Raihan, Syukur pada 1997.

Ketika itu dia sendiri tidak menyangka akan mendapat peluang itu dan kata Dakmie, bermula detik itu kehidupannya berubah.

Jika sebelum ini, genre rock menjadi makanan rujinya dalam meluahkan perasaan, entah bagaimana hatinya mula beralih angin.

“Dalam tempoh itu, pada satu ketika sedang saya duduk menghadap komputer untuk menghasilkan lagu, secara tiba-tiba timbul perasaan hening yang belum pernah saya rasai sebelum ini.

“Saya termenung seketika dan hati mula berkata-kata, apakah yang aku lakukan di dunia ini? Lantaran itu, saya mula sedar dan mula memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk jalan seterusnya.

“Alhamdulillah, penghijrahan itu telah menjadikan saya seperti mana hari ini,” kata Dakmie atau nama sebenarnya, Azmee Abdul Manap sewaktu ditemui di pejabatnya, Nasyeed.com yang terletak di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Mungkin ada yang tidak tahu, Dakmie memulakan kariernya sebagai pemuzik, komposer dan penerbit sekitar tahun 1989 dengan menubuhkan kumpulan East.

Namun jodohnya bersama kumpulan itu tidak panjang. selepas itu, dia mencari pengalaman dengan bekerja dengan beberapa komposer terkenal seperti Ramlan Marzuki dan Booty bersaudara.

Malah pernah juga Dakmie menganggotai kumpulan Barongan yang memperjuangkan muzik rock tetapi mempunyai pendekatan yang menuju ke arah kerohanian, keimanan dan ketakwaan.

Tidak mahu membandingkan dirinya dengan mana-mana pihak yang telah melakukan penghijrahan, bagi Dakmie, setiap dakwah yang dilakukan itu adalah satu berita gembira yang wajar disampaikan kepada masyarakat.

“Maaf cakap, tetapi apa yang ingin saya katakan ini hanyalah membabitkan diri saya. Tetapi apabila membuat muzik rock, terfikir juga sampai bila saya mahu menyesatkan masyarakat dengan lagu sedemikian.

“Jadi perlahan-lahan saya mengubah haluan dengan berdakwah menerusi lagu-lagu kerohanian yang memiliki unsur yang mampu membawa kepada kebaikan,” kata Dakmie yang berusia 41 tahun itu lagi.

Ujar Dakmie lagi, dalam berdakwah dia lebih selesa untuk melihat kepada dirinya sendiri dalam menghasilkan lagu serta lirik.

Bukan itu sahaja, banyak aspek yang memberi inspirasi kepadanya terutama ibu bapa, keluarga, rakan-rakan mahupun orang yang berada di sekeliling selain pengalaman yang dilalui sepanjang hidupnya.

Jelas Dakmie, hanya dengan cara itu sahaja dia mampu menghasilkan karya yang begitu dekat dengan dirinya selain dapat memberikan hiburan kepada masyarakat.

“Lirik dan muzik berunsurkan kerohanian ini sebenarnya bergantung kepada interpretasi seseorang karyawan itu. Begitu juga dengan saya di mana setiap lagu yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri tertentu untuk membezakannya.

“Sebagai contoh, jika untuk menulis lirik tentang cinta kepada Allah dan Rasul pendekatannya berbeza dan begitu juga luahan kasih sayang kepada sahabat mahupun ahli keluarga.

“Prinsip saya cukup mudah iaitu sentiasa berprasangka baik dan saya menganggap semua orang itu mempunyai sifat yang baik. Ada kala mereka yang baru dikenali, jika dia baik di mata saya, tidak mustahil untuk saya menghasilkan sesuatu daripadanya,” jelasnya lagi.

Dalam konteks tersebut, Dakmie memberikan contoh bagaimana dia mengambil cerita cinta ibu bapanya untuk menghasilkan lagu Yang Terindah yang pernah menjadi lagu tema drama rantaian Adamaya lakonan Syed Hussein dan Lisa Surihani tidak berapa lama dulu.

Sebagai seorang yang cukup senior dalam bidang muzik, sudah pasti Dakmie memang layak untuk memperkatakan tentang industri muzik nasyid yang dikatakan semakin suram berbanding 15 tahun lalu.

Dalam soal ini, dia melihat pencapaian muzik nasyid berada di tahap yang membanggakan apabila muzik tersebut mampu dihasilkan di luar kebiasaan.

Mengambil contoh muzik Maher Zain yang mudah diterima dan mengembalikan semula kegemilangan muzik nasyid, Dakmie melihatnya dari sudut positif.

“Saya memetik hadis Rasulullah SAW yang mengatakan ‘didiklah anak-anak kamu mengikut zaman’ dan dalam soal ini, ia sama dengan apa yang dilakukan oleh Maher Zain.

“Jadi kalau ada penggiat nasyid yang mahu melakukan perubahan dalam muzik mereka, ia adalah sesuatu yang sangat diperlukan untuk terus menyemarakkan industri nasyid,” ujarnya yang pernah memenangi Album Nasyid Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-15 (2008) menerusi album Maulana (Rabbani).

Dalam masa yang sama, Dakmie juga menyifatkan dirinya sebagai seorang yang cukup bertuah kerana berpeluang bekerjasama dengan nama-nama besar industri nasyid tempatan seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz, Brothers, Saujana dan Nowseeheart.

Malah dia sendiri pernah bertindak sebagai penerbit album kerohanian pertama penyanyi bersuara lantang, Aishah menerusi album Anak yang diterbitkan pada tahun 2010.

Selain bergiat aktif dalam pembikinan lagu dan album, Dakmie turut menyalurkan dakwahnya menerusi lagu tema untuk beberapa filem dan drama tempatan terbitan Metrowealth International Group (MIG) antaranya Syurga Cinta, Selamat Pagi Cinta, 7 Petala Cinta, Mertua vs. Menantu dan terbaru, Assalamualaikum Cinta.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.