saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 27/02/2012

Calon boleh menang pilihan raya jika ahli-ahli parti tidak ‘buat hal’

MAHU menang atau kalah? Itu sahaja persoalan yang harus dilontarkan kepada ahli-ahli parti politik yang bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang. Jika jawapannya untuk menang, maka ada syarat-syaratnya. Begitu jugalah sebaliknya jika mahu kalah. Bagi Barisan Nasional (BN), jika benar sudah ada calon boleh menang diturunkan, maka tidak ada sebab calon berkenaan tidak boleh menang.

Kekuatan ahli parti sama ada mewakili UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan apa sahaja parti akan menjadi penyumbang kemenangan. Jika semua ahli di satu-satu kawasan sepakat mahu menyokong calon pilihan parti, maka ia tidak ada masalah.

Cuma memerlukan sokongan tambahan daripada bukan ahli, pengundi ‘atas pagar’ malahan pengundi yang menganggotai parti lawan. Sokongan pengundi di luar parti, ‘atas pagar’ malahan ahli parti lawan amat penting bagi meluaskan lagi peluang.

Pada masa yang sama tidak ada gunanya mempunyai ahli ramai tetapi mereka tidak memberi sokongan penuh kepada calon yang dipilih pada hari pengundian atau ‘lebih parah’ lagi jika mereka tidak layak mengundi kerana tidak mendaftar sebagai pengundi yang sah. (Nota: Isu ramai orang UMNO/Melayu yang tidak mendaftar sebagai pengundi bukan perkara baru yang timbul hari ini, semalam atau kelmarin, tetapi isu lama. Kenapa jadi begitu?).

Pas, DAP, PKR tidak terlalu bergantung kepada jumlah ahli di satu-satu kawasan tetapi parti ini mampu memenangi banyak kerusi pada PRU dengan majoriti besar.

Semalam, sempena ulang tahun ke-63 MCA, parti itu mengumumkan jumlah keseluruhan ahlinya kini 980,000 orang. Dalam tempoh 2008 hingga sekarang, parti itu menerima kemasukan 35,000 anggota baru dan daripada jumlah itu, 28,000 di bawah umur 45 tahun. Diharapkan, 980,000 ahli MCA ini benar-benar pengundi setia BN pada PRU akan datang. Begitu juga dengan 3.34 juta ahli UMNO, 600,000 ahli MIC dan 580,000 ahli PPP. Mereka ini bukan sahaja menjadi pengundi setia tetapi juga diharap boleh mengundi pada PRU akan datang.

Di samping menghitung jumlah ahli yang ramai, kedudukan parti perlu diperkukuhkan.

Seperti kata Presiden MCA, Dr. Chua Soi Lek semalam, MCA yang sebelum ini berada di ‘persimpangan’ kini muncul sebagai sebuah parti yang lebih bersatu dan kuat selepas mengharungi banyak krisis.

Memang benar kata Soi Lek, rakyat tidak akan sokong parti yang diselubungi masalah.

‘‘Kita perlu perbetulkan keutamaan kita supaya kita boleh bergerak antara satu sama lain dan bekerja bersama-sama untuk satu tujuan tetapi dengan mempunyai banyak matlamat’’.

Bagaimanapun kata Soi Lek: ‘‘Walaupun kini MCA telah dianggap sebagai lebih lantang dan lebih efektif dalam menyelesaikan masalah, masalah yang kita hadapi ialah bahawa rakyat mungkin tidak sedar dengan apa yang kita sedang lakukan. Mereka lebih bersikap mengkritik mengenai apa yang anda tidak lakukan atau gagal lakukan’’.

Ya...tidak dinafikan ada rakyat malahan parti pembangkang sentiasa mencari apa yang belum dilakukan untuk membolehkan mereka terus mengkritik kerajaan.

Malahan, golongan seperti ini juga sentiasa mencari silap setiap program yang dilakukan kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M), Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Pembangkang sedar semua program ini untuk rakyat yang tidak mampu dilaksanakan oleh mereka walaupun telah menabur pelbagai janji untuk memberi bantuan. Tetapi ia sekadar manifesto. Jika ada pun tidak semua yang dapat. Adalah sikit-sikit.

Akhirnya semua program yang diatur kerajaan itu menjadi sasaran kritikan. Mereka berusaha mencari ‘kekurangan’ yang ada. Malahan timbul juga suara-suara sumbang mengatakan BR1M yang memberi bantuan RM500 kepada ketua isi rumah yang terpilih sebagai rasuah. Mereka yang resah dengan program-program itu sengaja menimbulkan ‘keresahan’ di kalangan rakyat.

Namun hakikatnya, penyokong mereka tidak menolak habuan yang diberi. Mereka ‘tumpang semangkuk’. Seorang sahabat memberitahu, ada kawannya yang sanggup tukar kopiah atau ketayap putih kepada kopiah atau songkok hitam semasa mahu mengambil RM500. Kalau rasuah, pihak yang menerima harus menolaknya!

Kembali kepada PRU, dengan kekuatan ahli serta parti yang lebih kukuh serta mengurangkan perselisihan dalaman, ahli-ahli parti perlu digemblengkan untuk mencapai matlamat menang pada PRU akan datang. Namun sejauh mana masalah dalaman dapat dikurangkan menjelang PRU? Sudah menjadi lumrah, setiap kali menjelang PRU, ada saja yang tidak kena. Suara sumbang dalam parti menjadi satu perkara biasa. Begitu juga berebut mahu menjadi calon. Lebih ramai yang mengaku sebagai calon boleh menang daripada menawarkan diri untuk tidak dipilih.

Justeru calon boleh menang belum tentu boleh menang jika ahli-ahli parti ‘buat hal’ pada saat akhir. Penyakit sabotaj jika tidak dipilih jadi calon, bukan sesuatu yang luar biasa. Bilik gerakan ditutup, poster tidak ditampal, bendera tidak dikibar, ceramah tidak diatur dan macam-macam lagi menjadi masalah. Apakah masih ada perangai seperti ini?

Ada juga ahli parti yang bertindak seperti talam dua muka, musuh dalam selimut, musang berbulu ayam, gunting dalam lipatan. Tidak kurang juga yang tiba-tiba membuka pekung di dada atau bagai tepuk air di dulang dan meludah ke langit. Mereka juga tidak malu mengeluarkan kenyataan bodoh!

Golongan seperti ini bukan lagi marahkan nyamuk kelambu dibakar tetapi sanggup membakar seluruh kampung hanya kerana marahkan ketua kampung.

Situasi seperti inilah yang menyebabkan calon boleh menang tidak mampu menang.

Justeru, ahli-ahli parti yang jumlahnya disenaraikan tadi perlu benar-benar setia kepada parti tetapi usahlah memaksa mereka melakukan sumpah setia atau bai’ah kerana semua ini hanya soal politik. Cukuplah kesetiaan mereka ditagih untuk mengundi secara bijaksana dan bekerja gigih untuk menangkan parti.

Sebagai ahli parti, mereka hendaklah mengetepikan semua perasaan tidak puas hati terhadap keputusan pucuk pimpinan mengenai calon pada PRU akan datang.

Undilah calon yang ditunjukkan oleh pemimpin sama ada ia calon tempatan atau calon ‘payung terjun’. Soal calon luar ini juga satu ‘penyakit’ yang berlaku di kalangan parti komponen BN. Mereka agak sukar menerima calon luar. Ada saja alasan yang akan menggagalkan peluang calon ini. Tetapi lihatlah bagaimana pembangkang yang meletak calon dari negeri lain di kawasan tertentu tetapi menang mudah. Maka ahli-ahli parti komponen BN perlu melihat perbezaan berpolitik ini. Fokus utama parti adalah untuk menang dengan majoriti yang selesa bagi membentuk kerajaan negeri atau kerajaan pusat. Dalam hal ini mereka perlu melihat kepada kemenangan parti, bukannya kemenangan individu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:20
Asar 4:34
Maghrib 7:25
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.