saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 08/03/2012

Tribute untuk Sudirman


SALAH satu babak filem Hoore! Hoore! yang menampilkan Adibah Noor dan pelakon baru, Nur Farah Nazirah.


INSPIRASI hadir tatkala dia menonton filem Mamma Mia! Begitu juga dengan filem High School Musical yang mendapat sambutan luar biasa di kalangan penonton muda. Malah sebagai pengarah, Saw Teong Hin juga mengimpikan untuk mengarahkan sebuah filem muzikal. Apatah lagi memikirkan industri muzik tempatan juga layak untuk diangkat dan diberi penghargaan untuk ditampilkan dalam filem dan pementasan muzikal seperti kedua-dua filem tersebut.

Lalu katanya, dia memikirkan lagu-lagu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad yang belum pernah diberi penghormatan sebegitu rupa dalam mana-mana medium.

Maka tercetuslah idea untuk mengarahkan filem Hoore! Hoore! yang sudah pun siap sepenuhnya dan kini hanya menunggu tarikh tayangan.

"Selain Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, tokoh ternama yang layak bergelar legenda adalah Sudirman. Jadi, Hoore! Hoore! adalah satu tribute untuk menghargai sumbangan beliau dalam industri hiburan.

"Lagu-lagu nyanyian Sudirman memang begitu banyak dan saya fikir mengapa tidak untuk membikin sebuah filem yang diinspirasikan daripadanya," kata Teong Hin sewaktu ditemui di majlis tahlil Allahyarham Sudirman di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Filem yang diterbitkan oleh Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) dan Real Films Sdn. Bhd. itu menampilkan pembaharuan apabila mempertaruhkan bintang baru menerajui filem yang menelan bajet RM2.1 juta itu.

Bintang Akademi Fantasia musim ketujuh, Akim diberi tanggungjawab sebagai hero selain Kilafairy dan pelakon baru, Nur Farah Nazirah serta pelakon senior seperti Harun Salim Bachik, Adibah Noor, Fauziah Nawi, Sahronizam Noor dan Aznil Nawawi.

Jelas Teong Hin lagi, Hoore! Hoore! bukanlah sebuah filem yang mengisahkan tentang kehidupan Sudirman tetapi ia mengambil falsafah penghibur ternama itu untuk menjadi dorongan kepada generasi muda.

"Saya masih ingat kata-kata Sudirman yang pernah memberitahu untuk berjaya, seseorang itu harus berani dan tidak hanya berlingkar di keliling pagar sahaja.

"Mengambil semangat itu, saya tonjolkan dalam watak Nurul Aiman (lakonan Farah Nazirah) yang menempuh pelbagai cabaran untuk berjaya meskipun mempunyai kekurangan.

"Dia mahu mengubah pandangan masyarakat yang selama ini dikaburi dengan persepsi bahawa untuk menjadi ratu cantik, penyanyi mahupun pelakon ia memerlukan seseorang itu kelihatan sempurna," cerita Teong Hin yang berpengalaman mengarahkan muzik video dan iklan komersial sebelum ini.

Cabaran

Untuk filem itu, lebih 12 buah lagu nyanyian Sudirman dipilih untuk disesuaikan dengan jalan cerita dan perwatakan yang ditonjolkan.

Antara lagu yang diberi nafas baru dan susunan muzik yang lebih segar oleh Audi Mok selaku pengarah muzik termasuklah Bercanda Di Pasiran Pantai, Basikal Tua, Hidup Sederhana, Kasih, Milik Siapakah Gadis Ini, One Thousand Million Smiles, Merisik Khabar, Pelangi Petang dan Terasing.

Walaupun sudah mengarahkan dua filem berlainan genre sebelum ini iaitu Puteri Gunung Ledang (2004) dan Apa Kata Hati (2008), Teong Hin tidak menolak cabaran yang perlu ditempuhinya sepanjang mengarahkan Hoore! Hoore!

Kata Teong Hin, filem muzikal bukan seperti filem lain yang memerlukan masa dan bajet yang besar untuk menghasilkan kualiti terbaik.

Jika diikutkan jelasnya, tempoh tiga minggu yang diperuntukkan untuk latihan memang tidak mencukupi kerana setiap perkara perlu diambil kira terutama bajet.

"Tetapi selama menjalani penggambaran, saya berterima kasih kepada semua pihak kerana semuanya berjalan lancar seperti mana yang diharapkan.

"Lebih-lebih lagi komitmen dan mutu lakonan yang diberikan oleh barisan pelakon filem ini terutama Farah Nazirah yang telah memberikan lakonan penuh luhur dan jujur.

"Siapa sangka seorang yang baru berlakon dan tidak mempunyai sebarang pengalaman telah mengejutkan saya dan krew produksi dengan lakonan yang memberangsangkan," ujar Teong Hin yang pernah diangkat sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-18 (2005) bagi filem Puteri Gunung Ledang.

Ternyata dia meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat Hoore! Hoore! berjaya menambat hati penonton tempatan apabila ditayangkan sekitar musim Hari Raya Aidilfitri nanti.

Biarpun sudah mendapat peluang mengarahkan filem muzikal pertamanya, namun Teong Hin tetap memasang impian untuk muncul dengan sebuah lagi filem muzikal tetapi skala yang lebih besar seperti Moulin Rouge!

"Semuanya masih dalam perbincangan dan perancangan sudah mula dilakukan. Jika semuanya selesai, ia akan diumumkan kelak," katanya yang akan sibuk di lokasi filem Cina pertamanya, You Mean The World To Me tidak lama lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.